Rawatan rekonstruktrif, implan silikon beri harapan baharu kepada pesakit kanser payudara. Pakar beri penjelasan

KANSER payudara masih kekal menjadi barah pembunuh nombor satu dalam kalangan kaum Hawa.

Berdasarkan statistik Malaysia National Cancer Registry (2012 hingga 2016), kanser jenis itu berada pada tangga teratas dihidapi rakyat Malaysia dengan 21,634 penghidapnya ialah wanita.

Beralih kepada perangkaan data yang didiagnosis dengan kanser payudara. Daripada jumlah itu, 685,000 kematian dicatatkan.

Menurut WHO, setakat penghujung tahun 2020, lebih kurang 7.8 juta wanita yang didiagnosis dengan kanser payudara dalam tempoh lima tahun masih hidup.

“Ia terjadi ke atas mereka tidak kira lingkungan umur (selepas akil baligh) dan angka pesakit boleh meningkat lagi,“ kata WHO.

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut pada Oktober setiap tahun, SinarPlus mengulangi usaha terdahulu dengan mengupas sekali lagi isu kesihatan itu.

Prof Madya Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman.

Kali ini, kami mendapatkan dua pakar dan salah satunya ialah Pensyarah dan Pakar Perunding Patologi (Payudara & Endokrin), Pusat pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Kelantan, Prof Madya Dr Wan Faiziah Wan Abdul Rahman.

Secara asasnya, Dr Wan Faiziah berkata, kanser itu terjadi apabila sel dalam organ payudara tumbuh secara tidak normal dan membahagi secara luar biasa lalu membentuk ketulan.

“Ketulan yang dirasai mungkin mengandungi longgokan lebih kurang 1 bilion sel kanser. Pembahagian sel yang sangat cepat dan agresif boleh merebak ke nodus limfa pada bahagian ketiak atau organ tubuh lain,“ katanya.

Beritahu beliau, data terkini menunjukkan kaum Hawa yang berumur dalam lingkungan 50 hingga 59 tahun mempunyai risiko 10 kali ganda berbanding wanita muda.

Genetik

Ditanya tentang faktor pencetus, Dr Wan Faiziah menegaskan, ia tidak boleh dikaitkan dengan satu sebab sahaja.

Pun demikian, genetik adalah punca paling signifikan. MayoClinic, Amerika Syarikat (AS) mempunyai huraian yang jelas mengenainya.

Kata sumber perubatan itu, pakar menganggarkan bahawa kira-kira 5 hingga 10 peratus daripada kanser payudara dikaitkan dengan mutasi gen yang diturunkan melalui generasi sesebuah keluarga.

“Paling terkenal ialah gen kanser payudara 1 (BRCA1) dan gen kanser payudara 2 (BRCA2) yang kedua-duanya meningkatkan risiko kanser payudara serta ovari dengan ketara.

“Jika pesakit ada sejarah keluarga dengan kanser payudara atau kanser lain, ujian genetik disyorkan untuk membantu mengenal pasti mutasi tertentu dalam BRCA atau gen lain,“ kata sumber perubatan itu.

Mayo Clinic turut menyatakan penyebab lain yang boleh dikaitkan. Antaranya:

  1. Peningkatan umur, kegemukan, minum banyak alkohol dan pendedahan kepada radiasi.
  2. Pernah menjalani biopsi payudara yang menemui Lobular Carsinoma In Situ (LCIS).
  3. Alami haid (sebelum berusia 12 tahun) atau lebih muda dan menopaus pada usia lebih tua.
  4. Tidak pernah hamil dan memiliki anak pada usia tua.
  5. Terapi hormon selepas menopaus.

Selain itu, ujar Dr Wan Faiziah, tubuh yang terdedah kepada karsinogen atau bahan yang boleh mencetuskan sel berubah menjadi kanser juga menyumbang. Asap rokok telah disahkan sebagai salah satu karsinogen.

Berbeza dengan artikel sebelum ini, kami akan menjelaskan di mana kanser payudara seorang wanita bermula.

Untuk itu, kami merujuk informasi yang dibentangkan American Cancer Society (ACS).
Secara asas, payudara kiri dan kanan mempunyai kelenjar, saluran dan tisu lemak. Organ itu akan membuat dan menghantar susu untuk bayi dan jumlah tisu lemak akan menentukan saiz setiap payudara.

Menurut ACS, payudara mempunyai bahagian yang berbeza dan kanser boleh berlaku pada ‘lokasi‘ tersebut. Berikut penerangannya:

  1. Lobul: Kelenjar yang menghasilkan susu ibu. Kanser yang bermula di sini dipanggil kanser lobular.
  2. Duktul: Saluran kecil akhir yang keluar daripada lobular dan membawa susu ke puting. Ini adalah tempat yang paling biasa untuk kanser payudara bermula.
  3. Puting susu: Merupakan bukaan pada kulit payudara yang mana saluran berkumpul dan bertukar menjadi saluran yang lebih besar supaya susu boleh keluar daripada payudara. Puting dikelilingi oleh kulit yang lebih tebal dan sedikit gelap dipanggil areola. Jenis kanser payudara yang kurang biasa dipanggil penyakit Paget payudara boleh bermula pada puting.
  4. Lemak dan tisu penghubung (stroma): Ia mengelilingi saluran dan lobul. Jenis kanser payudara yang kurang biasa dipanggil phyllodes boleh bermula pada stroma.
  5. Salur darah dan saluran limfa juga terdapat pada setiap payudara: Angiosarcoma adalah jenis kanser payudara yang kurang biasa boleh bermula pada lapisan salur darah.

 

Menyentuh sedikit tentang rawatan, Dr Wan Faiziah berkata, selepas pemeriksaan klinikal dilakukan, pesakit perlu menjalani saringan lanjut mamogram dan ultrabunyi untuk mengesan kelainan yang muncul pada tubuh.Pengesahan sel kanser pula adalah melalui ujian biopsi dan ujian aspirasi jarum halus.

Menurut pakar itu, ujian aspirasi jarum halus adalah teknik yang sangat ringkas menggunakan jarum yang sama saiz untuk mengambil darah.
Doktor akan membuat pergerakan keluar masuk jarum agar sel-sel daripada ketulan itu memasuki jarum. Sel kemudian akan dikaji di bawah mikroskop.

Terkini, kaedah pengesahan telah ditambah baik dengan membuat ujian biopsi terhadap kebanyakan pesakit yang mempunyai ketulan. Kaedah itu lebih tepat berbanding ujian aspirasi jarum halus.

Sebenarnya, pembedahan adalah rawatan utama membuang sel kanser.
“Selepas pembedahan, terapi bersasar memberi peluang sembuh yang lebih tinggi kepada pesakit,” kata pakar berkenaan ketika dihubungi.

Dr Siti Muyassarah Rusli

Implan silikon & saline

Bagi mengulas lebih lanjut mengenai perawatan, SinarPlus menghubungi Pakar Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, MSU Medical Centre, Dr Siti Muyassarah Rusli pula.

Kata Dr Siti Muyassarah, pembedahan rekonstruktrif bagi kanser payudara adalah salah satu cara untuk menutup luka besar yang terhasil semasa pembedahan membuang tumor.
Ia juga dilakukan untuk tujuan kosmetik, malah memberi manfaat perubatan dari segi fizikal dan mental.

Bagi pembedahan pembinaan semula payudara, organ itu boleh dibentuk melalui pembedahan menggunakan tisu otot, lemak dan kulit yang diambil daripada beberapa bahagian tubuh badan pesakit itu sendiri.

“Antara bahagian yang terbaik (untuk pengambilan tisu) adalah bawah abdomen perut yang mempunyai banyak lemak dan paling menghampiri dengan lemak di dalam payudara.

“Pun begitu, ia mestilah boleh dipindahkan dengan saluran darah asal yang masih dikekalkan. Jika saluran darah asal telah diputuskan, ia perlu disambungkan secara pembedahan mikro,“ katanya.

Selain itu, lemak dan kulit juga boleh diambil pada pinggul. Tisu tanpa otot pula boleh diperoleh daripada bahagian tulang belikat atau perut.

Menurut Dr Siti Muyassarah lagi, satu lagi metodologi adalah memasukkan implan silikon sehingga mencapai isipadu seperti organ asal.

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Merujuk WebMD, selain implan silikon, implan saline juga dipraktikkan.
“Implan berisi garam adalah cangkerang silikon yang diisi dengan air garam steril (saline).
“Sementara, implan berisi gel silikon adalah cangkerang silikon yang diisi dengan gel plastik (silikon). Walaupun ramai wanita mengatakan bahawa implan gel silikon berasa lebih seperti payudara sebenar daripada saline, ia lebih berisiko jika ia bocor,“ terang WebMD.

