APABILA manusia menua, pelbagai penyakit akan singgah pada tubuh badan.Paling lazimnya adalah osteoartritis (OA).

Dalam bahasa mudahnya ia disebut sebagai penyakit sendi orang tua atau penyakit sendi degeneratif.

Menurut literatur perubatan yang ditulis oleh Arden N dan Nevitt MC bertajuk Osteoarthritis: Epidemiology. Best Practice & Research Clinical Rheumatology, OA melibatkan pemusnahan secara perlahan-lahan pada tulang rawan sendi.

SUMBER gambar hiasan daripada CANVA.

Apabila tulang rawan mula haus atau rosak, perkembangan tersebut akan menyaksikan kawasan itu akan rasa sakit, alami bengkak yang menonjol dan kekakuan pada sendi.

Secara umumnya, OA boleh terjadi pada mana-mana bahagian sendi terutamanya lutut, pinggul, leher dan bahagian bawah belakang termasuk tangan bermula hujung jari hingga hujung ibu jari.

Berdasarkan statistik dikongsi Lancet Discovery Science (2020), dianggarkan 16 peratus penduduk dunia menghidap OA.

Lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, OA merupakan punca kecacatan paling biasa di seluruh dunia. Data juga menunjukkan, hampir 10 peratus lelaki dan 18 peratus wanita berumur 60 tahun ke atas mempunyai gejala penyakit berkenaan.

“Kemelut kesihatan tersebut boleh berlaku ke atas generasi muda, namun mungkin disebabkan oleh kecederaan atau bebanan berlebihan pada sendi,” kata WHO.

Bagi mendapatkan penjelasan berkenaan OA, SinarPlus menemubual Pakar Bedah Ortopedik dan Trauma, SALAM Shah Alam Specialist Hospital, Dr Farid Fikri Shukri.

Kata Dr Farid Fikri, penyakit sendi kronik itu dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa.

Fakta itu disifatkan relevan memandangkan Malaysia sedang menuju sebagai status negara tua menjelang 2030, lapor Jabatan Statistik Malaysia.

Rekod menunjukkan, peratusan penduduk dikategorikan sebagai warga emas (berumur 65 tahun dan lebih) meningkat kepada 7.3 peratus pada tahun 2022 berbanding 7.0 peratus (2021) daripada keseluruhan populasi Malaysia.

“Selain itu, ia juga mungkin dipengaruhi dengan pertambahan kadar obesiti dan kecederaan yang dialami penduduk,” kata Dr Farid.

SUMBER gambar hiasan daripada CANVA.

Lutut bermasalah

Secara umumnya, sebab-sebab utama OA adalah seperti berikut:

  1. Kerosakan mekanikal: Terlalu banyak tekanan pada sendi. Sebagai contoh, seseorang mengalami kecederaan atau berat badan berlebihan.
  2. Kerosakan biologi: Tubuh badan tidak dapat membaiki tulang rawan dengan betul.
  3. Faktor keturunan: Genetik mempengaruhi pembentukan tulang rawan.

Mengulas mengenai golongan wanita yang lebih ramai menghidap OA, Dr Farid Fikri menerangkan, penghasilan hormon estrogen mula berkurangan apabila kaum Hawa mula meniti usia 40 tahun ke atas.

“Apabila mereka menopaus, tulang tidak mendapat kalsium yang mencukupi kerana kurangnya hormon estrogen untuk membantu penyerapan kalsium ke dalam darah.

“Keadaan itu menyebabkan tulang mengalami osteoporosis dan tidak dapat menyokong sendi dengan baik, sekali gus memicu kepada kerosakan sendi,” katanya.

Baca juga: Sakit lutut tidak kenal usia. Tiada lagi istilah penyakit orang tua!

SUMBER gambar hiasan daripada CANVA.

Faktor genetik juga memainkan peranan antara 40 hingga 60 peratus.

“Mereka yang mengalami kegemukan cenderung untuk mendapat OA. Tekanan yang berlebihan boleh berlaku pada sendi ketika bergerak akibat berat berlebihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, laman web perubatan, Cleveland Clinic berkata, rasa nyeri pada lutut tatkala bergerak atau berdiri tegak adalah simptom OA paling lazim.

Berikut antara petanda yang boleh dilihat seandainya seseorang berdepan kemelut keradangan lutut:

  1. Lutut rasa kaku terutamanya apabila seseorang mula bangun atau duduk terlalu lama.
  2. Lutut kelihatan bengkak atau terasa bengkak.
  3. Terdengar bunyi seperti retak atau bergeser ketika menggerakkan lutut.
  4. Lutut terasa longgar atau tersekat.

Semestinya, OA akan mengganggu rutin harian penghidapnya.

Paling ketara pastilah kesukaran untuk bergerak selepas bangun tidur atau sudah duduk terlalu lama.

Baca juga: “ACL lutut kiri saya putus” – Hairul Azreen ‘rehat’ shooting The Original Gangster

SUMBER gambar hiasan daripada CANVA.

Menurut American College of Rheumatology/Arthritis Foundation Guideline for the Management of Osteoarthritis of the Hand, Hip, and Knee (2019), tanpa rawatan yang sesuai, tulang rawan dan tulang di dalam sendi boleh mengalami kerosakan teruk.

“Sendi boleh menjadi bengkok atau berubah bentuk, otot di sekitar sendi mungkin menjadi lemah.

Pembengkakan sendi juga boleh terjadi dan situasi itu secara tak langsung boleh menekan saraf sehingga mengakibatkan rasa sakit dan dan kebas,” kata sumber tersebut.

Tidak mustahil, kesengsaraan yang dialami akan mengganggu lena pesakit, diselubungi perasaan murung, selain sulit untuk berjalan apatah lagi melakukan aktiviti seharian.

Gred kecederaan Mengulas lanjut, Dr Farid Fikri berkata, diagnosis secara klinikal perlu dilakukan untuk mengesan dan mengenal pasti OA.

“Pengesanan akan dilakukan doktor dengan menilai kesakitan, pembengkakan, pengurangan pergerakan yang dialami dan cara seseorang berjalan.

“Ujian X-ray pula dapat melihat pembentukan osteofit, pengurangan ruang sendi, perubahan sklerotik dan pembentukan sista tulang,” katanya.

Iklan

Osteofit adalah tunasan tidak normal pada tulang yang mengakibatkan rasa sakit padanya (tulang).

Berhubung cara rawatan, pakar berkenaan berkata, sama ada mahu melakukan prosedur bukan pembedahan, suntikan atau pembedahan (melibatkan arthroscopic debridement dan pemindahan lutut), ia bergantung kepada kepada tahap dan gred kecederaan yang dialami individu.

“Secara asasnya, ubat akan diberikan untuk mengurangkan simptom kesakitan.

Di samping itu, pengambilan suplemen seperti glucosamine, piascledine dan mobithron juga membantu memperlahankan perkembangan dan mengurangkan keradangan,” ungkapnya.

Mengulas lanjut, Dr Farid Fikri berkata, dalam sesetengah kes, rawatan invasif iaitu melalui suntikan sendi melibatkan ubat seperti hyaluronic acid, platelet-rich plasma, radiofrekuensi dan steroid akan diberikan.

Adakah OA boleh dicegah pada peringkat awal? Untuk menjawab pertanyaan yang sering diajukan itu, SinarPlus menghubungi Pegawai Perubatan, Klinik Chenang Cawangan Jitra, Kedah, Dr Ahmad Affiq Hadri Ahmad Fitri.

Kata beliau, perubahan gaya hidup adalah langkah paling ideal dalam usaha menangani OA.

“Terlalu obes atau terlampau berat akan memburukkan lagi keadaan tulang rawan yang haus disebabkan tekanan berlebihan.

Untuk makluman semua, jika berat badan dapat dikurangkan sebanyak 1 kilogram (kg), sejumlah 4kg bebanan pada sendi lutut boleh dikurangkan. Itu faktanya,” kata beliau yang menyarankan pesakit mempraktikkan rejim diet bernutrisi.

Iklan

Baca juga: Doktor sedut cecair keluar darah, Zaquan Adha diuji cedera ligamen lutut, Ayu Raudhah setia di sisi

Dari segi pemakanan pula, Dr Ahmad Affiq berkata, tiada hidangan yang spesifik untuk merawat masalah OA.

Pun begitu, pesakit boleh disarankan melebihkan makanan yang kaya dengan omega-3 dan minyak zaitun yang membantu memperlahankan kesakitan keradangan sendi.

“Makanan yang tinggi protein dan kolagen pula dapat membantu merawat kerosakan tulang rawan,” ujarnya.

Menurut Arthritis Foundation, bersenam atau melakukan pergerakan adalah aspek terpenting dalam pelan rawatan sendi tanpa ubat.

“Seseorang perlu melakukan senaman secara sederhana seperti aerobik iaitu lebih 150 minit sehari. Program senaman yang baik seperti regangan membantu mengurangkan tekanan dan mengekalkan pergerakan sendi,” ujar sumber itu.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!