SUSULAN pandemik Covid-19, masyarakat menzahirkan kebimbangan andainya wabak tersebut menjadi ancaman berterusan untuk beberapa tahun mendatang.

Memahami situasi berkenaan, pihak kerajaan mengambil inisiatif mewujudkan dua aplikasi bagi memudahkan petugas kesihatan melaksanakan pengesanan kontak terhadap individu yang pernah berada dekat dengan orang yang disahkan positif Covid-19.

Justeru, e-Trend pada minggu ini mengulas tiga aplikasi termasuk satu daripadanya yang dibangunkan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu.

1 MySejahtera

mysejahtera
MySejahtera merupakan aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu mengawasi penularan wabak Covid-19.

Ia membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri sekali gus membantu Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat maklumat awal seterusnya mengambil tindakan cepat dan berkesan.

Aplikasi tersebut membantu:
– Mengenal pasti tahap kesihatan sepanjang penularan wabak.
– Mendapatkan bantuan kesihatan dan tindakan jika dijangkiti virus tersebut.
– Mengenal pasti hospital dan klinik terdekat untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan Covid-19.

Bagi menggunakan aplikasi MySejahtera, anda memerlukan minimum peranti telefon pintar dengan sistem pengoperasian Android 4.0 atau iOS 10 ke atas, sambungan internet dan boleh menerima SMS bagi proses penghantaran One-Time-Pin (OTP).

Menariknya, aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu turut melindungi data individu dikenal pasti sebagai pesakit Covid-19.

Kerahsiaan semua maklumat dan rekod perubatan adalah terpelihara.

2 MyTrace

etrend
Aplikasi MyTrace bertujuan mencegah penularan wabak Covid-19 dengan bertindak sebagai pengesan kontak rapat.

Melalui teknologi Bluetooth bertenaga rendah, telefon pintar pengguna MyTrace dapat mengesan gelombang Bluetooth daripada telefon pengguna MyTrace yang lain.

Data kontak rapat itu akan disimpan di dalam telefon pengguna MyTrace selama 21 hari. Paling utama, maklumat dirahsiakan termasuk sebarang info geolokasi.

Sekiranya pengguna MyTrace dikesan positif Covid-19, data daripada telefon mereka akan digunakan oleh pihak KKM untuk menghubungi senarai pengguna lain yang telah mengadakan kontak rapat dengan pesakit terbabit bagi tindakan lanjut.

MyTrace hanya akan berjaya sekiranya rakyat Malaysia menggunakan aplikasi tersebut secara meluas.

Iklan

Ia boleh dimuat turun menerusi Google Play Store, sementara Apple App Store dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai MyTrace dan bantuan teknikal, hantarkan e-mel kepada mytrace@mosti.gov.my.

3 CHaSe

etrend
APLIKASI gabungan teknologi kepintaran buatan dan data analitik yang telah melalui proses validasi oleh pakar perubatan itu membantu organisasi atau universiti mengesan serta mengurus risiko jangkitan Covid-19.

Sistem penilaian risiko Covid-19 tersebut dibangunkan hasil kombinasi kepakaran daripada Fakulti Perubatan dan Fakulti Informatik dan Komputeran, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Iklan

Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, UniSZA turut berkolaboratif dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

“Setiap organisasi yang menggunakan CHaSe mampu menapis kehadiran pekerja, pelajar atau pelanggan yang berisiko tinggi menjadi seorang pesakit atau pembawa Covid-19.

“Selain mesra pengguna, model penentuan tahap risiko Covid-19 itu turut menggunakan soroton literatur komprehensif dan data sebenar,”
katanya.

CHaSe boleh diakses di https:// chase.unisza.edu.my.

Artikel berkaitan: Robot, dron hantar kurier cegah Covid-19