NASI lemuni tidaklah sepopular nasi hujan panas mahupun nasi dagang. Namun, khasiat nasi lemuni dikatakan melebihi daripada resipi nasi lain.

Hal itu diakui oleh seorang anak jati Perak, Noorlila Mohd Idris, 43, yang sudah 23 tahun memasak nasi berkenaan yang dikatakan sangat popular di negeri utara tanah air.

Lazimnya, sajian berkenaan dinikmati oleh golongan ibu berpantang dan mereka yang bercita-cita mendapat bentuk badan yang ideal.

Noorlila atau mesra dengan panggilan Kak Lila berkata, beliau mula jatuh cinta dengan nasi lemuni ketika ibu mertuanya, Shahrom Mohd Nasir memasak sajian itu ketika dirinya berpantang selepas melahirkan anak sulungnya puluhan tahun lalu.

“Nasi berkenaan dikatakan mempunyai nilai kesihatan yang cukup baik kerana dimasak dengan salah satu jenis daun herba yang bagus untuk kesihatan wanita.

“Daun herba yang dimaksudkan adalah daun lemuni yang diperoleh daripada pokok herba jenis renek yang sangat mudah didapati di kawasan tempat tinggal saya iaitu di Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak,” katanya yang mempelajari memasak menu berkenaan daripada ibu mertuanya.

Noorlila Mohd Idris.

Ujar Kak Lila, teknik masakan nasi lemuni sama dengan nasi lemak.

“Namun begitu, terdapat elemen istimewa yang dimasukkan iaitu jus dan ekstrak daun lemuni. Apabila nasi ditanak, ia akan menyerap khasiat daun lemuni sekali gus menjadikan hidangan berkenaan sebagai hidangan yang sihat. Itu sebab wanita yang berpantang digalakkan makan nasi lemuni.

“Kepada mereka yang ingin panaskan badan atau kelihatan awet muda turut boleh menjadikan nasi lemuni sebagai menu kegemaran,” katanya sambil memberitahu, menu itu sesuai dimakan bersama ikan bilis dan telur rebus.

Dalam pada itu, kongsi Kak Nila lagi, selain nasi lemuni dan nasi ulam, masyarakat tempatan menjadikan daun lemuni sebagai ulam-ulaman.

Akar pokok lemuni juga kata wanita itu, boleh dijadikan sebagai air rebusan untuk diminum oleh wanita yang sedang berpantang.

PROFIL

  • Nama: Noorlila Mohd Idris
  • Umur: 43 tahun
  • Asal dan menetap: Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak
  • Facebook: Ihsan Nurlila

RESIPI NASI LEMUNI

Bahan-bahan:

  • 3 cawan beras
  • 7 tangkai daun lemuni
  • 1/2 cawan santan kotak/pekat (cairkan menjadi 1 cawan)
  • 1 inci halia
  • 1 biji bawang besar
  • 1 helai daun pandan
  • Sedikit halba
  • Garam

Cara penyediaan:

Iklan
  1. Cabut daun lemuni dan kisarkan (khususnya bahagian pucuk). Sukatannya, 3 cawan beras bersamaan 4 cawan air dan santan (dicampurkan).
  2. Masukkan beras ke dalam periuk nasi.
  3. Masukkan air lemuni dan santan yang telah digabungkan tadi.
  4. Masak sehingga kering dan nasi lemuni boleh dihidangkan bersama sambal ikan bilis, ikan masin bulu ayam, telur rebus dan timun seperti nasi lemak.

ANEKDOT

RESIPI NASI AYAM PENYET EKSPRES

Bahan sambal penyet:

  • 1 genggam cili padi merah dan hijau
  • 5 biji cili merah
  • 3 biji tomato
  • 1 biji bawang besar
  • 6 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 sudu makan ikan bilis
  • 1 inci belacan

Cara penyediaan:

Iklan
  1. Goreng atau tumis sehingga layu dan naik bau kesemua bahan
  2. Kisar bersama minyak tumisan (dikisar kasar atau ditumbuk)
  3. Masak di atas api sehingga mendidih dan pecah minyak dan masukkan sedikit air asam jawa, sedikit gula dan garam.

Bahan perapan ayam:

  • Ayam dipotong 4 (dicucuk menggunakan garfu)
  • 5 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 inci halia
  • 1 inci lengkuas
  • 1 batang serai
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 sudu ketumbar
  • 1 sudu jintan manis
  • 2 sudu makan tepung beras
  • 2 sudu makan serbuk kari
  • Garam
  • Sedikit gula (untuk rangup)

Cara penyediaan:

  1. Kisar bawang merah, bawang putih, halia, serai, lengkuas, kunyit, ketumbar dan jintan manis.
  2. Satukan kesemua bahan dan perap ayam lebih kurang 1 jam (perapkan sekali tempe dan tauhu).
  3. Panaskan minyak dan goreng sehingga garing

Bahan sup:

  • Kaki ayam
  • Sup bunjut
  • 2 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • Garam
  • Daun sup

Cara penyediaan:

  1. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan masukkan kaki ayam, air dan sup bunjut.
  2. Masak sehingga kaki ayam empuk dan masukkan garam secukup rasa.
  3. Taburkan daun sup.

Sumber: Facebook Raja Amanina