BILANGAN mangsa meningkat jika rantaian jangkitan Covid-19 gagal dihentikan       

“JIKA gagal memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, negara kita akan berdepan gelombang ketiga yang mana jangkitan tidak lagi terkawal.“

Itu antara peringatan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika merayu orang ramai agar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tempohnya dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Kempen sejak hampir dua minggu lalu itu giat dijalankan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam semua platform media sosial, bahkan ramai yang membantu menyebarkannya.

Ironinya, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut membantu pematuhan terhadap PKP melahirkan kebimbangan kerana sehingga awal minggu ini masih terdapat 10 peratus rakyat negara ini yang ingkar arahan supaya duduk di rumah.

Menyifatkannya sebagai perkara serius, ATM dalam kenyataannya berkata, peratusan yang mewakili tiga juta rakyat Malaysia itu merupakan jumlah yang besar dan mesti ditangani segera bagi membendung wabak Covid-19.

Bayangkan sekiranya wabak yang kian agresif mencari mangsa itu tidak segera disekat, tidak mustahil kerisauan Dr Noor Hisham itu akan menjadi kenyataan.

Persoalannya, sekiranya tiga juta individu itu tetap berdegil tidak mahu mengubah sikap, adakah Malaysia bakal menerima nasib seperti Itali? Jangkitan wabak di negara itu sedang ‘menggila‘ hingga tidak terbendung, menyebabkan hampir 10,000 orang maut.

Risau, gusar, tidak senang duduk. Ya, itulah keadaan emosi rakyat Malaysia sekarang apabila memikirkan isu kesihatan yang sedang mengancam dunia itu.

Apatah lagi di negara ini, sudah ada 27 kematian setakat semalam termasuk melibatkan seorang doktor pakar KKM.

Berkisar tentang langkah membendung wabak berkenaan agar tidak memasuki gelombang ketiga, Sinar Plus mendapatkan pandangan Pakar Perubatan Keluarga KKM, Dr Suhazeli Abdullah.

DR Suhazeli.

Secara asasnya, Covid-19 ialah virus baharu yang bermutasi dan mula menyerang manusia sejak akhir tahun lalu, kata Dr Suhazeli.

Virus yang bermula di Wuhan, wilayah Hubei di China itu kini telah merebak ke seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya 175 daripada 195 negara di dunia terkena jangkitannya.

Bermutasi

Berkemungkinan besar juga negara yang  belum mencatat kes jangkitan wabak berkenaan akan terancam selepas ini.

“Jika diimbas kembali, sebelum ini diuar-uarkan virus berkenaan bermula daripada haiwan dan kemudian berjangkit kepada manusia.

“Namun kini, virus tersebut sudah mengalami mutasi baharu. Jangkitannya berpindah daripada individu yang disahkan positif kepada individu lain. Itulah yang sedang berlaku,“ terang Dr Suhazeli.

Bersetuju secara umumnya penyakit berkenaan boleh berjangkit melalui bersin dan air liur, menurutnya penyebarannya lebih mudah berlaku di kawasan yang padat dengan orang ramai.

Disebabkan itu juga katanya, kerajaan mengambil langkah terbaik melaksanakan  PKP, khususnya bagi mengekang jangkitan supaya tidak bertukar menjadi gelombang wabak yang lebih besar.

Umum mengetahui belum ada vaksin yang boleh menjadi penawar penyakit Covid-19.

Justeru, Dr Suhazeli menjelaskan, bagi mengekang rantaian penyakit itu, perkara utama yang perlu diketahui oleh pengamal perubatan adalah status kesihatan pesakit sama ada mereka ialah individu yang disyaki atau sudah disahkan positif virus berkenaan.

Belum ada vaksin

“Pesakit disyaki ialah individu yang mempunyai hubungan rapat melebihi 15 minit dengan pesakit yang telah disahkan positif seperti ahli keluarga dan kenalan.

“Ujian perlu dijalankan bagi mengetahui status sebenar pesakit. Mereka biasanya akan mengalami tanda-tanda seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak dan sukar  bernafas,“ terang Dr Suhazeli lagi.

DI Malaysia, rawatan yang diberikan hanya bagi membantu dan mengurangkan simptom kerana sehingga kini belum ada vaksin yang dapat menyembuhkan pesakit sepenuhnya.

Pada masa sama, individu yang sudah melakukan ujian dan disahkan negatif, mereka masih perlu dikuarantin selama 14 hari. Ini kerana tempoh tersebut merupakan masa pengeraman virus berkenaan di dalam badan manusia.

“Namun, ia dapat dikawal oleh sistem pertahanan tubuh masing-masing,“ katanya.

Buat masa ini, beberapa negara maju sedang berusaha menghasilkan vaksin untuk virus terbabit. Menurut Dr Suhazeli, terdapat tiga peringkat utama bagi penghasilan vaksin iaitu:

  1. Peringkat pertama: Proses pembiakan virus dilakukan
  2. Peringkat kedua: Proses melemahkan secara keseluruhan atau sebahagian virus tersebut
  3. Peringkat ketiga: Proses melakukan ujian ke atas haiwan atau tisu hidup

“Setelah melepasi proses berkenaan, barulah vaksin tersebut akan diuji kepada manusia. Itu pun tidak melibatkan bilangan  yang ramai pada peringkat awal iaitu kira-kira 10 ke 20 orang sahaja.

“Sejurus itu, jika vaksin tersebut melepasi peringkat ujian ke atas sekelompok manusia tersebut, barulah ia akan digunakan kepada kelompok manusia yang lebih ramai iaitu antara 100 ke 500 orang,“ jelas beliau.

Patuhi arahan kerajaan

Tiada kaedah lain yang lebih berkesan bagi menyahkan virus Covid-19 buat masa ini selain memutuskan rantaian jangkitannya.

“Jika rakyat Malaysia betul-betul patuh dengan arahan kerajaan yang menganjurkan kita semua agar bertenang dalam tempoh PKP ini, pastinya itu sangat membantu dalam membendung wabak ini.

“Kepada orang ramai, duduklah di rumah dan patuhi segala peraturan serta jagalah kebersihan diri,“ ujar Dr Suhazeli.

Beliau turut melahirkan penghargaan  kepada semua anggota barisan hadapan yang bergelut untuk memerangi wabak.

Iklan

Paling penting, ujarnya, elakkan berlaku kecelaruan minda akibat terlalu risau dengan wabak berkenaan.

Sebelum vaksin baharu dipasarkan dan digunakan di seluruh dunia,  beberapa perkara berikut perlu diberi penekanan iaitu:

  1. Vaksin berkenaan mampu memusnahkan virus
  2. Selamat digunakan
  3. Tidak mempunyai bahan yang boleh mengganggu gugat kesihatan
JANGAN terlalu bergantung pada topeng muka dan hidung serta cecair sanitasi.

Kes direkodkan akibat penyakit Covid-19 semakin meningkat dan membimbangkan. Masakan tidak, jika diikutkan data seluruh dunia, pastinya terdapat kes kematian akibatnya.

Sungguhpun belum ada ubat atau vaksin yang mampu menyahkan wabak itu, namun langkah perlindungan haruslah diambil oleh setiap orang.

Ramai kini yang mengambil langkah membeli dan menyediakan beberapa keperluan bagi mencegah dijangkiti. Antaranya dengan penggunaan bahan sanitasi tangan dan topeng hidung dan mulut.

Malangnya, dek permintaan mendadak, bekalan topeng hidung dan mulut kini agak terhad. Begitu juga stok penjualan cecair sanitasi tangan yang nampaknya seakan semakin kehabisan stok.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang yang mengakui situasi tersebut, bagaimanapun berkata, sepatutnya bukan semua orang perlu memakai topeng hidung dan mulut.

AMRAHI buang.

“Individu yang mempunyai simptom penyakit berkenaan seperti batuk, demam, bersin dan sukar bernafas sahaja yang perlu memakainya. Juga bagi mana-mana individu yang menjaga individu yang bersimptom itu.

“Kini, negara kita masih di dalam tempoh PKP. Barangkali topeng hidung dan mulut dapat dikawal secara langsung oleh pihak kerajaan,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.

Amrahi merujuk kepada negara Taiwan yang mampu mengawal masalah kekurangan topeng muka tersebut.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan orang ramai harus sedia maklum bahawa wabak itu mudah disebarkan melalui titisan kecil. Tiga laluan utamanya ialah melalui mata, hidung dan mulut.

Iklan

“Jadi, pastikan orang ramai sentiasa peka dengan keadaan ini. Patuhi segala arahan yang dikeluarkan bagi mengawal dan membendung masalah kesihatan yang sedang melanda negara dan di seluruh dunia buat masa ini,” katanya.

Sebagai golongan profesional farmasi, beliau turut menasihati orang ramai untuk kekal menjaga kesihatan diri.

Berikut beberapa kaedah bagi mengelak daripada dijangkiti virus berkenaan yang dikongsikan beliau iaitu:

  1. Pakai topeng muka dan cecair sanitasi tangan
  2. Menjaga penjarakkan sosial iaitu satu meter
  3. Pastikan topeng muka yang sudah digunakan dilupuskan dengan cara yang betul dan dibuang di tempat yang betul
  4. Pakaian yang telah dipakai ketika keluar dari rumah harus dibasuh dengan segera
  5. Mandi dengan segera dan terus jaga kebersihan diri sepanjang masa

Menarik perkongsian Amrahi, perbuatan “menghirup air ke lubang hidungnya (intinsyaq), lalu ia keluarkan (istintsar).”

Semasa wujuk adalah salah satu senjata rapi untuk menghadapi serangan virus Covid-19. Ini juga menurutnya merupakan ‘sistem pertahanan’ yang baik bagi mengelakkan virus tersebut bagi mengelakkan virus itu menerjah pada paru-paru.

“Penting sekali, amalkan kebersihan mulut dengan berkumur dengan air garam atau menggunakan apa-apa jenis pembersih mulut (mouth wash) bagi mencegah virus berkenaan daripada masuk ke paru-paru.

“Ketahuilah jika virus berkenaan sudah menyerang paru-paru, berkemungkinan besar akan berlaku ketidaknormalan,” katanya.

Seperkara ulasnya tentang durasi pengeraman virus berkenaan sekitar 14 hari perlu diambil perhatian.

Paling membimbangkan sekiranya ia cuba menempel pada individu yang mempunyai penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Penting juga bagi individu yang berusia, carilah alternatif bagi meningkatkan imuniti badan seperti jaga pemakanan. Ambil buah-buahan pelbagai warna yang mencukupi, minum air masak sebanyak mungkin dan jika ingin mengamalkan pengambilan vitamin, pastikan mengambil multivitamin yang lengkap.

“Pengambilan Vitamin C juga boleh diamalkan, namun hanya sebagai suplemen tambahan.

PASTIKAN kebersihan tangan senantiasa dijaga kerana punca utama wabak berkenaan adalah disebabkan oleh tangan yang mungkin tercemar dengan virus tersebut.