KALAU dihitung, sudah empat hari umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sekali lagi, seperti tahun lalu suasana lebaran sedikit muram gara-gara penangan Covid-19 yang entah bila akan berkesudahan.

Tidak mengapalah, ujian virus berbahaya itu daripada ALLAH SWT kepada semua penghuni alam sedikit sebanyak telah mengajar manusia untuk lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan tubuh badan.

Namun, SinarPlus percaya dalam apa jua keadaan, tatkala Aidilfitri membuka tirai, masing-masing cukup teruja meraikan kemenangan setelah menempuh dugaan berpuasa dalam durasi yang cukup lama.

Jadi, bagi menjayakan ‘misi’ itu, pelbagai sajian yang hendak dinikmati bermain dalam benak fikiran. Ketupat dan lemang memang berada di dalam senarai pilihan.

Nafsu mahu menikmati sate, laksa, bihun sup, nasi dagang mahupun lontong juga membuak-buak.

Senang kata, mahu ‘balas dendam’ untuk makan apa sahaja selepas 30 hari berpuasa!

Soal kolestrol, obesiti ataupun perut buncit memang akan ditolak tepi.

Namun, tahukah pembaca SinarPlus, sikap tidak ambil peduli itu akan membuatkan anda menyesal pada kemudian hari. Mengapa?

Bagi menjawab soalan itu, SinarPlus mewawancara Pakar Pemakanan, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Siti Syahirah Saru.

Dalam reaksi spontan Siti Syahirah, beliau dengan nada tegas berkata, hari raya bukanlah masa untuk kita melepaskan geram.

“Bagaimanapun, saya tak nafikan ia merupakan satu masa yang mencabar lebih-lebih lagi sudah lebih sebulan kita berpuasa,” katanya.

Pun demikian, demi kesihatan, orang ramai tidak boleh lari daripada mengamalkan prinsip bersederhana walaupun amalan itu sukar untuk dilakukan.

Siti Syahirah Saru.

“Mahu tidak mahu, ia perlu dilakukan, tiada cara lain untuk kekal sihat,” ujar pakar itu memberi pandangan awal tentang topik lebaran sihat.

Porsi seimbang

Seperti yang selalu disyorkan, porsi makanan yang terbaik untuk diamalkan adalah konsep suku-suku separuh. Pendekatan itu turut disarankan oleh Siti Syahirah.

Ia merujuk kepada suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Sebagai contoh, hidangan lodeh antara pilihan yang bagus dan seimbang kerana mengandungi nasi impit (karbohidrat), tauhu dan tempe (protein) dan juga sayur-sayuran (serat),” katanya.

Jadi, apakah juadah hari raya yang perlu dikurangkan? Memberi reaksi kepada soalan itu, Siti Syahirah memberi contoh mudah.

“Antara menu yang perlu dikurangkan adalah seperti rendang ayam, kuih-kuih raya seperti tart nanas dan minuman berperisa dan berkarbonat. Ini kerana jumlah kalori yang terkandung dalam makanan tersebut sangat tinggi,” katanya.

Berdasarkan pengiraan mudah, segelas minuman berkarbonat berukuran 250 mililiter mengandungi 130 kalori berbanding segelas air sirap yang hanya mempunyai 40 kalori.

Sementara itu, sebiji kuih tart nanas mengandungi 50 kalori.

“Bayangkan jika seseorang itu sudah makan 10 biji. Sudah pasti, 500 kalori telah diambil daripada kuih raya sahaja!” ujarnya.

Mengenai senaman pula, Siti Syahirah berkata, ia sebenarnya satu cabaran kepada seseorang untuk menjadikannya sebagai rutin lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

“Namun ia tidak bererti kita perlu berdiam diri sahaja. Sekiranya mampu, atur masa dan luangkan sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk senaman di rumah seperti lakukan aerobik, lompat tali dan zumba.

“Sebaliknya, jika tidak mampu lakukan setiap hari, lakukan aktiviti senaman selama satu jam setengah atau dua jam seminggu sekali untuk kekal aktif. Kita tidak perlu berlapar atau menahan diri daripada menikmati juadah pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Bilangan pesakit meningkat

Sementara itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Palong, Jempol, Negeri Sembilan, Dr Nur Athira Muhamad Yunus berkongsi pengalamannya tentang situasi yang berlaku selepas Aidilfitri.

Beritahunya, bilangan pesakit yang dirujuk ke hospital atau klinik berhampiran meningkat atas beberapa sebab.

Dr Nur Athira.

“Mereka lazimnya dirawat kerana masalah keracunan makanan, kandungan gula terlampau tinggi dan tekanan darah yang tidak normal.

“Namun, ada juga yang tercekik makanan sendiri kerana gelojoh makan di hari raya,” beritahunya.

Kepada SinarPlus, pegawai perubatan itu memaklumkan, lebaran yang sihat adalah sangat mudah untuk dicapai sekiranya tabiat pemakanan dan riadah semasa bulan Ramadan diteruskan.

“Pertama sekali, cubalah menjiwai semula makna lebaran iaitu meraikan kejayaan kita membentuk perubahan diri yang baharu dan lebih baik,” ujarnya.

Bentuk perubahan yang dimaksudkan oleh Dr Nur Athira adalah merujuk kepada:

i) Mengamalkan pemilihan makanan yang seimbang.

ii) Pelbanyakan pergerakan seperti solat tarawih.

iii) Amalan mengawal stres yang lebih baik.

iv) Banyak melakukan meditasi melalui zikir dan tilawah al-Quran.

Mengenai mereka yang mempunyai penyakit kronik pula, kelompok inilah yang perlu memberi lebih perhatian kepada diri mereka sendiri. Mudah kata, jangan ‘belanja’ diri keterlaluan walaupun mahu meraikan kegembiraan Syawal.

Kepada golongan yang mempunyai masalah darah tinggi dan kencing manis, kata Dr Nur Athira, mereka boleh menarik nafas lega, namun semuanya bersyarat.

Iklan

Ujar pakar itu, berdasarkan penyelidikan yang dijalankan secara berterusan oleh pakar antarabangsa, golongan itu masih boleh menikmati juadah perayaan mengikut Panduan Pemakanan Perubatan.

“Namun, pesakit kena tahu kondisi diri. Jika mereka merupakan pesakit tahap 3, Panduan Pemakanan Perubatan akan sarankan makan makanan dengan porsi yang sesuai. Jadi, tiada istilah kumpulan pesakit kronik tak boleh sentuh langsung makanan,” katanya.

Pun demikian, kata Dr Nur Athira, pemikiran ‘meraikan’ raya dengan makan secara berlebihan adalah bertentangan dengan matlamat hikmah bulan Ramadan dan Aidilfitri itu sendiri.

“Kita semua perlu muhasabah diri dan mengawal hawa nafsu makan,” ujarnya.

Beliau turut memetik Surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan.”

Dalam Riwayat al-Tirmizi dan Hakim, Rasulullah SAW bersabda: “Tiada memenuhi anak Adam suatu tempat yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah untuk anak Adam itu beberapa suap yang dapat menegakkan tulang punggungnya. Jika tidak ada cara lain, maka sepertiga (dari perutnya) untuk makanannya, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiganya lagi untuk bernafas.”

Ungkap Dr Athira, amalan pemakanan yang sihat sebenarnya banyak dianjurkan oleh pelbagai agama dan budaya di seluruh dunia.

“Di Jepun misalnya, mereka menggunakan konsep hara hachi bu iaitu makan hingga 80 peratus kenyang dan konsep makan daripada pelbagai jenis kumpulan makanan dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Oleh sebab itu, rakyat Jepun tersenarai sebagai negara yang mempunyai bilangan dan jangka hayat manusia sihat yang lama terutama di Okinawa,” katanya.

Seperti kata Dr Nur Athira, semua makanan adalah baik sekiranya halal dan amalan pemakanan yang baik adalah bermula daripada didikan ibu bapa sejak kecil.

“Saya juga berharap orang ramai di luar sana menjadikan Aidilfitri sebagai platform untuk kita sama-sama melakukan perubahan tabiat yang lebih baik,” katanya.

ANEKDOT

PANDUAN elak makan secara berlebihan semasa Hari Raya Aidilfitri:

Iklan
  1. Gunakan pinggan atau mangkuk yang lebih kecil untuk mengambil juadah hari raya seperti rendang, ketupat dan lemang bagi mengawal porsi makanan yang diambil.
  2. Hadkan pengambilan air manis sekali dalamsehari. Lebih baik bawa bersama bekalan air kosong sentiasa ke mana-mana.
  3. Pilih buah-buahan potong untuk kudapan atau snek berbanding kerepek atau keropok ketika makan.
  4. Elak mengambil kuah yang berlebihan seperti kuah kacang, kuah spageti, kuah rendang dan kari kerana ia memberi tambahan kalori yang tinggi.

Sumber: Pakar Pemakanan, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Siti Syahirah Saru.        

Gara-gara paras gula tinggi, Nor Maisara masuk hospital pada raya ke-2               

PADA lebaran tahun lalu, Nor Maisara Rais, 26, telah didiagnos sebagai salah seorang pesakit kencing manis.

Ujar Nor Maisara, peristiwa berkenaan dianggap paling buruk dalam sejarah hidupnya. Masakan tidak, pada usia 20-an beliau disahkan menghidap sakit kronik. Siapa yang tidak sedih, bukan?

“Saya telah ditahan di wad kecemasan di salah sebuah hospital kerajaan di Ipoh, Perak pada hari kedua sambutan perayaan Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Itu semua katanya disebabkan oleh ketagihannya yang keterlaluan meneguk minuman manis ketika Ramadan dan pada awal Syawal.

“Boleh dikatakan setiap hari saya akan beli minuman manis terutamanya aneka produk tin dan kotak. Lebih sedap lagi ditambah dengan jeli buah-buahan dan ais. Boleh katakan, segalanya memang tak terkawal,” katanya sambil memberitahu, bapanya juga mempunyai masalah yang sama.

Disebabkan menderita penyakit kencing manis, Nor Maisara berkata, rutin pemakanannya kini sudah berubah.

“Selain perlu makan ubat, saya ‘berpantang’ dengan tidak meminum air manis termasuklah segala juadah yang mengandungi gula yang tinggi.

“Benar, ia merupakan satu perubahan yang drastik. Jika sebelum ini semua makanan saya boleh makan, kini terlalu banyak nikmat makanan yang perlu saya lupakan,” katanya lagi.

Bagaimanapun, ungkap Nor Maisara, beliau bersyukur kerana penyakitnya masih boleh dirawat.

“Kepada orang di luar sana, jangan jadi seperti saya. Ketika Aidilfitri biasanya godaan makan memang tinggi. Bukan langsung tak boleh makan atau minum, tapi berpada-padalah,” pesannya sebelum mengakhiri perbualan.