KANSER payudara merupakan antara penyakit paling lazim dideritai wanita di negara ini.

Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (2012 hingga 2016),  hampir 50 peratus kes yang dikesan sudah berada pada tahap tiga dan empat.

Bagi mengecilkan statistik itu, para saintis Malaysia dengan kerjasama Singapura dan Universiti Cambridge, England berjaya membangunkan alat genetik untuk menilai risiko kanser payudara untuk wanita Asia.

Alat tersebut yang dipanggil Skor Risiko Poligenik atau Polygenic Risk Score (PRS) boleh digunakan untuk meramalkan kemungkinan wanita menghidap kanser payudara berdasarkan jujukan genetik mereka.

 Skor Risiko Poligenik
Skor Risiko Poligenik

 

Keputusan yang diperoleh seterusnya boleh memberi pilihan kepada kaum Hawa untuk memilih cara saringan dan pencegahan kanser yang sesuai.

Selain itu, ia juga boleh membantu mengurangkan ketidakcekapan, kos yang tidak perlu termasuk mengurangkan bahaya yang mungkin menanti seandainya diagnosis yang dilaksanakan terlalu berlebihan.

Ketua Pegawai Saintifik, Cancer Research Malaysia yang juga merangkap ketua bersama projek PRS, Profesor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang berkata, saringan kanser yang ‘diperibadikan’ adalah satu pendekatan signifikan memandangkan kebanyakan wanita Asia sebenarnya mempunyai risiko yang rendah untuk menghidap kanser payudara.

Hanya segelintir sahaja yang mewarisi faktor genetik yang dikaitkan dengan penyakit yang ditakuti ramai itu, katanya.

 

 

“Justeru, PRS dibangunkan untuk menentukan risiko kanser payudara wanita dengan tepat supaya orang Asia mencapai ekuiti yang lebih besar dalam mencapai akses kepada teknologi.

Alat genetik itu juga dapat membuka jalan untuk mengurangkan jurang dalam kelangsungan hidup pesakit kanser dalam kalangan orang Asia berbanding dengan orang Eropah,“ katanya baru-baru ini.

Untuk rekod, kajian kolaboratif itu telah diterbitkan dalam jurnal sains berprestij, Genetics in Medicine.

Selain Cancer Research Malaysia, projek berkenaan turut dijalankan dengan kerjasama beberapa pihak seperti Profesor Madya Dr Ho Weang Kee dari Universiti Nottingham, Profesor Douglas Easton dan Profesor Antonis Antoniou (Universiti Cambridge), Profesor Dr Nur Aishah Mohd Taib (Universiti Malaya) dan Profesor Datuk Dr Yip Cheng Har (Pusat Perubatan Subang Jaya).

Penyelidik lain ialah Profesor Wei Zheng (Universiti Vanderbilt), Profesor Madya Dr Mikael Hartman (National University Health System), Dr Li Jingmei (Genome Institute of Singapore), enam hospital di Singapura termasuk tiga kohort prospektif berasaskan populasi besar masing-masing dari Singapura, Korea dan Cina.

 

Lebih tepat

Dalam pada itu, Dr Weang Kee berkata, pembangunan peranti yang tepat untuk wanita Asia memerlukan saiz sampel yang besar.

Malangnya, rata-rata penyelidikan bertumpu kepada wanita Eropah. Pada masa sama, alat yang dihasilkan adalah kurang tepat untuk wanita Asia.

Kajian kami mengumpulkan 58,760 wanita Asia dari Malaysia, Singapura, Jepun, Korea, Cina, Hong Kong, Thailand, Taiwan, Amerika Syarikat dan Kanada.

“Pendekatan itu telah memberikan kami saiz sampel untuk mengenal pasti penanda genetik yang penting untuk populasi Asia.

“Ia juga merupakan kajian kanser payudara pertama yang menggunakan kaedah pembangunan pelbagai keturunan untuk mendapatkan ketepatan dengan menyepadukan data daripada 228,951 wanita Eropah dengan penanda genetik khusus Asia.

“Hasil kajian ini menunjukkan bahawa kaedah ini meningkatkan ketepatan alat dengan ketara,“ jelas pakar tersebut.

Sementara itu, Dr Tai Mei Chee yang juga pengarang pertama bersama kajian itu menerangkan, struktur genetik tidak sama untuk semua orang Asia.

Iklan

Sebagai contoh, wanita Melayu, Cina dan India sangat berbeza antara satu sama lain.

Maka, dengan menghimpunkan pesakit dari Universiti Malaya, Pusat Perubatan Subang Jaya, National University Hospital dan enam pusat rawatan utama lain di Singapura telah meningkatkan saiz sampel orang Asia Tenggara.

Ia telah membolehkan kami menunjukkan bahawa PRS baharu itu dapat meramalkan risiko kanser payudara merentasi kumpulan etnik Melayu, Cina dan India dari Malaysia dan Singapura,“ katanya.

 

 

Peningkatan kes

Secara lazimnya, golongan wanita disyorkan untuk memulakan saringan pada usia 50 tahun.

Bagaimanapun, di kebanyakan negara Asia, ramai yang mungkin berisiko mendapat kanser payudara tidak pergi menjalani saringan.

Kecenderungan itu nampaknya akan membawa kepada pengesanan lewat dan kadar kelangsungan hidup secara automatik menjadi lebih rendah.

Iklan

Itu sebab kata Dr Hartman, skor PRS adalah langkah penting ke hadapan dan meletakkan asas untuk pemeriksaan mamografi berasaskan risiko di Singapura.

Dari sudut pandangan tempatan, Dr Nur Aishah berkata, saringan berasaskan risiko mungkin menjadi amat penting di negara sumber rendah dan sederhana yang tidak mempunyai saringan berasaskan populasi seperti di negara ini.

Tanpa pembiayaan untuk saringan berasaskan populasi, mengenal pasti individu yang mempunyai risiko lebih tinggi mungkin merupakan strategi penting untuk pengesanan awal,“ katanya sambil memberitahu, terdapat keperluan mendesak untuk membangunkan pendekatan itu (strategi saringan) yang sesuai untuk wanita Asia.

Berdasarkan perangkaan, Malaysia menjangkakan peningkatan kes kanser payudara sebanyak 49 peratus dari tahun 2012 hingga 2025.

Negara juga mempunyai kadar kelangsungan hidup lima tahun yang jauh lebih rendah berbanding negara Asia lain iaitu pada hanya 67 peratus, manakala Korea Selatan (92 peratus) dan Singapura pada (80 peratus).

 

 

Foto PEXELS dan Cancer Research Malaysia