DIALOG yang berbunyi ‘sakitnya memang tak boleh bawa bincang, macam nak cabut saja kaki ini‘ antara yang sering terpacul dalam kalangan pesakit gout.

Luahan kata-kata mereka bukan mahu meraih simpati, tetapi kesakitan yang dirasai memang sangat terkesan.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Global Health Data Exchange, secara keseluruhan, sebanyak 7.44 juta kes gout dianggarkan berlaku di seluruh dunia pada tahun 2017 dengan prevalens 41.22 juta kes.

Krisis kesihatan itu dikatakan telah meningkat sejak 25 tahun lalu dengan kaum lelaki mendominasi berbanding wanita. Beban gout akan menokok secara linear seiring dengan penuaan seseorang.

Berdasarkan National Library of Medicine, kematian akibat penyakit berkenaan kemungkinan akan meningkat sebanyak 55 peratus pada tahun 2060.

Melihat kepada perangkaan berkenaan, memang menakutkan. Justeru, bagi mengupas lanjut penyakit ‘tradisi‘ yang turut melanda rakyat Malaysia, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Rheumatik dan Sakit Kronik, Pusat Perubatan Sendi, Urat dan Tulang, Dr Anwar Samhari Mat Arshad.

Jelas Dr Anwar Samhari, gout atau artritis merupakan sejenis penyakit sendi yang disebabkan oleh asid urik yang terkumpul pada bahagian tisu lembut dan sendi. Asik urik pula adalah bahan kumuhan berasal daripada sejenis protein dipanggil purin yang dibuang melalui air kencing.

Keturunan keluarga

Sebelum mengetahui apa faktor terjadinya gout, SinarPlus bertanyakan tentang mengapa kaum Adam lebih terdedah dengan penyakit itu? Dr Anwar Samhari menjelaskan, golongan lelaki pada zahirnya mempunyai tahap asid urik yang lebih tinggi daripada kaum Hawa dengan anggaran umur seawal 20 hingga lewat 40-an.

Bagaimanapun, wanita juga tidak terlepas kerana selepas menopaus, tahap asid urik mereka akan meningkat. Pada peringkat ini, besar kemungkinan mereka boleh mendapat gout.

Sama seperti nisbah di peringkat antarabangsa, di Malaysia, lima lelaki dan satu perempuan memiliki penyakit berkenaan, ujar beliau.

Menyentuh tentang punca, SinarPlus berkongsi fakta daripada MyHealth. Menurut portal itu, penyakit yang tertua di dalam sejarah perubatan dunia itu tercetus berdasarkan dua faktor iaitu:

i. Asid urik yang berlebihan di dalam badan.
ii. Asid urik yang tidak dibuang dengan berkesan dari badan.

“Asid urik yang berlebihan ini menyebabkan pembentukan kristal berbentuk jarum pada sendi iaitu punca sakit gout. Ia juga boleh terjadi pada bahagian lain dan akhirnya menyebabkan batu karang dalam buah pinggang.

“Ia (asid urik) biasanya akan mendap pada sendi ibu jari kaki, tetapi boleh juga terkumpul pada sendi lain seperti belakang kaki, buku lali, lutut, pergelangan tangan, siku dan jari tangan.

“Pengumpulan asid ini boleh menyebabkan benjolan kecil pada kulit yang dipanggil tophi. Jika keadaan lebih serius, tophi menjadi terlalu besar dan boleh pecah serta mengeluarkan bahan seperti kapur,“ kongsi penulisan itu.

Beritahu MyHealth lagi, ketidakseimbangan asid urik berkemungkinan disebabkan beberapa faktor iaitu pengambilan makanan yang lebih protein, obesiti, alkohol yang berlebihan dan kerosakan buah pinggang.

Di samping itu, pengambilan ubatan tertentu (seperti diuretik dan aspirin) dan kekurangan air di dalam tubuh yang serius juga boleh memburukkan keadaan.

Pada perkembangan berkaitan, Dr Anwar Samhari menambah, sejarah atau keturunan keluarga turut menyumbang kepada tercetusnya penyakit tersebut.

“Justeru, kepada mereka yang mempunyai sejarah keluarga perlu lebih peka dalam pemilihan makanan dan amalan gaya hidup sihat,“ pesannya.

Mengenai simptom-simptom, Doktor Perubatan Kesihatan Awam, Dr Mohd Ramzdhan Mohd Masdar yang menulis untuk Doctor On Call berkongsi informasi yang perlu diambil perhatian. Antaranya:

i. Kesakitan pada sendi: Kesakitan mungkin lebih buruk pada empat hingga 12 jam pertama selepas ia bermula.
ii. Ketidakselesaan: Apabila kesakitan mula reda, ketidakselesaan bersama sendi mungkin berlangsung dari hari ke hari atau dari minggu ke minggu. Serangan kemudian boleh menjadi lebih lama dan akan menjejaskan lebih banyak sendi.
iii. Keradangan dan kemerahan: Sendi boleh membengkak, lembut dan bertukar kemerahan.
Gerakan menjadi terhad: Seseorang mungkin tidak boleh bergerak secara normal.

Bagaimana pula untuk mengesahkan seseorang mempunyai gout ataupun tidak? Bagi menjawab persoalan yang kerap diutarakan oleh orang ramai, SinarPlus merujuk The Diagnosa.

Ujar portal perubatan berkenaan, pengambilan sampel cecair dan darah boleh menentukan itu semua.

Ujian yang dinamakan sebagai Synovial Fluid Analysis akan dilaksanakan.

Cecair synovial yang berada di dalam sendi selalunya diambil untuk dianalisis sama ada mempunyai kristal urate ataupun sebaliknya. Ia penting bagi membezakan sama ada ia adalah gout ataupun penyakit lain.

Sementara, serum asid urik adalah ujian darah yang digunakan untuk melihat kandungan asid berkenaan dalam darah.

“Jika seseorang itu mempunyai bacaan asid urik yang tinggi, ia tidak semestinya menunjukkan mereka sudah mempunyai penyakit ini.

“Sebanyak 15 peratus pesakit gout biasanya mempunyai kandungan asid urik yang normal ketika serangan sedang berlaku. Secara kesimpulan, bacaan asid urik yang tinggi bukan salah satu petanda yang seseorang itu akan menghidap serangan gout.

“Namun, jika bacaan asid urik terlampau tinggi, seseorang mungkin mempunyai risiko untuk menghadapi batu karang dan juga kegagalan buah pinggang pula,“ kata informasi itu.

Terakhir adalah melakukan imbasan x-ray. Teknik tersebut akan menunjukkan perubahan pada sendi yang diserang gout yang mana tulang pada bahagian sendi akan nampak seperti berlubang-lubang dan permukaan tulang yang tidak rata, kata The Diagnosa.

Menstabilkan asid urik

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar berkata, gout boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu:

i. Asimptomatik: Individu tidak menunjukkan sebarang gejala atau tanda.
ii. Akut: Dalam situasi ini, tanda-tanda gout muncul dengan cepat dan secara tiba-tiba. Biasanya pada tisu lembut beberapa sendi. Kemudian sakit akan hilang dengan cepat.
iii. Intercritical: Ia merupakan fasa tiada serangan gout berlaku dan boleh berlangsung selama beberapa bulan atau juga bertahun lamanya.
iv. Kronik: Pada peringkat ini, serangan boleh berlaku berulang kali. Pesakit akan berasa amat sakit, kejang dan kaki mungkin berubah bentuk, bengkak, merah, panas dan demam. Jika sudah terlalu teruk, kerosakan ginjal, hipertensi dan batu karang boleh terjadi ke atas seseorang.

Bagaimanapun, Dr Muhammad Afiq berkata, pesakit masih boleh mengurang dan menstabilkan asid urik yang berlebihan di dalam badan.

Iklan

“Apa yang diperlukan, mereka wajib mengawal pemakanan dan mengurangkan jenis makanan yang tinggi asid urik seperti organ dalaman haiwan, makanan laut dan daging.

Makan makanan yang kaya dengan serat seperti sayuran hijau, buah-buahan yang mengandungi vitamin C termasuk produk tenusu rendah lemak.

“Golongan ini juga perlu minum air kosong secukupnya iaitu lapan gelas sehari dan mengehadkan pengambilan alkohol dan minuman yang manis,“ katanya sambil menambah aktiviti senaman selama 20 minit juga boleh membantu mengawal gula dalam darah dan mengurangkan kekejangan, sekali gus simptom-simptom gout dapat diatasi dengan baik.

Namun, bagi golongan yang mengalami serangan gout secara kerap, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan konsultasi doktor.

Kepada satu soalan, ujar beliau, jenis rawatan dan ubatan yang dipilih pula biasanya berdasarkan tahap gout yang dialami. Lazimnya, pesakit akan berjumpa pakar semasa serangan akut iaitu ketika berlakunya kemerahan dan kesakitan pada sendi.

Pada peringkat tersebut, ungkap Dr Muhammad Afiq, ubat seperti colchicine dan allopurinol akan diberikan untuk mengurangkan paras asid urik dalam darah.

“Colchine akan bertindak untuk mengurangkan keradangan dan pembengkakan yang terjadi pada fasa akut manakala, allopurinol pula ubat untuk mencegah serangan gout.

“Setelah itu, kita juga akan menasihatkan pesakit untuk mengamalkan gaya hidup sihat kerana gout merupakan penyakit yang memerlukan pengurusan jangka masa panjang,“ terangnya.

Lebih sedekad derita gout, Khairul Lizal teliti dalam bab makan, minum

“SUSAH saya nak gambarkan, tetapi rasa bisa pada sendi kaki terutama ibu jari kadangkala boleh membuatkan saya menjerit. Saya memang takut tengok benjolan yang timbul pada kaki sendiri, apatah lagi orang lain.“

Itu reaksi Khairul Lizal Abd Latif Subri, 48, ketika ditanya tentang kondisinya yang sudah menghidap penyakit gout sejak 12 tahun lalu.

Lebih teruk lagi, akui lelaki terbabit, derita yang ditanggung telah membuatkan beliau sukar mengawal kemarahannya.

“Apabila gout menyerang, saya akan makan pil tahan sakit yang dinasihatkan doktor setiap empat jam untuk melegakan bahagian sendi yang bengkak dan kemerahan.

Iklan

Baca juga Jangan biarkan gout ganggu kehidupan kita. Berikut petua makanan yang perlu dielak dan digalakkan

“Pun begitu, jika sakit pada tahap sukar untuk ditahan lagi, saya akan mendapatkan suntikan (melegakan gout) daripada klinik yang berdekatan,“ katanya.

Dalam menangani krisis kesihatan itu, Khairul Lizal berkata, pesakit tidak mempunyai pilihan, selain menjaga corak pemakanan pada setiap masa.

“Carta pemakanan saya agak ketat. Makanan yang mengandungi banyak sumber protein seperti daging, udang, ketam dan sos tiram antara yang saya tinggalkan,“ ujarnya.

Pun demikian, beritahu penjawat awam tersebut, ‘pantang‘ seseorang sebenarnya bergantung kepada setiap individu.

“Sebagai contoh, saya tidak boleh makan sebarang makanan laut kecuali sotong, manakala kawan saya tak boleh sentuh langsung (makanan laut),“ ujarnya.

Selain bab makan dan minum, perkara yang turut diambil berat adalah menjalankan aktiviti yang mengeluarkan peluh.

“Seperti kata doktor, senaman juga membantu dalam mencegah gout daripada kerap menyerang sendi-sendi pada tubuh badan,“ ujarnya sambil memberitahu, hampir

sebahagian daripada anggota keluarga beliau menderita penyakit sama.
Selain Khairul Lizal, arwah bapa dan adik beradik lelakinya yang lain semuanya mempunyai gout.

“Selain itu, ibu dan dua orang adik tiri saya juga tidak terlepas,“ beritahunya.

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI