SAJIAN kepak ayam merupakan antara makanan jalanan (street food) yang cukup popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pun begitu, kepak ayam yang disumbat dengan ketupat palas pulut hitam pastinya jarang-jarang sekali didengar, bukan?

SinarPlus baru-baru ini berpeluang mewawancara penggemar sajian tersebut, Petronella Johnny Angian yang rajin berkongsi banyak menu menerusi akaun TikTok dan Instagram miliknya.

Menurut Petronella atau mesra disapa Elon, pengalaman menikmati sajian unik itu ketika berkunjung ke China pada tahun 2018 membuatkannya terus jatuh cinta dan sentiasa teringat-ingat.

kepak ayam ketupat palas

“Saya terjumpa makanan enak ini yang dinamakan stuffed chicken wings ketika berada di Kunming, wilayah Yunnan.

“Saya cuba makan dan memang sangat sedap. Tidak silap saya, di Taiwan dan Thailand terdapat menu serupa dan ia dikenali sebagai kai sawt sai tawt. Biasanya kepak ayamnya disumbat bersama isi udang,“ ujarnya penuh teruja.

Untuk menu air tangan Elon, beliau hanya menggunakan tiga bahan asas utama sahaja untuk melengkapkan kulinari itu. Selain kepak ayam, bahan lain yang diperlukan cuma sos tiram dan ketupat palas pulut hitam.

kepak ayam ketupat palas

“Buat mereka yang ingin mencuba makanan viral ini, memang mudah kerana tak banyak rencah yang digunakan.

“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membuang tulang kepak ayam perlu terlebih dulu,“ kata gaya juruanalisis media sosial itu.

Melihat Elon mengeluarkan tulang melalui video yang dikongsikan memang nampak mudah. Namun, bagi mereka yang belum berpengalaman, ia mengambil sedikit masa. Justeru, bagi memudahkan proses berkenaan, wanita tersebut berkongsi tip.

Baca juga Air mineral rahsia utama Puding Titisan Hujan nampak ‘cantik’ dan membulat. Tak susah pun nak buat

“Jangan risau, anda boleh tiru cara saya. Mula-mula, buang tulang kepak ayam dengan mematahkan sendinya. Kemudian, pusingkan sebelum ditarik keluar,“ kongsinya.

Wanita kelahiran Sabah yang menggemari menu berasaskan ayam menambah, gandingan kepak ayam dan ketupat pulut hitam memang paduan yang sesuai.

Iklan

kepak ayam ketupat palas

Namun, pesan Elon, untuk memastikan tahap kelazatan lebih terjamin, pastikan ketupat pulut hitam direbus menggunakan santan segar.

Untuk melengkapkan proses memasak, ketupat palas pulut hitam yang telah disumbat ke dalam kepak ayam perlu dimampatkan sempurna sebelum dibakar.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Jika tidak, isinya akan terlerai dan terkeluar. Pemilihan suhu juga penting bagi mengelakkan ayam tidak masak atau terlalu rentung.

“Bagi saya, suhu 150 darjah celsius dan tetapan masa 30 minit sudah memadai. Pun begitu, bergantung juga kepada jenis ketuhar atau penggoreng udara (air fryer) masing-masing,“ katanya sambil menambah, sajian itu enak dimakan begitu sahaja tanpa perlu lauk tambahan.

Iklan

 

RESIPI KEPAK AYAM KETUPAT PALAS

BAHAN-BAHAN

  • 6 kepak ayam
  • Sos tiram secukup rasa
  • Serbuk lada hitam secukup rasa
  • Daun bawang
  • 3 ketupat palas pulut hitam
  • Serbuk santan

kepak ayam ketupat palas

Cara penyediaan:

  1. Buang terlebih dulu tulang kepak ayam.
  2. Basuh dan bilas. Tos sehingga kering.
  3. Kemudian perap kepak ayam dengan sos tiram dan serbuk lada hitam secukup rasa selama 20 minit.
  4. Sementara itu, didihkan air di dalam periuk.
  5. Rebus ketupat palas pulut hitam bersama serbuk santan sehingga masak.
  6. Sejukkan dulu ketupat.
  7. Dalam satu bekas, masukkan ketupat bersama daun bawang dan sos tiram.
  8. Lenyek semua bahan sehingga sebati.
  9. Kemudian, sumbat bahan ke dalam kepak ayam yang sudah diperap sehingga padat.
  10. Bakar menggunakan penggoreng udara atau ketuhar pada suhu 150 darjah celsius selama 30 minit.
  11. Siap untuk dihidang atau dimakan begitu sahaja.