Dalam pada itu, menurut Cleveland Clinic, kira-kira 35 juta pesakit kanser payudara di dunia memasang implan payudara.

Di AS sahaja, 3.5 juta orang mengguna pakai cara itu dengan 60 peratus memilih ‘membuat’ implan silikon.

Iklan

Persoalannya, berapa lama implan payudara bertahan?

Jawab sumber perubatan tersebut, kekukuhannya mampu mencapai kira-kira 10 tahun.
Kembali semula berbicara dengan Dr Siti Muyassarah, beliau berkongsi cerita tentang pengalamannya merawat pesakit tahap empat yang lewat datang mendapatkan rawatan.

“Kanser yang dialami pesakit saya telah merebak ke bahagian dinding dada dan kulit termasuk sebelah lagi payudaranya. Keadaan tersebut juga menganggu kehidupannya kerana kulit yang terjejas sudah bernanah dan menjadi busuk,“ katanya.

SUMBER gambar hiasan daripada FREEPIK.

Untuk kes sebegitu, pakar itu berpendapat, penutupan luka adalah lebih menjadi keutamaan berbanding tujuan kosmetik pembinaan semula payudara.

Bagaimana pula dari aspek kesembuhan? Jelas beliau, durasi masa biasanya mengambil masa lebih kurang enam minggu.

“Kajian menunjukkan prosedur rekonstruktif membantu seseorang mendapatkan postur badan yang lebih simetri.

“Pesakit juga akan kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan, sekali gus membantu membuang stigma takut dengan kehilangan payudara,“ katanya.

Dalam pada itu, ujar beliau, setiap pembedahan mempunyai risiko komplikasi walaupun rawatan secara amnya adalah selamat.

#kesresponden

ZANARIAH ZAINAL

Bebas kanser selepas jalani pelbagai prosedur termasuk rawatan konstruktif

SATU ketulan yang muncul pada payudara Zanariah Zainal membuatkan tuan punya tidak keruan.

Semasa pemeriksaan dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), wanita itu menjalani tiga ujian iaitu saringan mamogram, ultrabunyi dan biopsi.

“Selepas lima hari, saya disahkan menghidap kanser payudara. Walaupun saya dah agak, perkhabaran itu tetap membuatkan saya menangis. Saya hanya memikirkan tentang kematian saja,“ katanya yang mengimbau kisah kira-kira 13 tahun lalu.

Ketika ditemui di PPUM baru-baru ini, Zanariah yang menghidap kanser tahap 3 ketika itu berkata, beliau tetap bersedia menjalani apa jua rawatan.

Iklan

Disebabkan ketumbuhan sudah sebesar hampir 5 sentimeter, pembedahan mastektomi disarankan oleh pakar.

Prosedur tersebut antara lain membuang keseluruhan payudaranya yang rosak akibat perebakan sel kanser. Ia disusuli dengan rawatan pembinaan semula organ itu melalui pembedahan rekonstruktif.

“Bagi menghapuskan baki sel-sel kanser,saya perlu menjalani enam kitaran kimoterapi dan 25 kitaran radioterapi. Proses tersebut mengambil masa lebih setahun. Ya, alhamdulillah, saya bebas kanser selepas itu,“ katanya.

Baca juga: Institut Kanser Negara, AstraZeneca perkenal teknologi AI untuk saringan awal paru-paru

Baca juga: Sakit payudara ketika haid anda mungkin mempunyai kanser, ini 7 tanda setiap wanita wajib ambil tahu!

Namun, Zanariah diminta memenuhi jadual pemeriksaan berkala iaitu dengan melakukan imbasan memogram dan ultrabunyi untuk mengesan kalau-kalau ada sebarang petanda kanser muncul lagi.

“Kalau tanya keadaan saya kini, saya bersyukur sangat. Sehingga sekarang, saya memilih untuk menjalani gaya hidup sihat dan bergiat aktif dalam aktiviti riadah,“ katanya.

Antaranya, beliau sering menyertai program anjuran kumpulan sokongan pesakit kanser agar dapat saling berkongsi pandangan dan pengetahuan sesama mereka.

“Saya beruntung kerana semasa disahkan kanser, saya dipertemukan dengan pesakit lain yang melalui pengalaman sama dan situasi tersebut membantu saya untuk melepasi proses rawatan yang sukar,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!