Risiko akibat stres melampau

No Image Caption
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, ramai individu berhadapan dengan tekanan emosi sehingga memberi kesan kepada kesihatan tubuh badan dan impak kepada kualiti hidup masing-masing. Jadi, bagi mengimbangi keadaan tersebut, seseorang itu perlu mengawal emosi dengan baik dan terurus jika berhadapan tekanan yang melampau.

Pastinya, semua orang mempunyai risiko berhadapan kepada tekanan!

Kesan buruk akibat stres yang berpanjangan

Zaliza Aziz (bukan nama sebenar), 39, kian runsing. Apakan tidak, ketika di pejabat, beliau sering mendapat tekanan majikan yang menagih output terbaik bagi meningkatkan hasil jualan.

Separuh jiwa sudah diserahkan, malah Zaliza merasakan tenaga dan ideanya sudah habis 'diperah' untuk memberikan yang terbaik kepada syarikat. Malangnya, bosnya masih tidak berpuas hati. "Pernah saya diingatkan, jika jualan syarikat tidak meningkat, kemungkinan pekerja akan dikurangkan.

Masalahnya, saya dan rakan lain sudah buat yang terbaik, cuma keadaan semasa sekarang yang menyukarkan kami. "Bayangkan dengan keadaan ekonomi yang merudum, semua orang mahu berjimat.

Datang pula musim virus, seperti Covid-19, banyak kekangan yang menyekat kami untuk ke luar negara," luah eksekutif pemasaran itu. Bukan setakat dilema dirinya di tempat kerja, kongsi Zaliza, syarikat suaminya juga terkesan dengan keadaan semasa apabila terpaksa ditutup selepas tampuk kepimpinan politik berubah.

Suaminya kini sedang sibuk mencari peluang pekerjaan lain, manakala dua anak kecilnya sudah dihantar kepada ibu bapanya di kampung sementara kehidupan mereka kembali stabil. "Apa yang dapat saya katakan tentang diri ini sekarang, saya sememangnya sedang stres!

Keadaan sekeliling menambahkan lagi tekanan kepada saya," ceritanya. Ya, keadaan diri dan persekitaran kehidupan yang banyak ranjaunya terutama lewat kebelakangan ini sememangnya mengundang bebanan jika tidak ditangani sebaiknya. Apa yang pasti, ramai lagi berdepan drama hidup seperti Zaliza.

Mantan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Lee Boon Chye juga tidak menafikan hakikat berkenaan. Sempat berkongsi dengan Sinar Plus, beliau mengakui keadaan semasa seperti pergolakan politik dan penularan wabak Covid-19 misalnya antara penyebab ramai yang berhadapan tekanan.

DR Lee Boon Chye

Ujarnya, lebih memberi kesan apabila ekonomi khususnya sektor pelancongan dan peruncitan yang terkesan menambah kerisauan masyarakat kita khususnya tentang masa depan mereka dan negara. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan tekanan?

Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Teknologi Malaysia dalam artikel bertajuk Stres Dan Kesihatan berkongsi, tekanan ialah keadaan apabila seseorang itu mengalami ketidakstabilan sama ada fizikal ataupun mental dan ia berkaitan dengan cara hidup kita.

Pengasas kepada teori stres atau tekanan perasaan, Dr Hans Selye telah mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya. ‘Bebanan’ itu boleh wujud di dalam bentuk ancaman, cabaran ataupun apa-apa perubahan di dalam hidup seseorang yang memerlukan pengubahsuaian yang selari dengannya.

Menurut Dr Hans, ada tekanan perasaan yang baik atau positif yang mana dinamakan sebagai 'eustress' manakala yang yang buruk (negatif) pula dinamakan sebagai 'distress'.

Berbicara lanjut berhubung masalah ruang lingkup stres itu, Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail atau Dr Nurul berkongsi pandangannya.

DR Nurul Nadia Ismail

Dua punca

Apabila berbicara soal tekanan hidup, ia merupakan satu perkara yang berubah-ubah akibat interaksi yang berlaku antara diri seseorang itu dengan persekitarannya. “Di manakah seseorang itu berada dan apakah yang berlaku padanya merupakan persoalan yang begitu penting apabila bercakap mengenai tekanan.

"Secara umumnya, punca tekanan hidup boleh dibahagikan kepada dua iaitu kepada diri sendiri (personaliti) seseorang dan faktor persekitaran seperti sosial, keluarga, pekerjaan dan pembelajaran," kongsi Dr Nurul kepada Sinar Plus ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjelaskan tentang faktor personaliti seseorang, menurutnya, antara faktor merangsang rasa stres adalah mereka yang mudah risau dan tertekan, cepat baran dan individu yang mempunyai personaliti jenis A. Jenis A bermaksud individu itu sentiasa mengharapkan kesempurnaan dan jangkaan yang tinggi dalam kehidupan.

Berkemungkinan besar, secara perbandingannya kelompok itulah yang akan lebih mudah berasa tertekan, ujar beliau. “Sepatutnya faktor persekitaran perlulah kondusif. Sebagai contoh, apabila berada di tempat kerja, seseorang itu suka melakukan pekerjaannya, namun tidak mendapat sokongan daripada ketua.

Itu akan menyebabkan individu berkenaan mudah terdedah kepada tekanan. "Faktor pekerjaan antara punca tekanan apabila tidak mendapat sokongan, tiada kawan yang boleh dipercayai di tempat kerja, tidak menerima bayaran yang sewajarnya, berhadapan waktu kerja yang tidak menentu atau terlalu panjang seperti perlu bekerja enam hari seminggu, tetapi hanya menerima bayaran yang sangat minima," katanya.

Tidak terkecuali keadaan politik semasa kini yang agak merumitkan. Kebimbangan juga boleh menjadi punca tekanan kepada kebanyakan individu jika situasi tersebut berlarutan. “Keluarga dan masyarakat juga menjadi faktor kepada punca tekanan,” katanya.

Memberikan contoh, hubungan suami isteri yang sentiasa berantakan, berhadapan kesempitan kewangan, anak mahupun jiran bermasalah juga kongsinya akan meninggikan risiko seseorang itu menghadapi tekanan.

Risiko penyakit psikiatri

Berdepan tekanan yang keterlaluan akan menyebabkan seseorang itu berisiko untuk mengalami sindrom-sindrom dan penyakit psikiatri. Menurut Dr Nurul, tambahan pula jika seseorang itu mempunyai personaliti yang mudah risau dan perlu berhadapan tekanan hidup melampau dan berpanjangan tanpa sokongan sosial, ia boleh menyebabkan berlakunya kecelaruan fikiran.

Menarik perkongsiannya, sebelum seseorang itu benar-benar memenuhi kriteria sebagai seorang pesakit psikiatri, mereka selalunya akan bertindak secara melulu. "Tindakan melulu lazimnya dari segi kewangan, mereka akan membuat perbelanjaan yang bersifat membazir sehingga melibatkan bebanan hutang dan penggunaan kad kredit yang berlebihan.

“Akan tetapi, pada sama mereka akan mengalami tekanan emosi dan menyebabkannya mudah untuk menjadi marah, memberontak. Keadaan tersebut sudah pasti akan menjejaskan pekerjaan, pembelajaran dan hubungan sesama manusia termasuk keluarga,” terang Dr Nurul.

Secara kumulatifnya, keadaan tersebut akan bertambah kepada satu masalah lain yang meninggikan lagi tekanan. Ungkap Dr Nurul, tekanan yang tidak diurus secara baik dan rasional akan menyebabkan seseorang itu lebih mudah mendapat serangan dan kecelaruan panik.

“Keadaan sedemikian boleh berlaku jika seseorang itu mempunyai faktor genetik dan mempunyai sokongan sosial yang lemah,” katanya. Selain impak terhadap mental, kongsi Dr Nurul lagi, tekanan hidup yang berterusan dan tidak diuruskan dengan baik juga mendedahkan risiko kepada fizikal seseorang itu mendapat penyakit-penyakit merbahaya.

"Mereka mudah mendapat tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit-penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung," katanya. Kajian juga mendapati, tekanan melampau tanpa bernoktah akan mendatangkan simptom fizikal seperti sakit kepala yang berterusan, mudah letih, gangguan pada tidur dan pemakanan, kurang daya tumpuan serta kesan kognitif seperti lambat dan sukar untuk membuat keputusan atau pertimbangan.

Teknik mengawal emosi

Apakah aspek kawalan emosi apabila berhadapan tekanan yang melampau? Dr Nadia menjelaskan ia merupakan satu proses. “Apabila bercakap mengenai proses, ia memerlukan masa dan mempelajari teknik kawalan yang betul. Ada hari akan menjadi dan ada hari yang tidak menjadi.

"Apapun perlu fokus kepada proses tersebut supaya dapat mengawal emosi dengan lebih baik. Keadaan ini membawa maksud mereka perlu sentiasa berada dalam keadaan tidak terbawa-bawa dengan emosi,” katanya. Terdapat teknik lain yang selalu diajar kepada pesakit semasa sesi konsultasi dan boleh diamalkan.

Berhenti dahulu sebelum bertindak di atas emosi dengan mengira satu hingga 10. Ujar Dr Nurul, teknik berkenaan bertujuan untuk memastikan seseorang itu tidak bertindak secara melulu berdasarkan emosi yang dirasanya pada ketika itu.

Sebagai contoh, apabila merasa marah apabila melihat atau mendengar sesuatu perkara yang tidak disangka, mereka yang tertekan akan terus bereaksi dengan menjerit atau memarahi seseorang yang menyampaikan berita tersebut.

“Namun begitu, jika individu berkenaan berhenti dahulu dalam pengiraan 10 saat, maka emosi marahnya berada pada tahap yang lebih terkawal. "Oleh itu, tindakannya akan lebih rasional dan tidak mengikut perasaan dan emosi semata-mata,” jelasnya lagi.

Berkongsi kaedah lain yang boleh diamalkan, Dr Nurul berkata, antara yang popular ialah teknik pernafasan relaksasi yang dalam. “Seseorang itu perlu menarik nafas dengan sedalam-dalamnya. Berhenti seketika dan hembuskannya. Ia perlu dilakukan dalam kiraan empat atau lima kali secara berkala dalam sehari,” kata Dr Nurul yang menyifatkan teknik berkenaan telah dibuktikan dalam kajian saintifik antara teknik psikologi yang paling berkesan dalam memberikan ketenangan kepada seseorang.

Kepada kaedah terbaik untuk mengelak diri daripada berada dalam zon tekanan hidup, berikut merupakan perkongsian dari Dr Nurul.

1. Kenali kekuatan dan kelemahan diri. Dalam masa yang sama, carilah kekuatan dan berusaha membantu diri agar berupaya bertindak secara optimum apabila berhadapan situasi sukar.

2. Mempunyai sifat diri yang fleksibel dan tidak terlalu rigid kerana kehidupan merupakan satu perubahan. Jangan terlalu berfikir tentang masalah-masalah yang mendatang sehingga mengabaikan aspek positif perubahan tersebut.

3. Menjauhi perhubungan yang bersifat toksik dan tidak memberangsangkan sehingga menjejaskan emosi, fikiran dan fizikal. Sentiasa bersedia dan merancang untuk keluar dari persekitaran yang memberi tekanan itu.

Tingkat potensi diri, namun jangan berlebihan

TEKANAN hidup tidak hanya berkisar mengenai keburukan semata-mata. Stres juga sebenarnya penting dan diperlukan untuk meningkatkan potensi diri bagi mencapai sesuatu yang diimpikan.

Itu kongsi Pakar Psikologi Klinikal, Jabatan Psikologi, Kuliyyah Ilmu Pengetahuan Islam dan Ilmu Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,

NIENA Najwa Mohd Rashid

"Keadaan tersebut (tekanan) sebenarnya dapat dilihat daripada aspek positif dan negatif. Tekanan misalnya yang akan mendorong kita untuk bekerja dengan lebih kuat. Impak baiknya akan terkesan kepada diri sendiri, keluarga dan orang sekeliling.

"Bagaimanapun tekanan yang melampau mendorong seseorang itu akan lebih agresif dan boleh bertindak secara luar jangkaan apabila seseorang itu sudah tidak mampu mengawal dirinya sendiri," kata Niena ketika dihubungi Sinar Plus baru-baru ini.

Tekanan yang sama, namun penerimaan seseorang yang berbeza memberi kesan dari segi pengurusan tekanan tersebut. “Dalam konteks psikologi, apabila seseorang itu sudah didiagnos berhadapan tekanan hidup yang melampau, perkara paling penting sekali adalah mereka perlu mengambil ubat yang telah diberikan oleh doktor.

“Bercakap mengenai individu yang sudah disahkan menghadapi tekanan hidup yang melampau dan mengganggu fungsi asalnya, sokongan moral perlulah diberikan dan tidak meletakkan pengharapan yang tinggi kepada seseorang,” ujar Niena.

INDIVIDU yang berhadapan tekanan melampau memerlukan bantuan sokongan daripada aspek psikologi. Foto: UNSPLASH DAN FREEPIK

juga penting buat mereka yang diselubungi stres misalnya dengan melalui sesi terapi. Kongsi Niena, terapi akan diberikan bergantung kepada keadaan pesakit dan penglibatan kes yang menyebabkan seseorang itu stres.

"Antara yang terbaik adalah terapi perilaku kognitif. “Pada peringkat permulaan krisis tekanan, ia membuatkan individu itu sukar untuk menghadapinya.

Lama-kelamaan akhirnya individu itu dapat berhadapan dengan situasi tersebut bergantung kemampuannya menguruskan tekanan,” jelas Niena.

ANEKDOT

TANDA-TANDA stres :

1) Fizikal

- Gementar dan berpeluh

- Rasa seram sejuk

- Tangan dan kaki rasa sejuk

- Sakit kepala atau berasa mual

- Bernafas laju dan mulut menjadi kering

- Kerap buang air kecil dan air besar

- Kurang selera makan

- Mudah dapat serangan penyakit seperti asma, sakit-sakit badan, gatal-gatal, cepat letih dan berlaku masalah penghadaman dan kurang minat melakukan hubungan seksual

2) Psikologikal

- Kebimbangan

- Keliru dan kurang daya tumpuan

- Sukar kawalan diri

- Perubahan emosi seperti tekanan perasaan, kekecewaan, rasa tidak berdaya, kurang sabar dan cepat marah.

3) Gangguan fikiran

- Sukar membuat keputusan

- Kurang minat terhadap aktiviti harian

- Tidak merasa tercabar terhadap situasi yang sukar

- Pemikiran positif terganggu disebabkan

- Sering berfikiran negatif

- Kurang memberi perhatian

- Hilang keyakinan diri

- Hilang tumpuan

- Penurunan kekuatan mental dalam menghadapi perasaan bingung, takut, kecewa dan cepat marah

4) Tingkah laku

- Bercakap dengan cepat dan kuat

- Sering menguap

- Mudah tersinggung

- Terlalu bergantung kepada orang lain

- Suka memberi komen dan kritik orang lain

- Boleh bertindak ganas

- Bertindak secara tidak logik,keterlaluan dan terlalu emosi

- Mudah lupa dan selalu membuat kesilapan

- Kurang produktiviti kerja dan selalu menidakkan keupayaan diri sendiri

Sumber: myhealth.gov.my

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca