"Saya dan adik-beradik bercakap BM...,'Dr Malar dilantik Ikon Bahasa, sedia pikul tanggungjawab
MELENTUR buluh, biarlah daripada rebungnya. Begitulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan cara Dr Malar Santhu Santherasegapan membesar.
Ramai yang kagum dengan kefasihan pempengaruh tersebut dalam bertutur Bahasa Melayu. Walaupun beliau berketurunan India, namun Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa utamanya, baik ketika bekerja mahupun di rumah bersama keluarga tercinta.
Kepetahan beliau berbahasa Melayu serta dedikasinya dalam mengangkat bahasa kebangsaan itu telah menarik perhatian ramai terutamanya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Walaupun sering diajukan soalan bagaimana dirinya begitu fasih berbahasa Melayu, empunya diri masih tidak mempunyai jawapan yang tepat dan menyifatkan ia sebagai anugerah sejak dari lahir.
"Entah saya pun tak pasti,sejak lahir kot", itulah jawapan saya ketika menjawab kepada pemberita yang bertanya," katanya.
Bila mengimbau kembali zaman kanak-kanaknya, Dr Malar mengakui menggunakan bahasa kebangsaan itu walaupun ketika bersama adik-beradik yang lain.
"Saya dan adik-beradik bercakap Bahasa Melayu. Berlari, bermain, terjun longkang, panjat tangki air dan masuk hutan kami terjerit terpekik dalam bahasa ibunda tersebut,"jelasnya.
Beliau yang sentiasa berkongsi tips kesihatan di media sosial itu menambah, sehingga kini mereka sekeluarga masih menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Walaupun kedengaran aneh, doktor di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia,Cheras itu berkata, dirinya lebih selesa untuk berdoa dalam Bahasa Melayu ketika memohon pertolongan dari Tuhan.
"Saya fikir, marah dan menyumpah pun dalam BM, malah doa pun dalam BM. Aneh, kan? Tapi itulah bahasa yang paling dekat di hati,”ujarnya.
Baru-baru ini Dr Malar menerima pelantikan sebagai salah seorang daripada Ikon Bahasa DBP 2024 dalam kalangan pempengaruh media sosial.
Beliau bersyukur atas pengiktirafan itu dan menyifatkan pelantikkan itu sebagai tanggungjawab yang besar.
"Walaupun saya bersyukur, namun setiap anugerah datang dengan tanggungjawab, maka bahu ini terasa makin berat. Doakan agar saya dapat pikul anugerah dan tanggungjawab ini dengan baik,"ujarnya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang