Penyakit X: 30 kali lagi ganas daripada Covid-19. Negara kotor jadi punca wabak atau ada faktor lain. Ini kupasannya

BERDASARKAN perangkaan setakat 6 Oktober lalu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan, lebih 771 juta kes Covid-19 dicatatkan di peringkat global.
Daripada jumlah itu, hampir 7 juta individu menemui ajal.

Statistik rasmi juga menyaksikan, sebanyak 13.5 juta dos vaksin telah diagihkan secara total.

Namun, apabila media antarabangsa mendedahkan tentang kewujudan satu lagi wabak diberi nama Penyakit X yang dimomokkan lebih ‘buas’ baru-baru ini, ramai terperanjat besar.

Masakan tidak, dunia baru sahaja mahu bernafas lega, tiba-tiba dikejutkan dengan berita yang tidak enak didengar lantaran ia melibatkan nyawa.

Sehingga sekarang pun, mangsa dan waris masih lagi berhutang jawapan tentang di mana dan bagaimana virus Covid-19 berasal.

Di laman sosial, khalayak dunia meluahkan rasa bimbang, tidak kurang juga yang trauma dengan pengalaman menjadi mangsa termasuk kehilangan orang tersayang.

Lebih menambah ketakutan, pandemik itu diramal akan meragut kira-kira 50 juta nyawa iaitu berpuluh-puluh kali ganda berbanding angka Covid-19.

Jika ditelusuri secara teliti laman web WHO, sebenarnya pihak berkenaan telah pun mengumumkan tentang wabak itu pada 21 November tahun lalu.

Mereka telah memanggil lebih 300 saintis (pada 18 November 2022) untuk mempertimbangkan bukti mengenai lebih 25 keluarga virus dan bakteria serta Penyakit X. X disertakan untuk menunjukkan patogen tidak diketahui yang boleh mencetuskan wabak serius.

Pandemik itu juga telah digembar-gemburkan bakal mengulangi tragedi Spanish Flu yang terjadi pada bulan-bulan terakhir Perang Dunia Pertama sekitar tahun 1918.

Gelombang pertama virus masih boleh dikawal, namun arus seterusnya menyaksikan pesakit mati selepas beberapa jam atau hari partikel halus itu menular. Bayangkan jika berlaku pada zaman milineal ini!

Melalui informasi daripada buku berjudul American Pandemic: The Lost Worlds of the 1918 Influenza Epidemic, terdapat 500 juta orang dijangkiti Spanish Flu dengan 50 juta kematian direkodkan. Bagaimanapun, jumlah sebenar dipercayai jauh lebih besar.

Disebabkan informasi berkenaan Penyakit X itu terhad dipaparkan di laman web termasuk jurnal antarabangsa, SinarPlus mendapatkan Pakar Perunding Perubatan, Paru-paru dan Permasalahan Tidur, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa untuk berbicara lanjut.

Memulakan diskusi, Dr Nurul Yaqeen mengulangi pernyataan yang diuar-uarkan oleh WHO.

Kata beliau, penyakit yang bakal menjadi pandemik seperti Covid-19 dari segi simptom dan perebakannya masih belum berlaku lagi dan tiada sesiapa pun dalam kalangan penduduk dunia telah dijangkiti.

Pun demikian, pakar terkenal itu memberitahu, kadar penularannya mungkin sama seperti yang dibawa oleh strain SARS-CoV-2 dan kebarangkalian besar ia lebih mudah merebak.

Seperti Covid-19, transmisi mungkin boleh terjadi melalui sentuhan, pengudaraan termasuk bendalir pada badan manusia.

Haiwan juga dikatakan mungkin boleh ‘terjebak’ dengan virus tersebut, beritahu beliau.

 

Haiwan & bioterrorism?

Kepada satu soalan, Dr Nurul Yaqeen berkata, Penyakit X boleh berlaku pada bila-bila masa.

Namun begitu, bilakah waktunya secara tepat tidak dapat dinyatakan kerana masih belum terdapat keterangan nyata yang boleh dijadikan sandaran.

Ketika ditanya dari mana asalnya sindrom X, kata beliau, krisis kesihatan tersebut masih di peringkat jangkaan.

Sehubungan itu, saintis masih tiada pengetahuan secara menyeluruh mengenainya.

Namun demikian, pakar tersebut tidak menolak kemungkinan ia adalah mutasi daripada SARS-CoV-2, Ebola, Zika, Nipah atau BA.2.86.

Menurut Dr Nurul Yaqeen lagi, terdapat kira-kira 1 juta lagi virus yang masih berlegar di luar sana dan berupaya membunuh jutaan manusia. Kenyataan beliau selari dengan laporan Mirror UK.

“Namun, sekali lagi saya katakan, tiada sebarang bukti yang ampuh,” ungkapnya.

Jika sebelum ini negara China didakwa sebagai sumber penyebar virus SARS-CoV-2 apabila pertama kali muncul di Wuhan pada akhir tahun 2019, ramai mula membuat spekulasi yang pelbagai tentang Penyakit X.

Dr Nurul Yaqeen sendiri tidak berani untuk membuat telahan, sementelah sindrom itu masih belum tercetus.

“Apa yang saya boleh katakan, kemungkinan besar ia akan berlaku di negara yang mengetepikan aspek kebersihan dan mengamalkan tabiat pemakanan yang tidak sihat dan tidak bersih,” katanya.

Bagaimana pula dengan andaian kononnya virus X datang daripada haiwan (penyakit zoonotic) memandangkan WHO sendiri baru-baru ini memaklumkan bukti setakat ini menunjukkan Covid-19 mungkin dibawa oleh kelawar?

Menurut laporan Reuters, perkara itu diperkukuhkan apabila jujukan genetik yang ditemui pada 1,000 sampel haiwan dan persekitaran di pasar makanan Laut Huanan di Wuhan menyaksikan DNA yang diuji positif bagi patogen SARS-CoV-2.

Perunding Penyakit Berjangkit, Institut Penyelidikan Memorial Fortis, Gurugram, India, Dr Neha Rastogi yang mengulas lanjut berkata, Penyakit X agak munasabah untuk dikaitkan dengan penyakit zoonotic (mungkin hadir daripada virus RNA) yang muncul dari kawasan Segitiga Epidemiologi.

Segitiga Epidemiologi merujuk relasi tiga komponen penyakit iaitu hos, penyebab dan lingkungan persekitaran.

Dr Neha yang diwawancara oleh Hindustan Times juga berpendapat, terdapat data andaian kemungkinan sindrom X sebagai ‘patogen pandemik yang direka bentuk’.

Kemalangan makmal yang tidak disengajakan atau sebagai tindakan bioterrorism, mungkin membawa kepada Penyakit X, sekali gus membikin bencana global,” katanya.

Dr Nurul Yaqeen turut mengutarakan pandangan beliau dalam hal itu.
Ulas beliau: ”

Sebenarnya, ada banyak faktor yang boleh dikaitkan. Antaranya seperti gaya hidup yang tidak sihat, tahap kebersihan yang rendah, selain tabiat pemakanan yang membelakangkan aspek kebersihan seperti memakan binatang yang tidak dimasak atau dibersihkan dengan baik.”

AI percepatkan vaksin

Apabila mampu meragut nyawa jutaan manusia, sudah pasti virus X sangat berbahaya dan bukan sembarangan.

Iklan

Dr Nurul Yaqeen bersetuju dengan perspektif yang dibangkitkan WHO itu bahawa Penyakit X lebih ganas daripada Covid-19.

Ini ekoran berdasarkan hipotesis awal, tahap perebakannya dijangka 20 atau 30 kali ganda lebih pantas.

Hal tersebut sebenarnya secara tidak langsung memberi satu berita buruk kepada kanak-kanak, wanita hamil, warga emas termasuk pesakit kronik yang mempunyai komorbiditi (diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan asma).

Tidak ketinggalan, mereka yang memiliki imuniti rendah seperti pesakit kanser dan HIV serta mereka yang menghidap penyakit autoimun (lupus dan rheumatoid arthritis).

Sepertimana Covid-19 mudah menyerang golongan berisiko, seperti itulah juga jangkaan buat Penyakit X ini yang lebih senang menyerang golongan berisiko tinggi,” katanya.

Berdasarkan pengalaman lalu, isu vaksinasi menjadi soroton hangat.

Menurut Dr Nurul Yaqeen, terdapat kemungkinan vaksin Penyakit X akan mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan memandangkan pembuatannya memerlukan durasi panjang sehingga bertahun-tahun dalam memastikan keberkesanan dan keselamatan menyeluruh.

Secara kasarnya, ia memakan masa sekitar 10 tahun (bergantung kepada jenis virus yang menjadi punca sesuatu wabak).

Namun begitu, dengan kecanggihan sains dan teknologi terbaharu serta peranan AI (Artificial Intelligence), terdapat kemungkinan proses pembuatan vaksin ini boleh dipercepatkan lagi,” katanya.

Rangka tindakan & vaksin

Pakar itu menambah, setakat ini WHO telah pun merangka beberapa dasar berkenaan penyakit berjangkit terutamanya Penyakit X.

Unit kajian khusus untuk meneliti tentang rawatan dan vaksin pencegahan juga telah ditubuhkan.

Berdasarkan informasi WHO, sejak tahun lalu, pertubuhan berdaya maju itu sudah pun mengemas kini senarai patogen yang boleh menyebabkan wabak agar penyelidikan dan pembangunan (R&D) selanjutnya dapat dilaksanakan terutama berkaitan dengan vaksin, ujian dan rawatan.

Menurut Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan, WHO, Dr Michael Ryan, pihaknya menyasarkan patogen dan keluarga virus untuk R&D. Ia sebagai langkah signifikan untuk tindak balas wabak dan pandemik yang cepat dan berkesan.

Iklan

“Bagi patogen yang dikenal pasti sebagai keutamaan, Rangka Tindakan R&D WHO akan dilaksanakan dengan vaksin, rawatan dan ujian diagnostik akan dibangunkan,” katanya.

Dalam pada itu, Science Direct melalui penulisan khusus Penyakit X berkata, kerjasama saintifik, perkongsiaan data, pelaksanaan menyatukan sfera manusia, haiwan dan alam sekitar dalam mengenal pasti risiko memerlukan kerjasama saintifik.

Dunia memerlukan proses sistematik untuk mengkaji kemunculan patogen. Protokol makmal di seluruh dunia juga mesti dipantau dan diperkukuhkan,” kata sumber ilmiah itu.

Mengakui khuatir tentang pandemik masa depan itu, Dr Nurul Yaqeen berkata, langkah pencegahan awal kena bermula dari sekarang.

“Amalkan kebersihan diri dan persekitaran. Pakai pelitup muka bagi yang bergejala dan keraplah mencuci tangan. Kawal dan jaga tabiat pemakanan serta gaya hidup yang baik.

“Ya, ia (ancaman Penyakit X) memang menakutkan. Namun begitu, seperti yang saya jelaskan, pandemik ini masih di peringkat ramalan dan jangkaan. Belum ada sebarang bukti saintifik yang utuh menunjukkan wujudnya Penyakit X ini pada ketika ini.

“Ia diramalkan akan terjadi masa hadapan, tetapi tidak tahu lagi bilakah masanya. Mungkin juga ia tidak akan berlaku jika kita mengamalkan rutin hidup yang sihat dan mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Apa pun, ramai berpendapat, jika benarlah telahan Penyakit X itu bakal ‘menggoncang dunia’, vaksin baharu perlu segera dibangunkan.
Barangkali menerusi vaksin mRNA yang telah diterokai oleh syarikat farmaseutikal utama dunia.

Sebolehnya kita berharap bencana kesihatan itu tidak berlaku, apa lagi kalau ia tercatat sebagai pandemik terburuk dalam sejarah kewujudan dunia.

Namun, Pengarang, Fevered Planet: How Diseases Emerge When We Harm Nature, John Vidal berkata, menghapuskan risiko penyakit berjangkit adalah mustahil kini.

Jika kita hanya cuba merawat gejala penyakit dengan vaksin dan teknologi, manusia berada dalam bahaya. Satu-satunya cara untuk memastikan kesihatan manusia dan planet dalam keadaan baik adalah dengan meminimumkan gangguan alam semula jadi serta mengelakkan interaksi antara kita dan patogen spesies lain,” katanya dalam buku itu.

Persoalannya, bolehkah kita berbuat demikian?

BACA JUGA: Boleh ragut jutaan nyawa berbanding Covid-19, 6 info ‘ngeri’ penyakit X

BACA JUGA: Subvarian Kraken XBB.1.5 boleh cetus gelombang besar Covid-19, 10 info perlu tahu

Foto CANVA & PEXELS