PAKAR Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail berkata, para pesakit AIDS di Malaysia sering memencilkan diri akibat dikecam dan sering didiskriminasikan oleh orang ramai.

Ujar beliau, lazimnya situasi itu terbahagi kepada dua keadaan.

Pertama, masyarakat sekeliling termasuk ahli keluarga, saudara-mara atau rakan sekerja yang bersikap pesimis. Kedua, faktor dalaman pesakit AIDS itu sendiri.

“Lazimnya, wujud diskriminasi yang mana orang awam mempunyai  rasa takut kononnya mereka  akan dijangkiti walau hanya berbual baik atau duduk semeja dengan para pesakit. Selain itu, mereka mempunyai penilaian buruk terhadap kehidupan yang dijalani oleh pesakit walaupun pada hakikatnya, mereka tidak tahu bagaimana pesakit mendapat virus berkenaan,” katanya.

Dari satu sisi lain, terdapat sesetengah pesakit yang sudah  mempunyai stigma terhadap pesakit AIDS terdahulu.

“Jadi, apabila diri sendiri menghidap AIDS, mereka sudah membuat penilaian negatif dan ini adalah satu bentuk tragedi yang tidak disedari oleh individu berkenaan (pesakit),” katanya.

Apabila hal itu terjadi, terdapat kes yang menyaksikan individu berkenaan gagal mendapatkan rawatan sewajarnya dan terus meminggirkan diri daripada kelompok masyarakat.

“Apa yang ditakuti, disebabkan tidak mempunyai kefahaman yang betul tentang AIDS, mereka mungkin akan terus mengamalkan cara hidup yang berisiko dan membahayakan mereka yang lain termasuk pasangan hidup,” katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Dr Nadia berkata, menerusi penyelidikan sahih mendapati, secara umumnya para pesakit AIDS mudah terdedah dengan masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kecelaruan keresahan, empat hingga 10 kali ganda berbanding populasi umum.

Di Amerika Syarikat misalnya, pesakit AIDS mempunyai risiko kemurungan antara dua hingga enam kali ganda lebih lebih tinggi. Angka itu lebih tinggi bagi negara-negara dunia ketiga yang merekodkan risiko sehingga 27 peratus.

Iklan

“Potensi mendapat kecelaruan kesihatan mental bagi pesakit AIDS  sebenarnya bergantung kepada beberapa faktor termasuklah dari segi genetik dan sistem sokongan psikologi serta sosial, selain daripada faktor penyalahgunaan dadah dan sebagainya.

“Kesihatan mental para pesakit boleh berada pada tahap yang optimum jika terus mendapat sokongan ahli keluarga, rakan sekerja dan masyarakat setempat termasuklah rawatan dan pemantuan yang berkala daripada doktor,” katanya.