AWAL bulan lalu, selebriti terkemuka Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan berkongsi kisah ibu tercintanya, Noraini Abdullah, 89, yang disahkan menghidap kanser payudara tahap empat.

Kata Cef Wan dalam catatan menerusi laman Instagramnya: “Meskipun terkejut dengan perkhabaran itu, namun saya tetap tabah menjalani kehidupan seharian. Biarpun sedih, saya tidak mahu menunjukkannya pada orang ramai, sebaliknya mahu mengambil cabaran tersebut dengan baik dan terus membahagiakan ibu.”

Selain ibu cef terkenal itu, SinarPlus menyelami seorang lagi pesakit kanser payudara yang juga seorang warga emas, Noormalah Ahmad, 64.

Ujar Noormalah, beberapa tahun lalu, selepas terdapat ketulan yang berpotensi memacu penyakit barah payudara, atas nasihat doktor, satu pembedahan dilakukan.

“Selang beberapa tahun selepas pemeriksaan lanjutan, saya dapati ada ketulan baharu pada bahagian payudara kiri pula. Selepas membuat ujian biopsi, ya betul, memang ada.

“Malang tidak berbau, selepas membuang sebelah payudara untuk mengelak daripada dijangkiti pada bahagian organ lain, doktor memaklumkan bahawa tahap kanser saya telah berada di tahap kedua,” kata anak jati Pulau Pinang itu dengan nada sayu.

Ujarnya, beliau reda dengan ujian ALLAH SWT kerana keputusan yang diumumkan itu seperti yang dijangkakan dirinya.

Namun demikian, Noormalah sedikit lega ekoran kos rawatan tidak terlalu membebankan kerana tidak memerlukan ubat-ubatan lain.

“Saya hanya perlu mengikuti proses rawatan kimoterapi dan radioterapi untuk beberapa bulan sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu, Laporan Daftar Kanser Kebangsaan (2012 hingga 2016) merekodkan, terdapat peningkatan dalam kes kanser di Malaysia.

Kanser payudara menduduki carta teratas bagi 10 jenis kanser yang paling biasa ditemui di Malaysia.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa bilangan kes kanser tahap tiga dan empat meningkat daripada 58.7 peratus (2007 hingga 2011) kepada 63.7 peratus (2012 hingga 2016).

Kadar sembuh rendah

Bagi mengulas lebih terperinci tentang kanser payudara dalam kalangan warga emas di negara ini, SinarPlus mendapatkan penjelasan daripada Pakar Perunding Pembedahan Am, Hospital Pantai, Dr G C George.

DR G C George.

Kata Dr George, kanser payudara adalah paling tinggi dikesan iaitu mencatat 31 peratus, diikuti kolorektal (11 peratus) dan kanser serviks (tujuh peratus).

Lebih membimbangkan, 60 peratus daripada wanita hanya menyedari mereka mempunyai kanser apabila memasuki tahap ketiga dan keempat.

Bagi pesakit yang lambat mengetahuinya, kebarangkalian untuk sembuh adalah sebanyak 30 peratus berbanding 90 peratus bagi yang membuat pemeriksaan awal, ujarnya.

“Perkara itu jelas menunjukkan tahap kesedaran wanita tempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesan masalah kanser masih rendah,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Sementara itu, Statistik Kanser Malaysia pada tahun 2006 menunjukkan, kanser payudara dalam kalangan mereka berumur 70 tahun ke atas adalah 85.5 per 100,000 penduduk.

Mengulas mengenainya, Dr George berkata, risiko kanser payudara bertambah seiring dengan peningkatan umur. Hampir satu pertiga kanser payudara katanya, melibatkan wanita warga emas yang berumur 70 tahun dan ke atas.

Meskipun demikian, walaupun kanser tersebut semakin bertambah dalam kalangan warga emas, namun demikian penyakit itu paling tinggi berlaku dalam kalangan mereka yang berumur antara 50 ke 59 tahun.

“Kaum lelaki juga tidak terkecuali apabila kanser payudara dalam kalangan mereka juga lebih biasa berlaku pada umur melebihi 50 tahun,” ujarnya.

Risiko ‘timbunan’ penyakit

Memberi pencerahan lanjut, Dr George berkata, secara realitinya umur memainkan peranan paling signifikan terhadap risiko kanser payudara.

Mengapa dan apakah alasan-alasannya? Berikut adalah huraian jika penyakit itu dihidapi dalam kalangan individu berusia:

i) Berlaku kerosakan struktur asid deoksiribonukleik (DNA) secara berperingkat dengan peningkatan umur.

ii) Kelemahan daya pertahanan/ketahanan badan terhadap sel-sel kanser.

“Selain daripada umur, mereka yang terdedah kepada kanser payudara adalah mereka yang dalam kumpulan reproduktif (umur kurang daripada 11 tahun yang mana ketika itu kitaran haid bermula), umur menopause (lebih 55 tahun), tidak pernah beranak (nulliparous) dan mendapat anak pertama selepas umur 30 tahun,” beritahunya.

Individu yang mempunyai kanser ovari juga berpotensi memiliki barah jenis itu.

Artikel berkaitan: Daging proses rangsang pertumbuhan kanser

Seperti penyakit-penyakit lain, pengambilan pemakanan yang tidak sihat berupaya mencetuskan barah payudara.

“Kandungan lemak haiwan semestinya perlu dielakkan termasuk pengambilan ubat-ubat hormon,” tambah beliau.

Namun, ujar Dr George, isu kelewatan warga emas lazimnya yang menyebabkan prognosis mereka adalah kurang dibandingkan dengan mereka yang lebih muda atau lebih awal mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Prognosis merujuk kepada ramalan tentang penyembuhan sesuatu penyakit terutamanya setelah pesakit menjalani rawatan.

Kata pakar kanser itu lagi, sekiranya seseorang warga emas dikesan mendapat kanser payudara, terdapat banyak faktor yang perlu diambil kira. Antaranya:

Iklan

i) Masalah kesihatan yang sedia ada (co-morbidities seperti penyakit jantung, diabetes dan sebagainya).

ii) Keadaan kesihatan keseluruhan yang lemah.

iii) Kurang bantuan sosial.

iv) Masalah pergerakan (mobility and transportation).

v) Pilihan pesakit atau mereka yang menjaga.

vi) Kerisauan tentang kualiti hidup selepas rawatan dan jangka hayat yang singkat.

Ketulan menjalar ke organ lain

SinarPlus turut mendapatkan pandangan Pakar Bedah Am, Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Foo Siang Lin.

DR Foo Siang Lin.

Menjawab satu soalan, Dr Siang Lin memberitahu, sebab utama mengapa wanita lebih terdedah kepada kanser payudara adalah kerana masalah perubahan hormon.

Dari sudut perspektif perubatan, masalah barah berkenaan datang daripada kes sporadik iaitu berkaitan dengan faktor genetik.

“Para pesakit juga terdiri daripada mereka yang biasanya mengamalkan pil-pil hormon dan pil-pil perancang,” jelasnya.

Bagi memberi pencerahan apa itu kanser payudara, pakar tersebut menjelaskan dengan pendekatan yang mudah untuk difahami.

Iklan

Katanya, payudara wanita adalah terdiri daripada sel-sel kelenjar lobul yang menghasilkan susu (lobulas), saluran yang membawa susu ke bahagian puting, lemak dan tisu pengantara, saluran darah dan limfa.

Kebanyakan kanser payudara bermula daripada sel yang melapisi bahagian saluran (ductal cancer), sebahagian lain bermula pada kelenjar lobul (lobular cancer) dan selebihnya bermula daripada tisu-tisu lain, terang beliau.

“Secara umumnya, simptom kepada kanser payudara adalah terdapatnya ketulan (berbentuk biji) yang mana boleh diperiksa semasa sedang mandi atau berada di hadapan cermin. Selain itu, kulit seseorang akan kelihatan berkedut seperti permukaan kulit buah oren,” ujarnya.

Dr Siang Lin menambah, jika puting payudara sering berasa sakit atau puting sedikit ke dalam dan mengeluarkan cecair putih atau berdarah juga, merupakan gejala kepada penyakit kronik itu.

Lebih membimbangkan, kata pengamal perubatan itu, ketulan pada payudara boleh atau akan merebak ke bahagian ketiak dan situasi itu  boleh menyebabkan kanser seseorang semakin teruk.

“Apabila ia sudah merebak, rawatan yang bersesuaian perlu segera diberikan. Jika (rawatan) ia dilengah-lengahkan, kanser itu akan menjalar ke organ badan lain seperti jantung, paru-paru, hati, limpa, tulang dan otak (berada di tahap keempat),” jelasnya.

Sehubungan itu, Dr Siang Lin menggesa wanita berumur 35 tahun ke atas digalakkan menjalani ujian mammogram selain melakukan pemeriksaan sendiri payudara dan pemeriksaan klinikal payudara.

“Jika sudah merasa sesuatu tidak kena atau tidak normal pada bahagian payudara, segeralah berjumpa dengan doktor,” nasihatnya.

ANEKDOT

JENIS-JENIS pembedahan bertujuan untuk membuang tisu kanser payudara melibatkan:

  1. Pembuangan ketulan kanser pada payudara (lumpectomy). Merupakan terapi konservatif yang mana tisu normal tidak dibuang.
  2. Pembuangan sebahagian payudara (partial segmental mastectomy).Pembedahan itu melibatkan pembuangan lebih tisu payudara berbanding dengan (lumpectomy). Ia biasanya diikuti dengan radioterapi.
  3. Pembuangan sebahagian atau seluruh payudara (simple or total mastectomy). Dalam pembedahan itu, keseluruhan payudara yang terlibat dibuang, tetapi kelenjar limfa di ketiak dan otot-otot di bawah payudara tidak dibuang.
  4. Pembuangan payudara radikal diubah suai (modified radical mastectomy). Pembedahan akan melibatkan pembuangan seluruh payudara yang terlibat dan sebahagian kelenjar limfa di ketiak.
  5. Pembuangan payudara radikal (radical mastectomy). Pembuangan seluruh payudara, yang terlibat kelenjar limfa dan otot-otot bahagian bawah payudara.
  6. Pembedahan bahagian ketiak (axillary dissection). Pembedahan dilakukan untuk memastikan sama ada kanser payudara telah merebak ke kelenjar limfa di ketiak atau tidak. Sebahagian kelenjar akan dikeluarkan dan diperiksa dibawah mikroskop.

Sumber: Pakar Bedah Am, Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Foo Siang Lin.