Resdung, kanser hidung miliki simptom seakan sama

A
A
A

TIDAK dinafikan sesetengah pesakit resdung mempunyai alergi kepada makanan, kata Doktor Perubatan Am, Klinik Soho di Gong Badak, Terengganu, Dr Ahmad Najmee Mohd Nor.

DR Ahmad Najmee.

Kata Dr Ahmad Najmee, antara alergi tersebut adalah merujuk kepada makanan laut sama ada berbentuk segar atau dalam bentuk yang diproses seperti budu dan belacan.

Namun demikian, bukan semua pesakit resdung mempunyai alahan makanan, kata beliau.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ahmad Najmee berkata, alergen utama sebenarnya datang daripada persekitaran seperti habuk, debu, hama, asap rokok, debunga, rumput, sisa-sisa kulit haiwan, bulu kucing, bahan pewangi dan sebagainya.

Terdapat sesetengah pesakit, resdungnya bertambah teruk disebabkan perubahan suhu dan cuaca, ujar beliau.

“Alergen-alergen itu agak sukar dikawal kerana kebiasaannya dalam bentuk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Justeru, pemeriksaan lanjut dengan pakar harus dilakukan kerana terdapat kes kanser hidung pada peringkat awal, mempunyai simptom yang sama seperti resdung,“ ujarnya.

Mengenai kecenderungan orang ramai yang gemar mendapatkan khidmat perubatan tradisional, demikian komentarnya: “Saya lihat ramai pengamal perubatan tradisional menggunakan corong lilin asap atau serbuk tertentu semasa terapi kononnya untuk mencuci rongga sinus.

Sedangkan apa yang dilakukan hanya untuk merangsang penghasilan lendir hidung dengan mendedahkan pesakit kepada alergen iaitu asap dan serbuk.

“Jadi, pesakit perlu berhati-hati dengan pendekatan berkenaan kerana banyak rawatan yang diusulkan bersifat  berlebihan.“Pada masa sama, ujar Dr Ahmad Najmee, tiada bukti saintifik yang dapat menyokong keberkesanan rawatan tradisional setakat ini.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan, pengambilan suplemen dan multivitamin boleh dijadikan terapi sampingan dalam merawat resdung, tetapi ia bukan rawatan utama.

“Ketahuilah, resdung yang teruk tidak mampu sembuh hanya dengan makan suplemen dan multivitamin,“ katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca