SEDAR tak sedar, hari ini genap 10 hari umat Islam menyempurnakan Rukun Islam yang ketiga. Biarpun menjalaninya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), situasi tersebut tidak sesekali menjejaskan kemanisan ibadah berpuasa bagi mereka yang tekun mengerjakannya.

Pada bulan inilah peluang buat umat Islam melipatgandakan pahala dengan melakukan pelbagai amalan bersama keluarga di rumah.

Justeru, bagi membantu umat Islam melakukan ibadah puasa bersama amalan-amalan sampingan, segmen e-Trend minggu ini berkongsikan tiga aplikasi ideal yang boleh dijadikan peneman setia pada bulan mulia ini.

Ibadah Tracker

etrend
APLIKASI bersaiz 6.5 megabit (Mb) itu dibangunkan bagi merekod aktiviti ibadah secara sistematik. Pada asasnya, ia dicipta untuk memudahkan para guru merekod sistem merit (sahsiah) pelajar di sekolah seperti menyiapkan kerja rumah, penglibatan dalam aktiviti komuniti dan solat.

Namun begitu, disebabkan dokumentasi aktiviti disusun dengan baik, Ibadah Tracker menjadi aplikasi pilihan popular sepanjang bulan Ramadan.

Selain ibadah solat, seisi keluarga juga boleh merekod dan memantau aktiviti jumlah juzuk al-Quran dan rakaat solat tarawih yang telah disempurnakan. Secara tidak langsung, data-data yang direkodkan menyuntik motivasi untuk pengguna memperelokkan ibadah dari masa ke masa.

Smart Quran

etrend
APLIKASI Smart Quran adalah hasil usaha sama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ia merupakan aplikasi al-Quran mudah alih pertama yang mendapat kelulusan pihak berkuasa di Malaysia termasuk diperakui dari segi kesahihan maklumat.

Aplikasi yang disediakan oleh Madcat World Sdn Bhd tersebut menawarkan terjemahan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Audio ayat-ayat al-Quran
dibacakan oleh:
– Syeikh Abdullah Ibn Ali Basfar
– Syeikh Ali al Huzaifi
– Syeikh Ibrahim al Akhdar
– Syeikh Muhammad Ayyub Ibn Muhammad Yusuf

Iklan

Smart Quran yang bersaiz 98.7Mb boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store. Diharapkan aplikasi Smart Quran itu membantu memberi manfaat dan rujukan yang sah kepada umat Islam.

Muslim Pro

etrend
APLIKASI digunakan lebih 80 juta umat Islam di seluruh dunia itu menyediakan notifikasi waktu solat dan arah kiblat yang tepat.

Penggunaan Muslim Pro direkodkan semakin meningkat pada bulan Ramadan kerana memudahkan pengguna mengetahui waktu berbuka dan imsak.

Iklan

Pada masa sama, aplikasi bersaiz 10.52Mb itu turut dilengkapi kemudahan membaca al-Quran berserta bacaan audio (MP3) dan tajwid berwarna.

Selain itu, Muslim Pro juga mempunyai kelebihan sampingan seperti kalendar Hijrah, himpunan doa harian, buku digital kanak-kanak dan muzik, video serta komik berunsurkan
islamik.

Bertambah istimewa, aplikasi Muslim Pro menawarkan variasi bahasa seperti Urdu, Thai, Turki, Jepun, Itali, Perancis, Cina selain bahasa Inggeris, Melayu dan Indonesia.