SEMPENA HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA

MENURUT National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases, 10 peratus penduduk di Amerika Syarikat bergelut dengan penyakit buah pinggang setiap tahun. Di Malaysia, senario itu turut berlaku.

Memetik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Disember tahun lalu, 15 peratus daripada penduduk di negara ini menghidap penyakit buah pinggang kronik atau chronic kidney disease pelbagai peringkat.

Pun demikian, kebanyakan mereka hanya mengetahui mengenainya apabila sudah berada pada tahap yang serius.

Di Malaysia, lebih 8,000 pesakit baharu mula menerima rawatan dialisis pada tahun 2018. Pada akhir 2018, terdapat lebih daripada 44,000 pesakit sedang menjalani dialisis.

Menurut kenyataan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Bahari Awang Ngah, bilangan pesakit buah pinggang di seluruh negara dijangka meningkat hingga 106,000 orang menjelang tahun 2040.

Kenyataan itu disifatkan sangat membimbangkan kerana apabila kerosakan organ itu berlaku, ia bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan proses rawatan yang berpanjangan dan teliti.

Sempena sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia, SinarPlus mendapatkan pandangan Ketua Perkhidmatan Nefrologi Pahang, Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Dr Fariz Safhan Mohamad Nor.

Dr Fariz Safhan.

Mengulangi fakta yang diuar-uarkan Dr Noor Hisham, katanya, kajian sahih menunjukkan seramai 15 peratus daripada rakyat Malaysia sedang bergelut dengan penyakit buah pinggang pelbagai peringkat.

“Sebenarnya, ia (penyakit buah pinggang) tidak hanya terhad kepada warga emas ataupun dewasa, malah boleh melibatkan kanak-kanak dan remaja. Ya, pada peringkat awal, ia biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom dan hanya menjadi teruk apabila tahap kesakitan berada pada tahap 4 dan 5,“ jelasnya.

Secara umumnya, kata Dr Fariz Safhan, kerosakan buah pinggang kronik dibahagikan kepada lima tahap mengikut  kadar penapisan glomerular (GFR) iaitu:

  • Tahap 1: Fungsi buah pinggang GFR 90 ml/min ke atas.
  • Tahap 2: Fungsi buah pinggang GFR 60 ke 89 ml/min.
  • Tahap 3: Fungsi buah pinggang GFR 30 ke 59 ml/min.
  • Tahap 4: Fungsi buah pinggang GFR 15 ke 29 ml/min.
  • Tahap 5: Fungsi buah pinggang kurang daripada GFR 15 ml/min.

“Tahap 5 merujuk kepada situasi yang sangat teruk dengan kadar penapisan glomerular kurang daripada 15 ml/min/1.73m2. Ia juga dikenali sebagai penyakit buah pinggang tahap akhir (ESKD). Pada saat ini, kebanyakan pesakit akan memerlukan dialisis atau pemindahan buah pinggang,“ katanya.

Kepada SinarPlus, Dr Fariz Safhan memberitahu, pada tahap 5, fungsi buah pinggang akan tinggal atau berfungsi kurang daripada 15 peratus.

“Apabila kerosakan berada pada peringkat akhir, biasanya doktor akan menasihatkan pesakit untuk menjalani rawatan gantian fungsi buah pinggang atau Renal Replacement Therapy,“ terang beliau.

Bengkak kakiMengulas lanjut, pakar itu memaklumkan, berdasarkan rekod, lazimnya golongan pesakit yang memiliki penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung berisiko tinggi untuk mendapat kerosakan buah pinggang kronik.

“Kebanyakan kes kegagalan buah pinggang tahap akhir berpunca daripada penyakit kronik yang tidak terkawal seperti kencing manis dan  masalah hipertensi,“ katanya.

Bagaimana untuk menjelaskan hubung kait antara ketiga-tiga penyakit di atas dengan kemelut buah pinggang? Berikut penjelasan  Dr Fariz Safhan:

“Apabila penyakit-penyakit yang dinyatakan tadi tidak terkawal, ia akan memberi impak kepada fungsi buah pinggang, meninggalkan parut kepada penapis buah pinggang seterusnya kerosakan akan menjadi semakin teruk.“

Menjawab soalan bagaimana seseorang boleh dapat mengesan sesuatu yang tidak kena dengan buah pinggangnya? Beliau yang juga Ketua Perkhidmatan Nefrologi Negeri Pahang kemudian menjelaskan.

Antaranya, individu akan kurang membuang air kecil, sesak nafas, letih dan tidak bermaya. Selain itu, berlaku pembengkakan pada kaki, badan, tangan dan muka.

Seseorang juga akan menunjukkan gejala kurang selera makan, loya dan muntah.

Akibat daripada serangan toksin dan ketidakseimbangan garam dan air, darah pesakit boleh menjadi berasid dengan risiko serangan jantung dan boleh membawa maut, terangnya.

Berbeza pada tahap awal, lazimnya pesakit tidak menunjukkan atau berasakan tanda-tanda yang jelas.

“Saringan awal sama ada ketika prapekerjaan, kehamilan atau saringan kesihatan tahunan dapat membantu mengesan kerosakan buah pinggang.

“Mungkin ketika pemeriksaan, doktor akan mengesan kebocoran pada buah pinggang seperti proteinuria atau hematuria berlaku, di samping bacaan darah toksin iaitu creatinine atau urea yang melebihi paras normal menjadi tanda,“ kongsinya.

Ujar pakar itu lagi, apabila terdapat tanda-tanda ini, pesakit hendaklah mengadakan pemeriksaan berkala buah pinggang.

Gaya pemakanan terukSementara itu, Pakar Perunding Perubatan Dalaman  dan Nefrologi, Hospital KPJ Bandar Maharani, Dr Yia @ Yeow Hua Jern turut berkongsi hujah mengenai topik kesihatan ini.

Dr Yia @ Yeow Hua Jern.

Sebelum menghuraikan fakta-fakta lain, Dr Hua Jern menerangkan fungsi buah pinggang dalam persekitaran dalaman badan. Antaranya:

  1. Menyingkirkan bahan buangan dan bahan toksik melalui air kencing.
  2. Mengekalkan keseimbangan cecair dalam badan dengan jumlah air kencing yang sesuai.
  3. Memastikan keseimbangan garam galian badan.
  4. Memelihara keseimbangam asid bes (pH) darah.
  5. Menggalakkan pembentukan sel darah merah melalui hormon epoetin.
  6. Menjaga kesihatan dan kekuatan tulang melalui pengaktifan vitamin D.
  7. Mengawal tekanan darah melalui keseimbangan air, garam dan hormon.

Ujar beliau, penyakit buah pinggang kronik akan berlaku apabila fungsi dan struktur organ itu terjejas secara kekal untuk tempoh lebih dari tiga bulan.

Ia biasanya berlaku secara perlahan bermula dari bulan ke bulan hingga bertahun-tahun.

“Secara umumnya, hampir 90 peratus kegagalan buah pinggang melibatkan cara pemakanan yang tidak seimbang, aktiviti fizikal yang tidak mencukupi, tabiat yang tidak sihat seperti merokok dan tidak mengambil ubatan dengan betul,“ beritahu pakar itu.

Bagaimanapun, antara punca lain penyakit buah pinggang kronik tercetus adalah disebabkan toxic nephropathy iaitu kecederaan oleh ubat dan makanan tambahan (suplemen) yang mengandungi toksik, penyakit autoimun seperti Systemic Lupus Erythematosus, penyakit keturunan seperti polycystic kidney disease dan saluran kencing tersumbat seperti batu karang.

Oleh itu, jika penyakit buah pinggang kronik dikesan, ia perlu dirawat dengan secepat mungkin supaya fungsi buah pinggang tidak merosot.

“Ini kerana penyakit ini berada dalam kategori kronik, perlu rawatan susulan secara berkala untuk mengawalnya dalam jangka masa panjang.

“Penyakit buah pinggang kronik ini juga akan meningkatkan risiko saluran darah keras dan tersumbat. Ini boleh menyebabkan serangan jantung, strok dan ischaemic limb,“ kata Dr Hua Jern.

Lebih membimbangkan, kemerosotan fungsi buah pinggang ke tahap akhir boleh menyebabkan sawan daripada bahan toksik yang terlalu tinggi, lemas angkara terlampau banyak air, kegagalan jantung daripada garam galian dan asid bes (pH) darah yang tidak seimbang, anemia (kurang darah merah) dan kerapuhan tulang.

“Akhirnya ia boleh membawa maut jika dialisis atau pemindahan buah pinggang tidak dilakukan,“ katanya.

Oleh itu, jika seseorang itu telah dikategorikan dalam golongan berisiko tinggi, dapatkan pemeriksaan kesihatan untuk memantau fungsi buah pinggang.

“Jika mempunyai sebarang gejala penyakit buah pinggang, jumpa pakar perubatan secepat mungkin untuk mengenal pasti status kesihatan buah pinggang supaya rawatan yang paling sesuai boleh dimulakan untuk mengurangkan komplikasi,“ pesan Dr Hua Jern.

Iklan

Kesedaran

Seperti kata Dr Fariz Safhan, maklumat berkaitan buah pinggang boleh diakses secara mudah di hujung jari sahaja.

Terkini, Kementerian Kesihatan Malaysia baru sahaja melancarkan laman web My Buah Pinggang selain Med Tweet My atau laman rasmi KKM sendiri.

“Justeru, saranan saya, sentiasalah mengikuti laman-laman media sosial yang berkaitan, banyak informasi yang diketengahkan secara umum. Namun, berhati-hati kerana terdapat juga laman-laman yang pada luarannya nampak seperti sahih, tetapi menyebarkan informasi palsu dan menjual produk-produk yang tidak membantu, malah berpotensi merosakkan lagi penyakit buah pinggang,“ ujar beliau.

Pakar itu juga menasihatkan kepada para pesakit buah pinggang agar jangan menjadikan penyakit itu sebagai batu penghalang untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti.

“Ingat, setiap gejala yang dialami pasti ada penawarnya dan jika anda menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir, masih ada rawatan penggantian fungsi buah pinggang.

“Terdapat ramai pesakit di Malaysia yang kini menjalani rawatan sama ada pemindahan buah pinggang, hemodialisis ataupun peritoneal dialisis. Mereka juga masih boleh melakukan aktiviti harian dan hidup seperti orang biasa,“ jelas.

Penyakit buah pinggang kronik juga kata Dr Fariz Safhan, bukannya penyebab seseorang perlu berhenti kerja.

Kata beliau, sungguhpun terdapat gejala atau masa yang diperlukan untuk melakukan rawatan, namun secara umumnya pekerjaan mampu memberikan sokongan emosi dan memastikan gaya hidup yang lebih aktif.

“Jika perlukan cuti, maka ambillah cuti. Terangkan kepada majikan dan rakan sekerja tentang penyakit ini dengan harapan mereka faham keadaan pesakit. Jika pekerjaan tetap itu merupakan satu beban, masih boleh untuk berkerja secara separuh masa atau sambilan,“ cadangnya.

ANEKDOT

TIP mengelak daripada menjadi salah seorang pesakit buah pinggang kronik. Antaranya adalah: Sentiasa mengamalkan cara hidup sihat.

  1. Menjalankan aktiviti fizikal yang mencukupi.
  2. Mengambil ambil makanan berkhasiat yang kurang garam, kurang gula dan kurang lemak, manakala tingkatkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
  3. Minum air kosong secukupnya.
  4. Elak tabiat merokok.
  5. Dapat pandangan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil apa-apa ubat dan suplemen.

Sumber: Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Nefrologi, Hospital KPJ Bandar Maharani, Dr Yia @ Yeow Hua Jern.

Iklan

Aktif bersukan, jaga makan, namun didiagnos berpenyakit

KHAIRUL Shazwali Talib seorang yang aktif bersukan. Lelaki berusia 36 tahun itu bermain ragbi, aktif bermaraton dan memang teliti dalam soal pemakanan hariannya.

Pun demikian, beliau tidak menyangka telah didiagnosis sebagai seorang pesakit buah pinggang.

Cerita Khairul Shazwali segalanya bermula pada tahun 2016.

“Ketika itu, seperti biasa, saya bersukan dengan rakan-rakan. Namun, pada Isnin berikutnya, tiba-tiba kaki saya berasa sakit dan alami gout. Risau dengan keadaan itu, saya ke klinik dan melakukan ujian darah,“ katanya.

Selepas dua hari berlalu, jurutera itu dikejutkan dengan berita bahawa dirinya berdepan dengan masalah kegagalan buah pinggang dan terus dirujuk ke Hospital Serdang, Selangor.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, lebih membimbangkan, ginjalnya juga telah berada pada tahap 5 iaitu indikasi kepada kondisi paling kritikal.

“Kedua-dua buah pinggang saya hanya berfungsi hanya sembilan peratus sahaja,“ ujarnya.

Keadaan semakin menakutkan ketika pemeriksaan ultrasound.

Masakan tidak, beliau disahkan mengalami penyakit ginjal polikistik yang bukan hanya jarang terjadi, tetapi merupakan bentuk penyakit ginjal yang diwarisi.

“Saya perlu didialisis. Namun, apabila saya mendengar perkataan dialisis, saya fikir ia adalah jalan akhir buat saya. Saya mengambil masa berbulan-bulan untuk menerima kenyataan,“ katanya yang memulakan proses wajib itu pada Julai 2016 dan menjalani pemeriksaan rutin setiap tiga bulan.

Setahun kemudian, doktor memaklumkan kepadanya kewujudan seorang penderma mahu mendermakan buah pinggang kepadanya.

“Saya tidak menyangka, penderma itu adalah abang saya, Khairul Shazwan, 39. Sebenarnya, kami berdua jarang bercakap. Pengorbanannya itu sesungguhnya telah ‘menyembuhkan‘ komunikasi kami, alhamdulillah,“ katanya.

Kini, Khairul Shazwali berkata, beliau semakin sembuh dan bersemangat.

Pada masa sama, lelaki itu dilihat semakin aktif menyebarkan kesedaran dan mesej kepada orang ramai mengenai penyakit yang dihidapinya itu.