ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

Tekanan emosi, keturunan dan perubahan sistem imun menjadi punca utama

Soalan 1: SAYA baru sahaja didiagnosis sebagai pesakit kulit psoriasis. Keadaan itu benar-benar memberi kesan emosi kerana pekerjaan saya memerlukan saya berhadapan dengan orang ramai.

Mengapa ia berlaku dan apa tindakan yang boleh saya lakukan untuk mengubatinya, doktor?

– INGIN TAHU, AIMAN SUFIAN AHMAD, 32, KUALA LUMPUR

Jawapan:

TUAN, psoriasis adalah penyakit keradangan kulit yang akan menyebabkan sel kulit menjadi mati, bersisik dan juga menebal. Kebiasaannya, punca asas penyakit psoriasis merupakan warisan genetik yang melibatkan sistem imun dan persekitaran yang bertindak ke atas kulit.

Kadangkala, ia turut melibatkan sendi dan kuku. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan psoriasis keluar di kulit, antaranya ialah jangkitan virus dan bakteria.

Tabiat suka merokok dan tahap kesihatan badan secara keseluruhan yang tidak begitu baik dan kesan daripada beberapa jenis ubat juga antara puncanya. Selain itu, penyakit berkenaan juga berpunca daripada perubahan pada sistem imun ataupun seseorang individu itu berdepan tekanan emosi yang melampau.

Pelbagai jenis rawatan Persatuan Psoriasis Malaysia mendedahkan sehingga 800,000 rakyat Malaysia menghidap penyakit berkenaan. Masalah kulit tersebut menjejaskan kira-kira satu hingga tiga peratus penduduk di negara ini. Di peringkat global, dianggarkan 125 juta orang menghidap psoriasis.

Psoriasis, penyakit radang kulit kronik.

Kira-kira 20 peratus pesakit psoriasis mempunyai anggota keluarga yang menghidap penyakit ini. Untuk makluman tuan, terdapat pelbagai jenis penyakit tersebut iaitu psoriasis plak kronik (paling lazim berlaku), psoriasis pustular, psoriasis eritrodermik (paling teruk) dan psoriasis songsang.

Tuan, terdapat pelbagai rawatan untuk penyakit psoriasis. Namun demikian, rawatan yang terbaik bergantung kepada jenis psoriasis yang dideritai oleh seseorang itu. Apa yang lebih penting, rawatannya harus menepati jenis dan tahap penyakit itu sama ada teruk mahupun sebaliknya.

Rawatan susulan penting untuk melihat sama ada terdapat penglibatan masalah sendi atau berkait kesihatan am pesakit. Antara rawatannya termasuklah dengan pelbagai jenis ubat sapu, ubat makan seperti methotrexate, cyclosporine, acitretin dan ubat suntikan jenis biologik.

Soalan 2: DOKTOR, saya mengalami masalah kegatalan yang melampau hingga menjadi rutin harian saya untuk menggaru. Badan saya juga dipenuhi dengan ruam-ruam merah dan ia berlaku secara berulang-ulang. Kulit saya juga sekarang semakin kering, merekah, berkuping dan berair. Mengapakah keadaan itu berlaku doktor?

– INSAN GUSAR, ZAKIAH ABDUL RAZAK, 37, KLANG, SELANGOR

Jawapan: Terima kasih atas persoalan yang diajukan. Puan, secara umumnya adalah amat sukar untuk membuat diagnosis dan memberi maklumat punca yang tepat berkenaan penyakit kulit. Sebaiknya, puan segeralah berjumpa pakar bagi membuat pemeriksaan pada bahagian kulit.

Pastinya itu dapat memberikan penjelasan yang lebih tepat mengenai keadaan masalah puan kini. Bagaimanapun, suka untuk saya kongsikan, ruam-ruam merah tersebut menandakan terdapatnya proses radang pada kulit. Puan, punca radang berkenaan perlu disiasat melalui sejarah penyakit tersebut secara lengkap.

Gejala-gejala yang dialami oleh pesakit terutamanya pada bahagian kulit yang terlibat juga perlu diketahui oleh doktor. Kulit yang kering, merekah dan berkuping juga antaranya menunjukkan terdapat masalah kulit yang sangat kering. Terdapat pelbagai punca kulit kering termasuklah ekzema.

Berdasarkan pengalaman, hampir 50 peratus pesakit yang bertemu saya merupakan pesakit ekzema. Ia sangat mudah berlaku kepada semua peringkat usia, namun lebih kerap terkena golongan kanak-kanak yang berumur antara dua bulan hingga enam tahun.

Iklan

Apa yang lebih membimbangkan sekiranya kulit berair adalah ia berkemungkinan akibat kulit yang telah dijangkiti kuman.

Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan pengesahan lebih lanjut dan terperinci bergantung kepada gejala yang dialami.

ANEKDOT

Psoriasis merupakan penyakit kronik yang mana kulit menebal lebih cepat daripada kulit normal. Ia tidak berjangkit. Bahagian yang biasa dihidap ialah kulit kepala, lutut, siku lengan dan juga kaki.

Ia boleh juga melibatkan bahagian badan yang lain termasuk kuku. Penyakit tersebut tidak boleh sembuh, tetapi rawatan jangka panjang boleh mengawalnya. Jangan garu atau kikis sisik atau psoriasis kerana ia akan menjadikannya lebih teruk dan kulit menebal.

Sumber: www.myhealth.gov.my/

Iklan

PROFIL

Prof Madya Dr Adawiyah Jamil

Pakar Perunding Dermatodologi

Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia