Rindu D'Villa milik Black pukau pandangan. Guna lantai dengan tema glow in the dark pertama di Asia
SOFISTIKATED dan elegan. Itu dua perkataan yang penulis rumuskan sebaik melihat beberapa kepingan gambar vila yang diberikan pemiliknya, penyanyi, Black Hanafiah.
Biarkan penulis bercerita satu persatu. Pertama, pilihan landskap hadapan kediaman itu tetap nampak menarik walau menggunakan rumput palsu. Pepohon hijau yang tidak terlalu sarat menaikkan lagi seri.
Menamakan mahligai kepunyaannya yang terletak di Kedawang, Langkawi, Kedah sebagai
Rindu D‘Villa bersempena nama anak perempuan tersayang, kata Black, beliau mengetengahkan konsep Cosy dan Bali Moden.
Berbeza dengan rumah lain, penyanyi lagu Drama King itu memilih menggunakan lantai dengan tema glow in the dark (barcahaya di dalam gelap) di bahagian dalam dan luar kolam renang.
Ujar Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah, konsep berkenaan dicadangkan oleh seorang rakannya yang juga pembekal barangan keperluan rumah dan bangunan.
“Rakan saya sahkan Rindu D‘Villa merupakan yang pertama menggunakan konsep sedemikian di Asia. Ini kerana barangan tersebut memang datang daripadanya,“ kongsinya yang membina sendiri vila tersebut sambil dibantu empat tukang rumah yang dibawa khas dari Kuala Lumpur.
Secara asasnya, rumah seluas 371.6 meter persegi itu mempunyai empat bilik tidur yang dilengkapi dengan bilik air, ruang tamu, dapur dan kolam mandi peribadi.
Demi keselesaan, Rindu D‘Villa dikhaskan untuk 10 tetamu pada satu-satu masa.
KAYU-KAYAN & BATU-BATA
Selaku individu yang meminati penggunaan kayu-kayan pada perabot dan hiasan, Black menginterpretasikannya ke atas vila berkenaan.
“Untuk hiasan ruang dinding misalnya, kami banyak menggunakan bingkai gambar. Menariknya, ia diperbuat daripada kulit pokok. Semuanya hasil tukangan sendiri oleh tukang rumah yang kami upah. Demikian juga dengan perabot, kabinet, meja dan kerusi makan yang berasaskan kayu serta beberapa item antik,“ kongsinya.
Bagi menyemarakkan aura Rindu D‘Villa, Black ‘mempertaruhkan‘ lampu candelier bagi menaikkan lagi elemen mewah dan ‘keanggunan‘ di ruang utama rumah persinggahan yang turut boleh disewa oleh orang ramai itu.
“Mungkin ramai fikir, barangan dalam rumah saya semuanya baharu belaka, tetapi sebenarnya rata-rata ialah benda terpakai. Sebagai contoh, lampu candelier, saya cat kembali sebelum dipasang,“ katanya.
Selain itu, pemilihan rona putih dilihat banyak melatari segenap sudut. Namun, dinding sudut di ruang tamu yang menerapkan elemen batu-bata, bagi SinarPlus berjaya menonjolkan lagi kemegahan Rindu D‘Villa.
“Setiap satu idea untuk vila ini datang secara spontan, selain bacaan di internet. Dari situ, saya dan isteri cuba praktikkan,“ katanya yang memilih untuk membangunkan premis itu selepas kerap bercuti di Langkawi.
Pada masa akan datang, Black dan isterinya, Naquia Yasirah Mohd sepakat untuk membina sebuah lagi rumah penginapan bukan sahaja untuk jadi tempat mereka berehat sekali-sekala, tetapi untuk para tetamu yang bercuti di pulau terkenal itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang