Rawat masalah jantung rendah risiko dengan TAVI, orang muda pun patut ambil tahu

A
A
A

JANTUNG merupakan organ terpenting dalam bahagian tubuh manusia. Penjagaan yang rapi sangat diperlukan bagi memastikan setiap daripada kita tidak berhadapan sebarang penyakit berbahaya.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 45,684 orang daripada 32.4 juta rakyat negara ini menderita penyakit jantung koronari sehingga Februari lalu.

Bilangan kematian akibat penyakit berkenaan meningkat hampir 100 peratus iaitu 18,267 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 9,371 pada tahun 2010.

Golongan muda di negara ini dikatakan mendahului senarai penyakit kardiovaskular berbanding negara lain dengan purata pada usia 58 tahun, manakala di Thailand (68), Singapura (61), China (63) dan Amerika Syarikat (66).

Sementara statistik daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyaksikan, kematian masyarakat dunia adalah disebabkan penyakit kardiovaskular berbanding penyakit lain. Pada tahun 2016, sebanyak 17.9 juta orang dilaporkan menemui ajal dengan serangan jantung dan strok menyumbang 85 peratus daripada kematian.

Persoalannya, adakah kemajuan teknologi pada era milenium ini memiliki metodologi atau peralatan canggih untuk merawat stenosis aorta iaitu penyakit injap jantung? Adakah pesakit akan terus menderita selama-lamanya dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan semata-mata?

Teknologi TAVI

Bagi menjawab pertanyaan itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Assunta, Dr Nicholas Chua.

DR Nicholas.

Dalam satu pertemuan di kliniknya, Dr Nicholas terlebih dahulu menjelaskan apakah penyakit injap jantung yang direkodkan paling banyak berlaku di dunia Barat.

"Ia (penyakit injap jantung) merupakan satu keadaan yang mana injap jantung tidak berfungsi seperti yang sepatutnya.

"Semua darah yang keluar dari jantung kita harus melalui injap. Jadi, jika saluran injap sempit, ia akan menyebabkan aliran darah (mengalir) terhad ke seluruh badan sekali gus memberi tekanan kepada otot jantung dan akhirnya menyebabkan pesakit menjadi sesak nafas, sakit dada dan seterusnya berlaku kegagalan jantung," katanya.

Pun demikian, Dr Nicholas memberitahu, untuk mengatasi permasalahan itu, hal itu tidak sesukar seperti zaman dulu.

Ujar beliau, sekiranya ada di antara ahli keluarga yang berhadapan masalah injap jantung tersumbat, mereka tidak perlu bimbang lagi kerana dunia perubatan semasa sudah mempunyai rawatan alternatif yang boleh dilakukan tanpa perlu melakukan proses pembedahan.

Artikel berkaitan: 'TAVI buat saya lebih cergas, beri saya peluang kedua untuk hidup'

"Rawatan tersebut dinamakan Implantasi Injap Aorta Transkatheter (TAVI) yang boleh membantu pesakit terutamanya golongan yang sudah berusia dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik serta tidak boleh melakukan pembedahan secara terbuka.

"Prosedurnya hanya melibatkan satu insisi kecil (hirisan yang terhasil apabila tisu dihiris dengan alat bedah yang tajam) pada saluran aorta (salur darah besar) pada bahagian kaki untuk memasukan kateter," katanya.

Kateter merupakan tiub yang dimasukkan ke dalam pundi kencing untuk megeluarkan air kencing dari pundi.

Sebelum ini, Dr Nicholas pernah mengendalikan rawatan TAVI ke atas 50 pesakit jantung di London, United Kingdom tahun lalu.

Kata pakar jantung berpengalaman itu, injap gantian yang digunakan boleh bertahan hampir 10 tahun dan ia boleh dilakukan sebanyak dua kali bagi setiap pesakit.

"Saya pernah mengendalikan rawatan TAVI kepada salah seorang pesakit jantung (lelaki) di London pada tahun lalu yang hanya memerlukan 30 minit sahaja untuk melengkap proses memasukkan injap baharu,” katanya.

Selamat, cepat

Menurut Dr Nicholas, sebenarnya, kebanyakan masyarakat tidak sedar tentang penyakit injap jantung lebih-lebih lagi ketika seseorang mengalami peningkatan usia.

“Masalah ini lazimnya berlaku terhadap golongan warga emas atau lanjut umur kerana injap jantung mereka menjadi keras dan sempit. Kerosakan injap aortik boleh juga disebabkan oleh demam reumatik dan injap aortik bikuspid kongenital," ujarnya.

Demam reumatik adalah komplikasi akibat jangkitan tekak oleh bakteria streptococcal.

Keadaan itu sedikit sebanyak akan menyebabkan injap yang bertindak sebagai 'pintu' daripada jantung tidak dapat mengepam darah yang membawa oksigen dan nutrien ke seluruh tubuh dengan sempurna.

"Dengan keadaan fizikal yang lemah dan ditambah pelbagai penyakit lain, golongan berkenaan amat berisiko bagi pembedahan secara terbuka,” katanya.

Sebagai alternatif, pesakit yang mempunyai masalah kesempitan atau saluran tersebut tersumbat boleh melakukan prosedur TAVI melalui saluran darah subklavian yang terdapat di bawah tulang selangka.

"Injap baharu akan ditempatkan di posisi injap aortik yang rosak dan berfungsi sebagai injap gantian yang dimasukkan menerusi penggunaan kateter.

"Ia akan dilepaskan sehingga mencapai saiz yang sama seperti injap asal dengan melalui saluran darah hingga sampai ke injap aorta yang rosak secara perlahan-lahan," jelasnya.

Kemudian, terang Dr Nicholas, injap gantian itu tadi mengembang dan berfungsi seakan-akan seperti injap asal (secara automatik) apabila berada dalam tubuh pesakit berkenaan.

"Proses pengembangan dan fungsinya itu dipengaruhi oleh suhu badan pesakit dan denyutan jantung pesakit. Ini bermakna jika jantung tidak berdegup, injap baharu itu tidak akan berfungsi. Prosedur tersebut diiktiraf selamat dan tidak memerlukan degupan jantung dihentikan untuk menggantikan injap yang bermasalah," katanya.

Risiko rendah, cepat pulih

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Am, Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Choor Chee Ken turut melontarkan pandangannya mengenai TAVI.

Katanya, TAVI adalah teknologi baharu yang membolehkan penggantian injap aorta secara percutaneous (kaedah perubatan yang mana akses ke organ dalam atau tisu lain dilakukan melalui tusukan jarum pada kulit)tanpa pembedahan menggunakan kateter melalui arteri femoral di pangkal paha (selain arteri kaki).

DR Chee Ken.

"Prosedurnya mempunyai risiko komplikasi yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pembedahan pada pesakit berisiko tinggi seperti pesakit yang tidak sesuai untuk menjalani pembedahan.

"Berita baiknya, kadar pemulihan juga lebih cepat dan pesakit yang menerima rawatan TAVI tidak perlu memakan ubat-ubatan yang mempunyai dos yang tinggi (seperti selepas proses pembedahan terbuka)," katanya.

Kepada SinarPlus beliau berkata, terdapat dua peranti berbeza yang kini berada di pasaran.

"Peranti-peranti berkenaan adalah peranti Edwards yang pertama kali 'ditanamkan' pada tahun 2002 dan peranti CoreValve pada tahun 2004 di Institut Jantung Negara. Ia (peranti dan sistem penghantaran) telah mengalami beberapa peningkatan selama bertahun-tahun," katanya.

Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Chee Ken berkata, prosedur tersebut melibatkan pelbagai disiplin yang terdiri daripada pakar kardiologi, pakar bedah kardiotorasik, pakar bius dan paramedik.

Secara umumnya, kaedah rawatan berkenaan hanya mengambil masa yang singkat sahaja iaitu antara dua sehingga tiga jam sahaja (bergantung kepada keadaan pesakit).

“Namun demikian, menjadi kekangan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan tersebut kerana kosnya yang agak mahal.

“Dengan kos rawatan sekitar RM100,000 (bagi satu injap), saya rasa ia terlalu mahal untuk pesakit bagi menjalani rawatan TAVI,” beritahu beliau.

Mengenai potensi rawatan TAVI, Dr Chee Ken tidak menafikan ia sangat baik.

“Rawatan TAVI sangat mendatangkan manfaat yang positif kepada pesakit jantung. Namun demikian, faktor kos yang tinggi menjadi punca rawatan itu seolah-olah ‘terhad’ untuk dilaksanakan," katanya.

Oleh itu, dengan risiko yang rendah dan prosedur yang pendek, rawatan TAVI sangat disyorkan kepada warga emas. Namun, kos yang terlalu tinggi membuatkan ramai pesakit di Malaysia tidak dapat melaksanakannya.

STATISTIK mereka yang mendapatkan rawatan teknologi TAVI juga sangat sedikit.

ANEKDOT

TIDAK seperti pembedahan jantung terbuka untuk menggantikan injap aorta, rawatan TAVI tidak memerlukan dada pesakit dibuka dan jantung tidak berhenti. Berikut prosedurnya:

  • Langkah 1: Navigasi aorta

Transkatheter injap jantung diarahkan melalui arteri kaki ke jantung.

  • Langkah 2: Valvuloplasti belon (Balloon Valvuloplasty)

Dipandu oleh kateter, belon yang boleh dikembangkan terlebih dahulu dimasukkan ke dalam injap aorta untuk membuka injap jantung aorta yang sempit.

  • Langkah 3: Melepasi injap asal

Injap gantian akan diletakkan pada kedudukannya dan siap dipasang.

  • Langkah 4: Pemasangan (Valve deployment)

Belon yang boleh dikembangkan digunakan untuk mengantikan injap asal. Kadar denyutan jantung akan dikawal dengan wayar pendenyut.

  • Langkah 5: Pemeriksaan akhir (Aortogram & echocardiography)

Pemeriksaan injap dilakukan dengan aortogram dan echocardiography. Arteri kaki akan dirawat dengan alat khas untuk mencegah pendarahan. Kateter dikeluarkan dan kini injap baru berfungsi menggantikan injap asal.

Sumber: Pakar Perunding Kardiologi, Hospital Assunta, Petaling Jaya, Dr Nicholas Chua.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca