IDEA bernas anak Malaysia yang menghasilkan reka bentuk rumah terapung berinspirasikan kelapa berjaya membawa tuah yang cukup lumayan.

Hakim Azly terpilih daripada 100 pereka dari 20 negara untuk memenangi sebahagian ganjaran daripada Dana OMG! platform hospitaliti global Airbnb bernilai lebih RM44,000,000.

Airbnb dalam satu kenyataan menyebut, Coconut Drifting in the Sea yang dicetuskan Hakim merupakan sebuah rumah terapung yang terletak di pantai Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah.

Apa yang menarik, rumah tersebut boleh diakses dengan bot atau kayak selain tetamu boleh menikmati panorama 360 darjah untuk kawasan pulau di sekitarnya.

rumah terapung kelapa

Uniknya desain berkenaan, ia menyerupai sebiji kelapa tua lengkap dengan sabut dan cengkerang luar yang kelihatan seolah-olah mengelupas bagi membolehkan cahaya masuk.

Reka bentuk seluas 250 meter persegi itu mampu memuatkan katil bersaiz king, bilik mandi dan ruang dalaman tidak bersudut menjadikan ia lebih luas.

Sinonim dengan buah kelapa, dekorasi dalaman juga serba putih menyerupai isi kelapa.

Hakim yang berasal dari Perlis itu berkata, minat mendalam terhadap bidang reka bentuk tercetus ketika beliau dibesarkan di rumah allahyarham datuknya di Kangar.

Rumah tersebut dipenuhi dengan elemen unik dan futuristik yang mana menurutnya, dekorasi tersebut mendahului zaman pada tahun 60an.

Beliau kemudiannya membesar di Teaneck, New Jersey dan menghabiskan masa melukis mural berskala besar sebelum melanjutkan pengajian di dalam bidang seni bina.

rumah terapung kelapa

“Bagi saya, seni bina lebih daripada sekadar himpunan bahan-bahan. Ia melibatkan gambaran yang lebih meluas yang mana arkitek bertanggungjawab untuk mempertimbangkan setiap keputusan reka bentuk dan fungsi objek tersebut kepada komuniti.

“Dorongan itu telah menyemarakkan lagi minat saya terhadap bidang ini dan merupakan satu lagi sebab mengapa saya sangat teruja untuk mencipta sesuatu yang benar-benar unik dan luar biasa,” katanya.

Baca juga Pernah diperlekeh bina rumah terapung hadapi banjir, kini anak bangga usaha ayah berhasil. Inspirasi!

Hakim yang menyertai Dana OMG! bersama isterinya, Reena berkongsi inspirasi desain tersebut daripada buah kelapa yang hanyut di pesisiran pantai.

Mengulas lanjut, beliau berkata, desain itu memberikan suasana pengembaraan kepada tetamu untuk satu perjalanan menakjubkan.

“Konsep berkenaan membolehkan mereka menikmati pengalaman perubahan cuaca, pasang surut air dan kitaran matahari seperti mana kelapa yang terapung di tengah laut.

rumah terapung kelapa

“Kami juga gembira kerana dapat menerapkan salah satu matlamat utama kami ke dalam projek ini iaitu membina penternakan ikan dan nurseri karang seluas 300 meter persegi di sekitar rumah terapung kami sebagai sebahagian daripada Pengalaman OMG!,” katanya.

Iklan

Pemuda itu turut berkongsi rancangan untuk membina penternakan ikan dan karang bertujuan untuk menggalakkan komuniti tempatan dan pelancongan.

Baca juga Rumah rakit jadi pilihan bercuti, 5 pilihan destinasi wajib cuba buat kaki pancing

Ia sekali gus boleh mengurangkan penggunaan dan menambah semula sumber semula jadi yang sering digunakan untuk menyokong industri pelancongan.

PENGALAMAN

Penyertaan bersama Airbnd bukanlah pengalaman pertama buat pasangan itu kerana sebelum ini mereka pernah menjadi Superhost untuk kediaman di Seattle selama setahun.

Hakim dan isterinya yang kini menetap di Langkawi berkenaan merupakan hos Airbnb sepenuh masa bagi 10 unit yang dibina sendiri oleh keluarganya.

rumah terapung kelapa

Iklan

“Sebenarnya semasa mula menjadi hos Airbnb di Amerika Syarikat, saya sedar potensi konsep penginapan sedemikian, namun tidak mempunyai banyak ruang.

“Justeru, idea dan pelaksanaan Coconut Drifting in the Sea di kawasan pelancongan yang kaya dengan warisan dapat dihasilkan. Ini yang boleh kami banggakan,” katanya.

Setiap dana yang diterima, penerima anugerah Dana OMG! akan mereka bentuk, membina dan melengkapkan ruang rumah tersebut dalam tempoh 10 bulan.

Para pelancong tempatan mahu pun luar negara boleh menempah kediaman unik tersebut dalam kategori OMG! Airbnb menjelang musim panas 2023 nanti.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi