ANDA MUSYKIL, DOKTOR JAWAB

SOALAN 1:

DOKTOR, setakat mana bahayanya kanser serviks? Untuk pengetahuan doktor, adik saya merupakan salah seorang penghidapnya. Saya ingin bertanya, apakah risiko bakal didepaninya sekiranya beliau mengandung?

KAKAK PRIHATIN, AINI AHMAD, KAJANG SELANGOR

Jawapan: Puan, kanser serviks adalah kanser keempat paling tinggi menyerang wanita di Malaysia. Kanser payudara pula merupakan kanser yang berada di tangga pertama.

Kanser usus besar (kolorektum) pula kanser kedua paling tinggi, manakala kanser paru-paru merupakan kanser ketiga tertinggi.

Ramai yang tertanya, adakah pesakit kanser serviks boleh hamil?

Ya, boleh. Pesakit kanser serviks boleh mengandung kerana ovari masih boleh berfungsi seperti biasa. Proses mengandung juga boleh berlaku.

Bagaimanapun, sekiranya ibu hamil dikesan menghidap kanser serviks, keadaan itu boleh menyebabkan potensi ‘mengeluarkan’ bayi lebih awal biarpun si kecil itu belum matang. Hal itu bagi mengelakkan risiko sekiranya ibu perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

Selalunya ibu yang menghidap kanser serviks tidak mampu melahirkan anak secara normal. Proses secara pembedahan dilakukan.

Terdapat risiko kepada bayi dalam kandungan sekiranya ibu menghidap kanser serviks. Itu menyebabkan ibu terbabit sukar untuk menjalani rawatan sekiranya bayi masih dalam kandungan.

Oleh itu, apabila tempoh bayi dalam kandungan sudah memasuki 36 minggu atau tempoh matang, bayi akan diberi ubat matangkan paru-paru.

Setelah bayi dilahirkan secara pembedahan, baharulah ibu boleh menjalani rawatan yang disyorkan mengikut tahap kanser.

Diberi pilihan

Akan tetapi, sekiranya kandungan seseorang pesakit kanser serviks baharu mencecah tujuh atau lapan minggu, biasanya doktor memberi pilihan.

Ibu itu boleh memilih sama ada mahu meneruskan kehamilan atau menjalani rawatan, memandangkan risiko bahaya sekiranya rawatan diberikan semasa bayi dalam kandungan.

Selalunya, ibu akan memilih meneruskan kehamilan dan menjalani rawatan selepas melahirkan.

Saya ingin mengambil kesempatan ini menasihati wanita yang terlalu kurang atau belum melakukan saringan kanser serviks.

Mungkin faktor malu menyebabkan mereka enggan membuat saringan pap smear kerana beranggapan bahawa doktor akan memeriksa bahagian yang tidak sepatutnya.

Bagi saya, bagi menjaga kesihatan wanita, beri peluang untuk pakar membuat pemeriksaan kerana ia mampu menyelamatkan diri dan keluarga anda.

Sesetengah wanita menganggap melakukan saringan adalah sesuatu yang menyakitkan, maka mereka enggan berbuat demikian.

Bagaimanapun, sebenarnya proses tersebut hanya mengambil masa singkat untuk satu sesi saringan.

Tidak perlu guna pencuci alat intim

SOALAN 2:

Iklan

Bagaimana wanita boleh mengetahui bahawa dirinya menghidap kanser serviks? Doktor, apakah langkah pencegahan dari segi kebersihan yang boleh diambil? Satu lagi persoalan saya, benarkah hubungan intim antara punca kanser tersebut?

– MAHU SIHAT, ANNE JOSEPH, KUALA LUMPUR

Jawapan: Puan, sebagai wanita sentiasalah memeriksa sekiranya terdapat kewujudan bendalir, pendarahan atau tompok darah yang keluar dari bahagian alat sulit setiap hari.

Selain cecair daripada vagina yang tidak normal, pendarahan selepas hubungan seks dan pap smear boleh menunjukkan bahawa kita mempunyai kanser serviks. Menjaga alat kelamin dengan bersih, sihat, bersenam secara teratur dan berhenti merokok untuk mencegah kanser serviks.

Sekiranya berlaku benjolan atau kewujudan cecair abnormal, rujuk doktor dengan segera.

Pastikan bahagian sulit dicuci dengan bersih tanpa menggunakan sebarang cecair pencuci atau sabun tertentu yang boleh mengakibatkan kemudaratan sehingga ke bahagian dalaman faraj.

Cuci di bahagian luar alat sulit secara bersih setiap hari sudah memadai tanpa sebarang pencuci tambahan.

Mencuci dengan kasar juga tidak digalakkan kerana bahagian tersebut adalah sensitif untuk menggunakan peralatan mencuci, sebarang serbuk atau pencuci tambahan.

Iklan

Puan, antara faktor kanser serviks ialah melalui hubungan kelamin yang berisiko. Bagi sesetengah wanita yang masih muda, aktiviti seksual yang kerap juga menyebabkan risiko berlakunya kanser serviks.

Dalam pada itu, hubungan kelamin dengan banyak pasangan juga menjadi salah satu punca kepada penyakit itu.

PROFIL
Dr R June George
Pakar Obstetrik dan Ginekologi
Hospital Pantai Sungai Petani, Kedah

ANEKDOT
Apakah kanser serviks?
– Kanser pangkal rahim
– Serviks adalah bahagian pangkal atau bawah rahim yang bersambung dengan vagina.
– Ia penyakit yang mana sel-sel di serviks membiak secara luar biasa.
– Boleh terbahagi kepada:
1) Peringkat awal
– Berlaku di sekitar serviks

2) Peringkat lewat
– Merebak ke tisu-tisu berhampiran atau organ tubuh yang lain atau ‘malignant’ seperti paru-paru melalui sistem aliran darah.

Sumber: myhealth.gov.my

Saranan bagi mengelakkan risiko kanser serviks:
1) Amalkan gaya hidup sihat dengan cara senaman. Memadai berjalan kaki setiap kira-kira 20 atau 30 minit sehari secara konsisten.
2) Amal pemakanan sihat. Banyakkan sayur dan buah-buahan dalam menu.
3) Elakkan merokok atau asap rokok.
4) Amalkan aktiviti seksual secara sihat. Elakkan bertukar-tukar pasangan.
5) Jalankan saringan pap smear secara konsisten.
6) Ambil vaksin virus papiloma manusia (HPV).