Perlu kesan awal penyakit akibat saraf

7
7
A
A
A

ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

Otot lemah, kaki mengecil

Perlu dikesan awal untuk elak penderitaan dan kesukaran melibatkan motor neuron

Soalan 1:

IBU saya mengalami masalah pada bahagian tangan dan kaki kanan. Selain terlalu lemah, saya dapati otot bahagian tersebut lebih kecil. Baru-baru ini, kaki kirinya juga menjadi lemah dan mengecil, namun deria rasa pada bahagian tersebut masih normal.

Disebabkan anggota itu seakan-akan hilang fungsi, beliau sukar melakukan aktiviti harian terutamanya berkaitan kerja-kerja rumah. Ia sudah berlanjutan hampir tiga minggu. Mengapakah ia berlaku dan apakah tindakan yang perlu dilakukan?

Untuk pengetahuan, ibu saya berumur 56 tahun. Mohon penjelasan doktor.

- ANAK BIMBANG, INTAN SHAHFINAZ AZLI, 31, KUALA LUMPUR

Jawapan:

Puan, terima kasih atas persoalan yang diajukan. Berkisar mengenai situasi yang dijelaskan, ada beberapa kemungkinan. Disebabkan deria rasa yang normal, simptom itu boleh dikaitkan dengan penyakit motor neuron yang melibatkan kekuatan otot termasuk tangan dan kaki.

Biasanya penyakit bermula dengan rasa lemah pada dua anggota tersebut. Ia hanya akan berlaku pada sebelah bahagian tangan atau kaki, ia ‘menyerang‘ perlahan dan tidak mendadak, tetapi semakin hari semakin teruk serta tidak sembuh.

Selepas beberapa minggu, pesakit akan melihat otot pada bahagian yang lemah itu akan mengecut. Bagaimanapun, waspada sekiranya ia berlaku secara tiba-tiba, barangkali hal itu disebabkan strok. Terdapat juga kes yang berlaku pada sistem pemakanan seperti sukar untuk menelan makanan.

Lebih parah ada yang melibatkan sistem pernafasan. Untuk pengetahuan puan, ia tidaklah sangat jarang berlaku. Sebanyak 90 peratus kes berlaku secara rawak, manakala selebihnya akibat faktor genetik.

Faktor usia

Faktor usia sangat dikaitkan dengan penyakit itu. Banyak kes yang diklasifikasikan sebagai penyakit motor neuron membabitkan pesakit yang berumur antara 50 hingga 60 tahun.

Pesakit harus segera mendapat pengesahan pakar. Diagnosis perlu tepat memandangkan penyakit berkenaan dikatakan sangat mirip dengan penyakit sistem saraf yang lain.

Sebenarnya, sehingga kini masih belum ada rawatan yang spesifik. Begitupun, ia perlu didiagnosis awal kerana tiada ubat khusus untuk merawatnya. Apa pun, masih banyak kaedah lain untuk membantu pesakit motor neuron. Memberi rawatan rehabilitasi bagi membantu pesakit agar kembali berupaya melakukan kerja-kerja harian yang penting tanpa memberi kesukaran yang mendadak adalah antara kaedah rawatannya.

Risau sering ‘diserang‘ gejala kebas

Soalan 2: Doktor, saya mula rasa kebas pada kedua-dua belah kaki dan tangan pada masa yang sama. Keadaan itu sudah berlanjutan sejak beberapa hari yang lalu. Saya juga sedar cara saya berjalan berubah dan agak lemah. Saya risau kerana sebelum ini tidak pernah mengalaminya.

Mengapakah keadaan sedemikian berlaku doktor?

- INGIN TAHU, KHAIRUL AFENDY AZMIE, 24, KLANG, SELANGOR

Jawapan:

Tuan, melalui tanda-tanda yang dialami tersebut, ia berkemungkinan melibatkan penyakit sistem saraf luaran ataupun periferi iaitu berlaku luar daripada otak dan saraf tunjang. Penyakit itu juga dikenali sebagai autoimun saraf. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu akut dan kronik.

GBS jenis akut itu berlaku dalam satu atau dua kes baharu setiap 100,000 orang dalam setahun. Foto: UNSPLASH DAN FREEPIK

Klasifikasi jenis penyakit berkenaan bergantung kepada tempoh pesakit berhadapan gejalanya. Pesakit akan mula berasa kebas pada bahagian kaki dan dalam masa yang sama berasa lemah. Jika gejala yang ditunjukkan terjadi dalam masa yang singkat iaitu beberapa hari atau jam sahaja, itu ialah penyakit jenis akut saraf atau Guillain-Barre Syndrome (GBS).

Penyakit tersebut melibatkan sistem saraf motor dan deria rasa seseorang pesakit. Lebih membimbangkan, ia boleh melibatkan sistem pernafasan dan percakapan yang memerlukan bantuan pernafasan. Jika gejala yang sama berlaku melibatkan kedua-dua tangan dan kaki melebihi dua bulan, ia adalah jenis kronik.

Rawatan bagi kedua-dua jenis penyakit itu adalah berbeza. Pastikan tuan segera berjumpa dengan pakar bagi mengetahui dengan lebih jelas keadaan penyakit autoimun saraf jenis akut melibatkan sistem pernafasan.

Ia mempunyai ubat yang spesifik dan boleh dirawat. Selalunya penyakit tersebut menjangkiti individu yang terkena jangkitan virus atau kuman tertentu. Sistem badan akan menghasilkan antibodi yang membolehkan ia menentang sistem saraf kita, menyebabkan tanda-tanda seperti kekebasan, kekurangan deria rasa dan kelemahan.

Untuk makluman, penyakit berkenaan tidak melibatkan spesifikasi umur dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Akan tetapi, penyakit autoimun saraf jenis akut sering dihadapi oleh individu yang berumur antara 20 hingga 40 tahun, manakala jenis kronik pula antara usia 30 hingga 40 tahun.

PROFIL

Dr Kok Chin Yong

Pakar Perunding Neurologi Pusat Perubatan Sunway Velocity

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca