• Thursday , 2 December 2021

    Punca kematian Black Panther, kenali kanser kolon

    September 13, 2020
    Oleh Farah Eliani

    PADA penghujung bulan lalu, kita dikejutkan dengan pemergian pelakon yang terkenal dengan watak Black Panther, Chadwick Boseman.

    Adiwira berkulit hitam pertama di dunia yang berusia 43 tahun itu bukan mati di tangan Thanos tetapi disebabkan kanser kolon.

    Boseman sebenarnya telah didiagnos menghidap kanser kolon pada tahap tiga, namun tiada siapa pun yang mengetahui penderitaannya itu sehinggalah selebriti yang sedang mencipta nama itu menghembuskan nafas terakhir.

    Apabila berita kematiannya disahkan sebagai kanser kolon, carian mengenai penyakit itu dalam bahasa Melayu menerusi Google semakin popular.

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia, kanser merupakan penyebab kedua tertinggi kematian di Malaysia. Kanser kolon telah disenaraikan sebagai kanser tertinggi dalam kalangan lelaki dan kedua tertinggi bagi kaum Hawa.

    Sebenarnya, apakah itu kanser kolon? Bagi memperincikan lebih lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan pandangan Perunding Kolorektal dan Pakar Bedah Umum, Pusat Pakar Perubatan Loh Guan Lye, Pulau Pinang, Dr R.Prabhu.

    DR R.Prabhu.

    Ujar Dr Prabhu, kanser kolon yang juga disebut sebagai kanser usus, dideritai lebih kurang 1,400 rakyat Malaysia pada setiap tahun.

    "Sesiapa sahaja dalam kalangan orang dewasa boleh menghidapnya. Bagaimanapun ia jarang berlaku pada mereka di bawah lingkungan umur atas 50 tahun. Fakta seterusnya, lelaki yang terlebih terdedah dengan kanser kolon berbanding wanita," katanya sambil menambah, berdasarkan trend semasa, rata-rata pesakit yang didiagnos, sudah berada pada tahap tiga dan empat.

    Pemakanan

    Mengulas lanjut, Dr Prabhu berkata, punca kanser kolon masih tidak diketahui, namun penyakit kanser sering dikaitkan dengan karsinogen (agen penyebab kanser) dalam diet ataupun pemakanan seharian seperti makanan yang diproses dan rendah serat.

    Ujarnya, kanser kolon selalunya bermula dengan satu ketumbuhan kecil bukan kanser (benign) yang wujud pada dinding usus yang dikenali sebagai polip adenomatous.

    "Sesetengah polip boleh berkembang menjadi kanser kolon malignan dari semasa ke semasa jika mereka tidak keluarkan semasa kolonoskopi (prosedur melihat lapisan dalam usus).

    “Jika hal itu berlaku (tidak dikeluarkan), sel-sel yang telah berubah menjadi sel kanser usus besar akan 'menceroboh' dan merosakkan tisu sihat yang terdapat berhampiran tumor utama sekali gus menyebabkan akan timbulnya banyak komplikasi yang tidak diingini,” jelasnya.

    Terang beliau, selepas tumor berkembang, sel-sel kanser boleh bergerak melalui sistem darah dan limfa sebelum merebak ke bahagian badan yang lain. Ia (sel kanser) juga boleh tumbuh di beberapa tempat, menyerang dan memusnahkan tisu sihat yang lain di seluruh badan.

    "Satu-satu rawatan kanser itu semakin rumit jika pengesanan dan rawatan pada peringkat awal tidak dilakukan," ungkapnya.

    Menjawab kepada satu soalan lain, katanya, kanser usus adalah berbeza dengan kanser rektum, namun demikian, kedua-duanya termasuk dalam kategori kanser kolorektal.

    Selain faktor pemakanan seseorang yang dipercayai mempengaruhi tercetus penyakit berkenaan, terdapat kajian yang menyatakan bahawa terjadinya kanser usus disebabkan oleh 'kesilapan' usus membina DNA mereka sehingga terjadinya kanser.

    "Namun terdapat juga kebarangkalian kanser yang wujud pada dinding usus adalah disebabkan oleh jangkitan daripada tumor yang lain (metastasis). Oleh itu, sangat mustahak untuk seseorang merawat kanser yang ada, sebelum ia merebak ke bahagian yang lain di dalam tubuh badan,” katanya.

    Mengenai rawatan, Dr Prabhu berkata, kanser usus biasanya akan dirawat mengikut tahap. Secara kelazimannya, pesakit perlu menjalani pembedahan untuk membuang bahagian yang mana kanser itu terbentuk.

    Seterusnya, rawatan lanjutan seperti kimoterapi dan radioterapi akan diberikan tetapi ia bergantung pada tahap kesihatan pesakit itu sendiri.

    "Perlu ditegaskan sekali lagi, kanser usus berpotensi untuk menjangkiti bahagian tubuh badan lain seperti hati, paru-paru, otak dan juga lapisan rongga perut jika ia sudah mencapai tahap empat," beritahunya.

    Iklan

    Saringan

    Sementara itu, Pakar Bedah Umum, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Johor Bahru, Dr Zulkarnain Hasan turut melontarkan pandangannya.

    DR Zulkarnain.

    Katanya, kanser kolon turut disebut sebagai kanser kolekteral kerana ia terjadi di kawasan antara pangkal usus besar hinggalah penghujungnya yang dipanggil rektum.

    "Ia bermula sebagai gumpalan kecil dipanggil polip dan lama-kelamaan boleh bermutasi menjadi barah," ujarnya mengukuhkan lagi fakta yang diutarakan oleh Dr Prabhu.

    DIAGNOS awal perlu dilakukan bagi mengelak kanser terus merebak.

    Dalam hal itu, Dr Zulkarnain menegaskan, peri penting seseorang melakukan pemeriksaan awal. Dalam hal tertentu katanya, kanser usus juga boleh menyerang orang muda termasuklah kanak-kanak.

    Berikut kaedah pengesanan dan saringan kanser kolon yang sering digunakan:

    i) Ujian darah okultik fecal imunologi

    Ujian berkenaan memerlukan sampel najis yang diuji untuk kehadiran darah. Ini kerana pendarahan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Kes yang positif ujian perlu menjalani ujian kolonoskopi. Jika ujian tersebut negatif, ia perlu diulang setiap dua tahun.

    ii) Kolonoskopi

    Kaedah tersebut adalah kaedah gold standard untuk mendiagnos kanser kolon dan rektum. Tiub fiber optik khas yang disambungkan dengan sistem kamera video digunakan untuk melihat ke dalam usus dan seterusnya mengambil sampel jika terdapat bahagian yang disyaki mengalami kanser atau penyakit lain. Sampel akan dihantar ke makmal untuk menjalani pengesahan jenis penyakit yang dialami.

    Iklan

    iii) Ujian darah

    Ujian darah dilakukan untuk melihat kandungan hemoglobin darah kerana kebiasaannya kanser kolon akan mengakibatkan pendarahan dalam usus. Ujian pengesanan tumor carcinoembryonic antigen (CEA) juga boleh dijalankan. Namun demikian, tahap CEA dalam darah biasanya digunakan untuk memantau pesakit yang telah disahkan menghidap kanser kolon dan rektum.

    Dr Zulkarnain menambah, sekiranya kanser kolon didapati telah merebak ke bahagian badan lain, pakar perubatan mungkin akan membuat ujian pengimejan tomografi berkomputer (CT Scan).

    "Ujian itu antara lain menentukan keadaan kanser tersebut sebelum sebarang pembedahan dilaksanakan," kata beliau.

    ANEKDOT

    LANGKAH-LANGKAH yang boleh diambil untuk mencegah kanser kolon:

    1. Membuat pemeriksaan kanser kolon dengan doktor jika mempunyai keluarga yang pernah menghidap kanser kolon.​
    2. Pada usia 45 tahun, pastikan kekerapan pemeriksaan selanjutnya dilakukan berdasarkan keputusan pemeriksaan pertama.
    3. Sekiranya tiada ahli keluarga yang pernah menghidap kanser kolon, lakukan pemeriksaan pertama pada usia 50 tahun. Kekerapan pemeriksaan selanjutnya berdasarkan keputusan pemeriksaan pertama tersebut.
    4. Kerap bersenam untuk mengurangkan berat badan dan megekalkan kesihatan tubuh badan.
    5. Makan makanan yang menjamin kesihatan usus seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bijirin, daging dan ayam tanpa lemak dan produk tenusu rendah lemak.
    6. Kurangkan atau berhenti menghisap rokok sepenuhnya.

    Sumber: Pakar Bedah Umum, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Johor Bahru, Dr Zulkarnain Hasan.

    Lemak badan tinggi jadi ancaman

    PEGAWAI Dietetik, Medical Mythbuster Malaysia (M3), Nur Hafizah Mahamad Sobri berkata, kanser usus sememangnya berkait rapat dengan faktor pemakanan seseorang.

    NUR Hafizah.

    Makanan yang diproses daripada daging seperti sosej, burger dan nuget yang biasanya memiliki kadar sodium yang tinggi antara makanan yang boleh memicu penyakit berkenaan, kata Nur Hafizah.

    "Kandungan lemak yang tinggi dalam badan juga menjadi punca kepada masalah itu selain tabiat minum minuman beralkahol (lebih daripada 30 gram ethanol atau lebih kurang dua gelas sehari)," ujarnya.

    Beritahu pegawai dietetik itu lagi, bagi wanita Asia, bacaan kandungan lemak dalam badan sepatutnya bawah 34.9 peratus dan ukur lilit pinggang tidak melebihi 80 sentimeter (sm). Bagi lelaki Asia pula, sepatutnya bawah 24.9 peratus badan dan ukur lilit pinggang (tidak melebihi 90sm).

    Justeru, apa petua untuk seseorang mengawal pemakanan?

    "Mudah sahaja, amalkan pengambilan serat sebanyak 30 gram (g) daripada sumber bijirin penuh, sayur-sayuran hijau dan buah-buahan setiap hari. Bukan bermaksud perlu mengambil semua makanan dalam jumlah 30g, sebaliknya jumlah serat yang diambil perlu mencapai 30g, iaitu bersamaan dengan lebih kurang enam hingga 10 hidangan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan," katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

     

    Selain itu, setiap daripada kita harus mengawal pengambilan daging merah.

    "Boleh kalau mahu makan daging, tetapi hadkan maksimum dalam dua hingga tiga kali sahaja dalam seminggu dengan porsi antara 100 ke 150 gram iaitu lebih kurang sebesar tapak tangan," jelasnya.

    ELAK pengambilan daging merah terlalu banyak selain makanan terproses seperti sosej, nuget dan burger.

    Menjawab kepada satu soalan lain, Nur Hafizah berkata, terdapat beberapa cara untuk merendahkan risiko bagi mendapat kanser usus.

    Makanan berasaskan susu dan produk tenusu seperti yogurt dan keju juga salah satu sumber yang boleh menurunkan risiko kepada penyakit kronik disebabkan kandungan kalsium dalam makanan tersebut. Jadi, digalakkan mengambil satu ke dua hidangan sehari bagi memenuhi keperluan kalsium seharian, tambah beliau.

    Namun demikian, pesannya, jangan sesekali meninggalkan aktiviti senaman.

    "Namun, apa yang penting, pesakit kanser memang sangat perlu berjumpa dengan pakar dietetik kerana usus merupakan lokasi penyerapan zat yang paling banyak berlaku. Jika terdapat kanser di kawasan tersebut, risiko untuk menghadapi malnutrisi adalah sangat tinggi. Satu lagi, jangan terpedaya dengan produk-produk di luar sana," katanya.