ZAKIAH MAHAMAD NOOR, 32, telah didiagnos mempunyai masalah tumor otak atau ketumbuhan otak beberapa bulan lalu selepas beliau terlalu kerap sakit kepala.

Boleh dikatakan setiap hari kesakitan itu menghantuinya sehingga pada satu peringkat, wanita itu gagal mengawal keadaan tersebut.

“Itulah antara simptom jelas kepada tumor otak yang saya alami. Sakitnya memang tidak terperi, disebabkan tak tertanggung lagi, saya paksa diri saya berjumpa pakar,” katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Kata Zakiah, tindakan awalnya sangat bertepatan kerana berdasarkan rujukan dan pembacaannya, ketumbuhan berkenaan boleh merebak dengan cepat dan boleh mengundang ajal.

Pada masa sama, beliau juga kini tercari-cari apakah kaedah rawatan atau pembedahan yang sesuai untuk merawat penyakit kronik yang sedang dideritainya itu?

Bagi membantu Zakiah mendapatkan jawapan, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Bedah Saraf (Neurosurgeon), Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Regunath Kandasamy.

DR Regunath Kandasamy.

Membuka bicara, Dr Regunath berkata, tumor otak merupakan salah satu penyakit yang agak rumit kerana wujudnya hampir 120 jenis tumor berbeza-beza yang boleh berlaku pada otak dan sistem saraf manusia serta ada sebahagian tumour ini yang bercirikan kanser yang lebih berbahaya.

Kata pakar perubatan itu, secara asasnya, tumor otak boleh dikelaskan kepada dua cabang besar iaitu jenis primer yang mana tumor berasal daripada tisu atau selaput otak itu sendiri.

Sebaliknya, jenis sekunder pula tercetus daripada jenis-jenis kanser lain yang telah merebak ke kawasan otak seperti kanser paru-paru, kanser payudara dan kanser usus.

Bercakap mengenai simptom, Dr Regunath berkata, salah satunya adalah seperti yang dialami oleh Zakiah.

“Biasanya, seseorang akan mengalami sakit kepala yang teruk dan berlanjutan dalam tempoh lama. Di samping itu, mereka juga akan muntah-muntah, penglihatan akan terganggu selain berlaku gangguan keseimbangan pada tubuh badan. Percakapan mereka juga akan terganggu kerana kadangkala bunyi yang diungkapkan tidak betul, komunikasi tidak jelas dan kandungan percakapan yang tidak teratur,” ujar beliau lanjut.

Pesakit juga kadangkala mengalami gangguan fungsi kognitif seperti masalah ingatan serta intelek. Impak daripada semua kesakitan itu, pesakit tumor otak turut berdepan dengan kemelut sampingan.

Antara kesan umum yang boleh berlaku pada seseorang pesakit tumor otak adalah cepat marah, mengalami kemurungan dan beberapa anggota badan (sebelah badan sahaja) seperti pada kaki, tangan dan muka akan terasa lemah.

RADIOSURGERI PISAU GAMMA

Apakah pendekatan yang boleh dilakukan Zakiah untuk merawat tumor otaknya?

Menjawab pertanyaan itu, Dr Regunath berkata, terdapat satu rawatan terkini yang dikenali sebagai radiosurgeri pisau gamma.

Ia merupakan sejenis terapi radiasi yang menggunakan beratus-ratus sinaran laser berasingan untuk menyasarkan tumor.

“Biasanya, rawatan ini akan diberikan kepada pesakit yang mempunyai saiz tumor yang tidak terlalu besar iaitu dianggarkan kurang daripada 3 sentimeter.

“Ia juga bertindak sebagai terapi alternatif bagi, pembedahan, kemoterapi atau rawatan onkologi radiasi yang lain berasaskan jenis tumor” beritahunya.

RAWATAN radiosurgeri pisau gamma sangat mudah dan cepat berbanding pembedahan terbuka.

Menariknya tentang teknik radiosurgeri pisau gamma, proses rawatannya sangat cepat (bergantung pada keadaan pesakit) iaitu mengambil masa kira-kira 30 minit hingga satu jam sahaja.

Pada masa sama, ia berpotensi untuk merawat tumor pada bahagain otak yang sukar dicapai dan dapat merawat lebih banyak kawasan sasaran dengan lebih cepat dan efisien berbanding sebelum ini.

“Selain boleh digunakan untuk merawat tumor yang telah merebak kepada otak dan tumor otak benigna dan maligna, metodologi radiosurgeri pisau gamma, boleh membantu (merawat) pesakit yang berdepan dengan penyakit Malformasi Arteriovena (AVM) iaitu pengumpulan saluran darah yang abnormal dan gangguan saraf seperti Neuralgia trigeminal,” jelasnya lagi.

Memperincikan lebih mendalam mengenai rawatan radiosurgeri pisau gamma, Dr Regunath memberitahu, sistem berkenaan menggunakan alat tertumpu radiasi yang unik untuk menyampaikan radiasi dengan secukupnya dan tepat, selain dapat mengurangkan dos di kawasan yang mempunyai risiko tinggi.

Bagaimanapun, ujar Dr Regunath, meskipun disebut sebagai ‘pisau’ (merujuk kepada nama rawatan), prosedur tumor otak itu tidak menggunakan pisau atau skalpel pun.

‘Pisau’ dimaksudkan adalah merujuk kepada ketepatan 192 sinaran radiasi yang menyerang tumor dan keabnormalan, mengecutkan atau menghentikan pertumbuhannya.

Radiosurgeri pisau gamma sebenarnya kata Dr Regunanth, mengaplikasikan pembedahan saraf tidak invasif dengan dos radiasi yang tinggi untuk menyasarkan dan merawat tisu otak yang berpenyakit tanpa mengganggu tisu di sekitarnya.

Penting untuk diketahui bahawa prosedur itu tidak akan dibuat dalam kepala pesakit sebaliknya, sinaran radiasi tertumpu akan dihalakan pada kawasan rawatan dalam otak.

MANFAAT

Bercerita mengenai manfaat, Dr Regunath memaklumkan, sehingga kini, lebih kurang 35 pesakit telah berjaya menjalani rawatan radiosurgeri pisau gamma di pusat perubatan di bawah pengendaliannya secara selamat dan berkesan.

Dengan kos lebih kurang antara RM30,000 ke RM40,000, seseorang pesakit mendapat manfaat daripada rawatan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014 di Malaysia.

TEKONOLOGI radiosurgeri pisau gamma yang ditawarkan kepada pesakit.

“Pembedahan tidak invasif ini sangat membantu memudahkan urusan rawatan pesakit kerana kebanyakan daripada mereka boleh meneruskan kembali aktiviti normal dalam masa beberapa hari sahaja.

Iklan

“Jika hendak dibandingkan dengan pembedahan konvensional, ia memerlukan masa rawatan di hospital yang panjang iaitu tempoh maksimum 14 hari,” beritahu Dr Regunath.

Bukan itu sahaja, rawatan radiosurgeri pisau gamma juga boleh digunakan untuk keadaan yang tidak sesuai untuk dilakukan pembedahan seperti tumor yang terletak jauh di dalam otak atau jika keadaan pesakit yang uzur tidak membenarkan pembedahan secara terbuka dijalankan.

Lebih mudah, rawatan itu hanya ditumpukan pada tisu tidak normal yang dirawat untuk mengurangkan kerosakan pada tisu normal di sekelilingnya atau struktur yang berhampiran.

Menjawab satu soalan lain, kata Dr Regunath, konsultasi awal perlu dijalankan dengan pakar bedah saraf dan pakar onkologi di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur untuk menentukan kesesuaian radiosurgeri pisau gamma untuk pesakit.

“Jika rawatan itu sesuai kepada pesakit, prosedur akan dijadualkan secepat mungkin,” tambah Dr Regunath.

ANEKDOT

PROSEDUR rawatan radiosurgeri pisau gamma:

1. Memastikan ketepatan.

Bingkai yang ringan dipasangkan pada kepala pesakit. Bingkai kepala itu berfungsi untuk memastikan sinaran radiasi ditempatkan dan dihalakan dengan tepat ke arah sasarannya.

2. Penyetempatan sasaran.

Pengimejan resonans magnetik (MRI), tomografi berkomputer (CT) atau angiografi dijalankan untuk menentukan saiz, bentuk dan posisi yang tepat bagi sasaran di dalam otak.

Iklan

3. Perancangan rawatan.

Setelah imej-imej pesakit selesai diambil, pesakit boleh berehat sementara doktor merangka pelan rawatan. Pelan rawatan dihasilkan menggunakan perisian komputer khusus yang akan menetapkan cara rawatan harus dijalankan.

4. Rawatan.

Pesakit akan kekal sedar sepanjang prosedur. Apabila rawatan dimulakan, kerusi katil akan digerakkan ke dalam bahagian mesin.

5. Selepas rawatan.

Setelah rawatan selesai, bingkai kepala akan ditanggalkan. Sesetengah pesakit mungkin akan rasa sedikit sakit atau bengkak apabila bingkai dipasangkan, tetapi kebanyakannya tidak melaporkan apa-apa masalah.

Dalam masa sehari atau dua hari, pesakit yang telah menerima rawatan sepatutnya boleh kembali menjalankan rutin harian seperti biasa.

** Untuk maklumat lanjut atau jika ingin membuat janji temu, sila layari laman web https://www.gleneagles.com.my/appointment/doctor/dr-regunath-kandasamy