Pesakit asma: Jangan berani untuk cuba berpuasa kalau tak mampu. Elak juga makan 'makanan sejuk'
Pesakit asma: Jangan berani untuk cuba berpuasa kalau tak mampu. Elak juga makan 'makanan sejuk'
ISLAM ialah agama yang mudah, tidak menyusahkan, apalagi memberatkan penganutnya.
Dalam menunaikan Rukum Islam ketiga iaitu menunaikan ibadah puasa, agama suci ini sangat bertoleransi.
Seandainya mereka tersenarai dalam daftar penyakit kronik seperti kanser yang sedang dalam proses pengubatan, penderita sakit jantung dan penghidap asma tahap teruk, pertimbangan yang sewajarnya diberikan.
Pun demikian, terlebih dulu, para pesakit sangat dianjurkan untuk mendapatkan pandangan atau berkonsultansi dengan doktor jika ingin berbuat demikian.
Pendekatan tersebut perlu dilakukan bagi mengelak kemudaratan dan mencegah kematian.
Mengikut syarak, hukum berpuasa bagi orang sakit tidak wajib kerana ibadah berkenaan berkemungkinan boleh membuatkan mereka lebih menderita dan barangkali akan memburukkan lagi kondisi kesihatan.
Menerusi artikel sulung Medik pada Ramadan tahun ini, kami akan mengupas lebih mendalam tentang kebolehupayaan penderita asma untuk berpuasa.
Berdasarkan statistik yang dikongsikan https://asthmamalaysia.org/, sekitar dua juta rakyat Malaysia sedang berdepan krisis kesihatan itu dengan 90 peratus kes yang tidak terkawal.
Hampir satu perempat kanak-kanak di Malaysia dan kira-kira 15 peratus orang dewasa direkodkan mengalaminya.
Kepada Konsultan Perubatan Dalaman, MSU Medical Centre, Dr Rohaya Abdul Razak, beberapa persoalan relevan diajukan.
Ujar Dr Rohaya, asma atau lelah dengan erti kata mudah adalah merujuk kepada penyakit paru-paru kronik yang mengalami keradangan dan menyebabkan penyempitan saluran pernafasan.
Secara relatifnya, klasifikasi tahap asma bagi orang dewasa adalah seperti berikut:
Tahap 1: Serangan asma tidak lebih dari dua kali seminggu dan pada waktu malam, tidak lebih daripada satu kali sebulan.
Tahap 2: Serangan lebih dari dua kali seminggu dan pada waktu malam, lebih daripada dua kali sebulan.
Tahap 3: Serangan harian dan gejala waktu malam lebih dari sekali seminggu. Serangan yang kritikal berlaku sekurang-kurangnya dua kali seminggu dan kebarangkalian boleh berlarutan selama beberapa hari.
Tahap 4: Serangan yang kerap. Simptom pada siang hari berterusan dan pada waktu malam, ia akan menjadi lebih kerap.
Memicu kematian
Menurut Dr Rohaya, bagi tahap 1 dan 2, mereka boleh berpuasa.
Pandangan itu selari dengan dapatan menerusi jurnal Annals of Allergy, Asthma and Immunology yang mendapati, 90 peratus daripada penghidap asma yang menjalankan ibadah berkenaan tidak menyuarakan sebarang keluhan. Pada masa sama, tubuh badan berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.
“Pesakit pada tahap 1, mereka memerlukan inhaler ventolin (ubat bronchodilator) bila perlu sahaja, jadi tiada masalah untuk puasa.
“Sementara, individu pada tahap 2, biasanya mempunyai inhaler (alat sedut) yang digunakan pada setiap hari bagi mencegah mereka mendapat serangan. Dalam erti kata lain, pada bulan Ramadan, mereka boleh ambil ketika bersahur dan berbuka,“ katanya.
Pun demikian, golongan pada tahap 2 perlu lebih berwaspada terhadap elemen-elemen yang boleh mencetuskan lelah.
Sebagai contoh, sesetengah orang tidak boleh terdedah kepada habuk, bulu binatang, debunga atau punya alergi kepada makanan tertentu mahupun pengawet.
“Justeru, kena berhati-hati lebih-lebih lagi dengan situasi sekarang yang menyaksikan virus Covid-19 dan influenza masih belum reda. Apabila terjadi jangkitan pada paru-paru atau infeksi viral, ia boleh membuatkan seseorang mendapat serangan,“ katanya.
Menyentuh golongan yang berada pada tahap 3 dan 4, beritahu Dr Rohaya, setiap individu tidak boleh berpuasa lebih-lebih lagi jika terkena influenza atau Covid-19.
Apa akan jadi jika kedegilan menguasai diri? Adakah ia boleh memicu kematian?
Jawab Dr Rohaya: “Boleh. Asma adalah mengenai air trapping (udara terperangkap) dalam paru-paru. Dalam erti kata mudah, apabila pesakit bernafas, terasa seperti dada sendat dan ketat. Nak tarik nafas, tak boleh sebab ‘ketat‘. Keradangan yang dihadapi akan menyebabkan pernafasan menebal (sebab saluran jadi sempit).
