Proton lancar empat varian edisi istimewa, janjikan reka bentuk unik, lebih luar biasa
PROTON Holdings Bhd sekali lagi menarik perhatian industri automobil negara apabila melancarkan model edisi istimewa hari ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, keinginan para pengguna yang mahukan lebih banyak variasi edisi khas menjadi keutamaan.
"Kenapa edisi khas? Ini kerana ia dibina khas untuk anda, bahkan menjadikannya sebahagian daripada diri dan keluarga.
"Proton mahu pelanggan menikmati perjalanan yang mampu mencipta kenangan istimewa bersama insan tersayang," katanya sempena pelancaran secara maya dalam platform Facebook.
Kata Roslan, bagi meraikan keinginan pelanggan, pihaknya bukan sahaja melancarkan satu bahkan empat edisi khas terbaru untuk memberikan lebih banyak kegembiraan dan pilihan.
"Pelancaran edisi khas ini bukti kemampuan syarikat sebagai pengeluar kereta yang lengkap dengan kemampuan untuk mereka bentuk, membangun dan membina kereta sendiri hasil permulaan baharu.
"Dengan sokongan rakan kongsi, Geely, kami dapat menghasilkan lebih banyak model baharu yang menampilkan teknologi baru pada kadar yang lebih pantas," ceritanya.
Sementara itu, Ketua Pereka Proton Edar, Azlan Othman turut memperincikan keunikan edisi istimewa yang ditawarkan kepada pengguna.
"Pilihan rona hitam adalah warna yang terbaik untuk menggambarkan suasana elegan dan premium, malah turut memberikan tanggapan mudah disenangi.
"Sentuhan premium dan kemewahan yang tersirat pada dua tawaran yang mesra keluarga ini dilihat mampu menonjolkan kualiti untuk menarik perhatian umum," terangnya.
Apa yang menarik mengenai edisi istimewa keluaran Proton? Nah! Berikut ada perinciannya:
Proton Persona dan Exora Edisi Hitam
- Warna dominan ialah hitam.
- Hiasan gril atas hitam.
- Aksen emas bagi hiasan bamper bawah depan dan belakang.
- Rim bercat warna emas.
- Hiasan lampu depan berwarna hitam.
- Tempat duduk dan perapi pintu yang ditambah baik dengan penataan gaya baharu termasuk bahan kelulit hitam mewah.
- Kekemasan baharu pada tombol dan papan pemuka.
- Perapi pintu dan konsol lantai berwarna hitam.
- Exora dilengkap dengan papan skrin di bumbung.
- Penapis kabin N95 untuk pelindungan lebih baik daripada pencemaran luar.
Proton Iriz dan Saga R3 Edisi Terhad
- Pengendalian dengan imej prestasi R3.
- Rona hitam dengan kemasan kuning.
- Ciri sama dengan Saga Edisi Ulang Tahun tetapi ditambah pelekat badan, pelekat cermin hadapan dan belakang R3.
- Sentuhan halus seperti lambang R3 pada penutup but dan pelekat tingkap bagi mengiktiraf kejayaan Proton dalam sukan permotoran.
- Percikan rona kuning pada panel tengah, kombinasi meter dan ventilasi penyaman udara serta alas kaki khas R3.
- Tempat duduk dan stereng kekulit.
- Reka bentuk busur dengan kemasan warna kuning pada Proton Iriz ditonjolkan bersama Kit Badan R3.
Pasti ramai yang tertanya-tanya harga yang ditawarkan bukan? Harga yang ditawarkan untuk Proton Persona Edisi Hitam bermula RM55,600 manakala Exora Edisi Hitam pula bermula RM69,800.
Untuk Proton Iriz R3 Edisi Terhad pula dijual pada harga bermula RM53,700 dan Proton Saga R3 Edisi Terhad pada harga bermula RM42,800.
Selain reka bentuk dalaman dan luaran yang dipertingkatkan, model edisi istimewa tersebut mampu memenuhi gaya hidup bahkan membuatkan pemilik lebih menonjol.
Bukan sahaja menawarkan tahap keselesaan, keselamatan dan pengendalian yang sama pada setiap model standard bahkan aspek estetik turut dipertingkatkan.
Wow! Barangkali menjadi satu berita baik buat peminat jenama Proton apabila tempahan dibuka serta-merta sempena pelancaran tersebut.
Untuk rekod, Proton juga sebelum ini melancarkan Proton Saga Edisi Ulang Tahun bagi meraikan 35 tahun pencapaian Proton pada 9 Julai tahun lepas.
Lebih menakjubkan, jualan edisi ulang tahun tersebut berjaya terjual 1,100 unit dalam tempoh lima hari selepas pelancarannya.
Bermula dengan varian Saga sejak tahun 1985 dan masih gah sehingga ke hari ini, membuktikan jenama itu masih diyakini rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman rasmi Facebook di https://www.facebook.com/ProtonCarsOfficial atau terus ke laman web rasmi, https://www.proton.com/.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang