PELAKON dan Pengacara popular, Ain Edruce mendedahkan beliau terpaksa bergegas pulang meninggalkan program Melodi pada Ahad susulan anak perempuannya diserang sawan akibat demam panas.

Kata Ain atau nama sebenarnya Nurulain Edruce, 33, Soraya berada dalam keadaan baik ketika beliau keluar dari rumah untuk ke studio.

“Dalam pukul 10.30 pagi tadi (Ahad) dia bangun tidur macam gembira. Hati saya pun tenanglah. Saya bersolek untuk ke studio.

“Dah sampai di set, dah siap latihan dengan Bell Ngasri, kemudian dapat panggilan Soraya masuk hospital. Saya hubungi suami semula dan beliau kata Soraya diserang sawan.

“Rasa gugur jantung saya. Dengan Melodi dah nak bermula… Tuhan sahaja tahu perasaan saya,” katanya.

Ain mendedahkan perkara tersebut di laman Instagram miliknya dengan memuat naik gambar bersama anak sulungnya itu yang kini sedang menerima rawatan di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor.

Baca juga: Selamat melahirkan cahaya mata pertama, Ain Edruce kini bergelar ibu

Ujarnya, Soraya sudah demam sejak tiga hari lalu dan kini masih menerima rawatan di hospital.

Beliau bagaimanapun bersyukur apabila keadaan anaknya semakin pulih.

Menerusi satu perkongsian berbeza, Ain berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah yang menunjukkan suaminya, Amirul Hafiz berdepan keadaan cemas itu.

 

“Saya tengok video dekat CCTV. Sedih rasanya. Perkara ini terjadi betul-betul selepas saya pergi kerja.

“Anak menangis saya tiba-tiba tiada di rumah. Naik tinggi suhu badan. Soraya tak pernah sawan. Saya tidak tahu bagaimana Amirul boleh kawal situasi ini,” ujarnya.

Baik, ramai yang akan menjadi panik apabila berdepan situasi seperti yang dialami suami Ain.

Justeru, SinarPlus ingin kongsikan teknik penting ibu bapa perlu lakukan sekiranya anak tiba-tiba diserang sawan.

Menurut portal MyHealth, rawatan kecemasan diperlukan jika kanak-kanak mengalami kekejangan yang serius.

Untuk kes sawan, pesakit akan pengsan dengan tiba-tiba, tubuh badan menjadi kejang diikuti dengan sentakan anggota kaki dan tangan.

Baca juga: Darah tinggi ketika kehamilan boleh menyebabkan sawan, ini pentingnya ubat cair darah

Iklan

Berikut beberapa perkara yang digariskan MyHealth untuk membantu pesakit yang sedang sawan:

Perkara yang harus dibuat:

1.Sentiasa tenang. Jangan panik.
2. Perhatikan anak anda semasa sawan (turutan peristiwa, pergerakan badan dan anggota serta tempoh masa sawan).
3. Elakkan kecederaan
– Jangan alihkan anak.
– Alihkan anak hanya jika berada dalam keadaan bahaya contohnya di tengah jalan atau tempat tinggi.
– Jauhkan anak daripada benda-benda berbahaya.
4. Pusingkan anak ke kedudukan mengiring.
– Ini akan mengelakkan kanak-kanak tercekik dengan air liur atau muntah sendiri.
5. Berikan sokongan dan jadilah ibu bapa yang sensitif terhadap perasaan anak.
– Cakap dengan tenang dan perlahan, pastikan orang lain tidak mengerumuni anak anda.

Elakkan melakukan perkara berikut:

Iklan

1. Jangan pegang anak dengan kuat. Biarkan sawan itu berhenti dengan sendiri.
2. Jangan letakkan objek seperti sudu atau kunci ke dalam mulut anak.
– Ini hanya akan menyebabkan kecederaan kepada mulut dan lidah.
3. Jangan berikan makanan atau ubat melalui mulut.
– Tunggu sehingga sawan berhenti dan anak sedar sepenuhnya sebelum memberinya makan.
4. Jangan lakukan cardiopulmonary resuscitation (CPR) atau resusitasi mulut ke mulut.
– Anak anda tidak akan berhenti bernafas atau mati akibat sawan yang sekejap.

Baca juga: Sawan, otak rosak, koma, kematian jika beri bayi minum air masak. Banyak lagi bahaya lain

Walaupun situasi tersebut membimbangkan namun, kata MyHealth, sawan demam yang berlaku sekali sahaja tidak membahayakan nyawa.

SinarPlus juga ingin nasihatkan supaya ibu ayah segera bawa anak untuk dapatkan rawatan sekiranya situasi tersebut berulang.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!