Itu sebab kalau pesakit kena serangan, akan kedengaran bunyi seperti tiupan wisel (wheezing). Kalau jenis senyap, tiada bunyi, lagi bahaya kerana boleh mengancam nyawa. Kemungkinan besar, ia memerlukan bantuan pernafasan atau intubasi dan perlu dibantu dengan ventilator.“
Mengulas lanjut, pakar perunding perubatan itu berkata, asma sekiranya dikawal dengan baik dan tidak terdedah dengan persekitaran yang sensitif, tidak akan mengundang sebarang masalah.
“Bukan kerana tak makan atau minum, mereka akan dapat asma, bukan begitu. Cuma mereka perlu mengambil ubat dan dengar nasihat doktor agar penyakit itu kekal stabil,“ katanya.
Dalam pada itu, Dr Rohaya menambah, asma lazimnya dikaitkan dengan sejarah ahli keluarga. Ia dikenali sebagai atopic asthma atau asma alahan yang merangkumi tiga jenis penyakit iaitu asma, ekzema dan resdung (rhinitis).
Rata-rata kesemuanya, dicetuskan oleh alergen seperti debunga dan haiwan.
Menurut laman perubatan, https://www.asthmaandlung.org.uk/, kira-kira 80 peratus penghidap asma mempunyai alahan.
Justeru, ujar pakar tersebut, jika ahli keluarga memiliki salah satu daripada tiga penyakit yang dinyatakan tadi, waris berpotensi mewarisinya.
Barangkali pada awalnya, mereka akan ada asma terlebih dulu. Apabila menjengah usia emas, mereka akan menderita ekzema pula. Itu bukan sesuatu yang pelik.
Elak ‘makanan sejuk‘
Kepada satu soalan, Dr Rohaya berkata, pesakit asma perlu memastikan mereka mengambil lapan gelas air putih setiap hari, bukan jenis berkafein.
Pecahannya boleh dilakukan seperti berikut:
-Sahur (2 gelas)
-Berbuka (2 gelas)
-Selepas tarawih dan sebelum tidur (4 gelas)
“Jika individu terbabit bekerja dalam sektor yang memerlukan lebihan tenaga seperti dalam industri pembinaan, keperluan air perlu lebih lagi,“ jelasnya.
Ketika ditemuramah, pakar perunding perubatan tersebut turut berkongsi tip puasa yang sihat untuk pesakit asma pada semua tahap.
Ungkapnya, hal yang paling penting yang perlu dititik beratkan adalah bersahur.
“Seseorang perlu ada tenaga. Masakan tidak, stres dalam kehidupan kini seperti bergelumang dengan masalah kewangan, keluarga dan beban kerja yang banyak juga adalah punca stres yang boleh menyebabkan seseorang diserang asma. Kita sebagai pengamal perubatan sudah jumpa banyak kes sebegini.
“Jadi, bersahurlah waima hanya minum susu dan kurma. Ini kerana jika tak, perut akan lapar badan boleh menjadi stres. Pastikan juga cukup lapan gelas air sehari, elakkan dapat dehidrasi,“ katanya.
Selain itu, penghidap juga perlu memastikan makan ubat ikut preskripsi atau pakai alat sedut atau preventor.
Jelas Dr Rohaya, alatan tersebut amat penting bagi mengelak lelah meletus atau pun paling tidak, mengurangkan keterukan tahap serangan jika berlaku.
Seperkara, pesakit juga wajib menghindarkan diri daripada menikmati buah-buahan dalam kategori ‘sejuk‘ seperti tembikai, tembikai susu dan oren termasuk minuman berais.
“Mereka memang tak boleh dengan makanan yang saya maklumkan itu. Kalau mula batuk dan berkahak, mereka akan semput.
"Ada ‘bahan‘ dalam buah itu yang mungkin seseorang alergi dan akhirnya menjadi radang," ujar beliau.
Dr Rohaya turut berpesan, golongan berkenaan sebaik-sebaiknya menjauhkan diri daripada melakukan aktiviti fizikal yang terlampau berat.
Kalau nak buat juga, kena ikut kemampuan masing-masing. Namun, apa yang saya boleh katakan, ia (aktiviti berat) memang boleh menyebabkan serangan asma terutama pesakit dalam kumpulan tiga dan empat. Mereka tak boleh ‘kalut‘, jika tak, mereka akan semput kerana paru-paru mereka sangat lemah,“ katanya yang sangat menggalakkan pesakit makan sayur-sayuran.
Dalam pada itu, Doctor On Call dalam penulisannya berkata, cara mengelak asma selain ubat-ubatan tidak terlalu sukar, namun perlukan disiplin dan prinsip yang utuh.
Pertama, berhenti merokok yang boleh merosakkan paru-paru.
Seterusnya, rawatan allergic rhinitis (keradangan atau bengkak yang disebabkan alahan pada bahagian hidung) dan refluks gastroesofagus (gangguan pencernaan kronik) secara serentak dengan asma juga boleh mengganggu kawalan asma.
“Mengambil suntikan vaksin influenza dan pneumonia (pneumococcal) juga boleh membantu,“ kata sumber itu.
BACA JUGA: Jika terkena sesak nafas ringan, ini 7 cara redakan asma secara semula jadi
BACA JUGA: Bukan sahaja tuntutan agama, ini 6 kelebihan puasa Ramadan dari sudut kesihatan
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang