SEJAK kebelakangan ini, isu penggunaan kertas aluminum (aluminium foil) kembali diperkatakan.

Ramai yang membuat kesimpulan tentang bahayanya jika kerap menggunakan bahan itu ketika memasak.

Namun, adakah desas-desus itu benar?

Menjawab persoalan itu, pensyarah sains di sebuah kolej swasta, Dr Magaret Sivapragasam tampil berkongsi hujahnya.

Tulisnya di Facebook, aluminium adalah sejenis logam yang berwarna putih keperakan dan merupakan salah satu unsur yang banyak didapati di bumi.

“Sebenarnya, logam aluminium dicairkan dan dilembarkan menerusi proses penggilinggan sehingga sesuatu ketebalan yang diinginkan untuk menghasilkan aluminium foil,” terangnya.

Pada masa dulu, produk isi rumah tersebut telah dicipta pada tahun 1910 bertujuan menghalang cahaya, kelembapan dan aroma serta menjadikannya sesuai untuk memelihara dan memasak makanan.

Justeru katanya dan pada masa sama disokong dengan fakta sains, memasak menggunakan aluminium foil tidaklah begitu selamat disebabkan kontak rapat aluminium foil itu dengan makanan.

“Lebih-lebih lagi melibatkan makanan berasid, masin atau panas kerana ia boleh bertindak balas dengan aluminium yang menyebabkan logam tersebut mencucuh keluar ke dalam makanan.

“Apabila reaksi itu berlaku, kepekatan aluminium dalam makanan meningkat dan mungkin melepasi had yang disyorkan iaitu tidak lebih daripada 40 miligram bagi setiap kilogram berat badan sehari untuk orang dewasa. Namun, masih tiada lagi kajian yang konklusif yang menyatakan kesannya terhadap kesihatan manusia,” jelasnya.

Jika diamati dengan lebih terperinci, aluminium banyak didapati daripada sumber lain seperti air, penggunaan kosmetik, makanan terproses dan sebagainya.

Iklan

“Badan manusia berfungsi secara semula jadi menyingkirkan aluminium dan beberapa toksin lain daripada sistem kita melalui kencing dan najis,” maklumnya.

Bagaimanapun, beritahu Dr Magaret, aluminium foil selamat untuk digunakan untuk makanan sejuk.

Antaranya termasuklah membalut sandwich, kek dan sebagainya.

Iklan

Baca juga: Minyak masak recycle sesuai dijadikan bahan bakar, bukan untuk memasak lagi

Dalam pada itu, ujarnya, penyelidikan lebih banyak perlu dilakukan untuk memahami sepenuhnya bagaimana logam dapat merosakkan tubuh manusia.

“Jadi, sebaik-baiknya elak menggunakan aluminium foil ketika memasak,” pesannya.