ROZANA AHAMAD, 51, dikesan mempunyai masalah hipertensi atau darah tinggi ketika mengandungkan hamil anak bongsunya kira-kira 20 tahun lalu.

Situasi itu membuatkan Rozana dinasihatkan mengambil ubat-ubatkan seperti yang disyorkan. Pada masa sama, beliau diwajibkan menghadiri sesi temujanji bersama doktor pada setiap bulan.

“Alhamdulillah, meskipun kali pertama disahkan menghidap masalah darah tinggi ketika hamil, hal itu masih boleh dikawal. Syukur, anak saya juga selamat dilahirkan,” katanya kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.

Sememangnya, hipertensi dalam kalangan ibu hamil kerap berlaku dan sukar untuk dielakkan.

Menerusi laporan laman web perubatan antarabangsa, escardio.org, penyakit berkenaan merupakan masalah kesihatan yang terjadi dalam kalangan 25 hingga 40 peratus penduduk dunia.

“Hipertensi adalah gangguan perubatan yang paling biasa semasa kehamilan dan ia boleh terjadi kepada wanita tanpa mengira usia,” kata laman web berkenaan yang memetik E-Journal Of CardiologycPractice (Volume 17).

Satu penyelidikan terbaharu di Amerika Syarikat pula menunjukkan, jumlah wanita dengan hipertensi (kehamilan selama 20 minggu pertama) meningkat sejak empat dekad lalu, menurut penelitian Journal American Heart Association Hypertension.

Sementara laman web perubatan tempatan, MyHealth pula berkata, hipertensi terjadi dalam kalangan 1 hingga 5 peratus wanita hamil, manakala hipertensi akibat mengandung terjadi dalam kalangan 5 hingga 10 peratus wanita hamil. Peratusan itu mungkin lebih tinggi bagi penduduk Asia disebabkan faktor genetik.

Bagi memperincikan lebih lanjut, SinarPlus mendapatkan komentar Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kepala Batas, Kedah, Dr Siti Samihah Mohd Shukri.

Dr Siti Samihah.

Ujar Dr Samihah, masalah hipertensi telah menjadi penyebab utama dalam peningkatan kes kematian ibu dalam tempoh mengandung di negara ini.

Bagaimana angka itu boleh mencanak naik meskipun tiada statistik khusus yang dikeluarkan? Jawapannya cukup mudah, kata beliau.

Lazimnya, keadaan itu berlaku disebabkan pola pemakanan kurang memberangsangkan, tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat dan berdepan dengan masalah obesiti.

Kata pegawai perubatan itu lagi, seseorang diklasifikasikan menghidap darah tinggi apabila bacaan tekanan darah mencapai atau melebihi 140  milimeter merkuri (mmHg) sistolik/90mmg diastolik.

Hipertensi dalam kalangan wanita mengandung pula didefinisikan sebagai penyakit yang berlaku pada usia kandungan 20 minggu dan ke atas.

Berikut garis panduan antarabangsa tentang masalah hipertensi ketika mengandung yang diklasifikasikan mengikut beberapa kategori yang berbeza iaitu:

i) Seseorang wanita disimpulkan menghidap hipertensi kronik sebelum usia kandungannya mencapai 20 minggu dan pada masa sama, tidak mempunyai sejarah hipertensi sebelum hamil.

ii) Hipertensi kronik juga dikategorikan kepada wanita yang sedia ada mempunyai masalah hipertensi sebelum mengandung.

iii) Hipertensi Whitecoat iaitu merujuk kepada kenaikan tekanan darah hanya ketika berada di klinik melebihi 140/90mmHg, tetapi tekanan darah kembali normal ketika berada di rumah iaitu kurang daripada 135/85 mmHg.

Walaupun situasi sebegitu dikatakan tidak serius, tetapi perkara tersebut tidak boleh diambil ringan kerana 25 peratus pesakit yang mempunyai Hipertensi Whitecoat akhirnya mendapat penyakit darah tinggi ketika mengandung.

iv) Hipertensi ketika mengandung (gestational hypertension) iaitu kenaikan tekan darah melebihi 140/90 mmHg selepas 20 minggu kehamilan tanpa proteinuria (kebocoran buah pinggang) atau abnormaliti dalam bacaan komponen darah.

v) Praeklampsia iaitu masalah kesihatan yang kompleks yang melibatkan kenaikan tekanan darah dan protein di dalam air kencing atau tanda-tanda kerosakan organ lain.

Ia merupakan fasa awal sebelum ibu mengandung diserang penyakit eklampsia (sawan mengandung) dan boleh menyebabkan kematian ibu dan bayi di dalam kandungan.

Berdasarkan statistik sahih, preeclampsia merupakan penyebab kepada lebih 500,000 kes kematian bayi dan lebih 70,000 kes kematian ibu di seluruh dunia.

Pengawasan

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Changlun, Kedah, Dr Nur Atikah Che Elliaziz berkata, bukan semua wanita hamil yang menghidap darah tinggi akan diberikan ubat.

Dr Nur Atikah.

Sebenarnya, kebanyakan pesakit yang diberikan ubat untuk menurunkan tekanan darah terdiri daripada pesakit yang mengalami tekanan darah melebihi atau sama dengan 150/100 mmHg.

Rawatan ubat-ubatan berkenaan menyasarkan supaya tekanan darah turun sehingga 130 ke 140/90 ke 100 mmHg. Antara contoh ubat darah tinggi ialah methyldopa, nifedipine dan labetolol. Bagaimanapun, setiap ibu hamil berbeza keperluannya dan perlu mendapat preskripsi daripada doktor, kata Dr Nur Atikah.

“Doktor yang merawat ibu hamil akan memantau pesakit-pesakit dengan lebih rapi kerana khuatir mereka berkemungkinan mengalami komplikasi sawan mengandung,” katanya lagi.

Berikut adalah perician mengenai ubat-ubatan darah tinggi untuk ibu hamil:

i) Methyldopa: Biasanya diberikan kepada pesakit hamil yang memiliki darah tinggi, lebih-lebih lagi jika beliau merupakan pesakit darah tinggi yang memerlukan rawatan pada awal kehamilan. Ubat itu menjadi pilihan utama kerana pengambilannya dibuktikan selamat.

ii) Labetalol: Selalunya merupakan pilihan kedua yang ada selepas methyldopa.

iii) Nifedipine: Ubat tersebut biasanya diberikan kepada ibu hamil, sebagai tambahan kepada ubat pertama yang telah diberikan kepada pesakit yang masih lagi tidak mencapai tekanan darah sasaran (biarpun ubat pertama telah diberikan menggunakan dos yang maksimum).

“Apabila ubat-ubat yang dimakan secara oral tidak berkesan, ada ibu hamil yang mengalami krisis tekanan darah tinggi yang menyebabkan bacaan tekanan darah tinggi mencanak.

“Krisis berkenaan merupakan kes kecemasan dan tekanan darah tinggi mesti diturunkan dengan segera supaya ibu hamil tidak terkena eklampsia iaitu suatu komplikasi yang amat digeruni,” tambah Dr Atikah.

Pun demikian, masalah berkenaan dapat diatasi dengan memberikan ubat darah tinggi melalui intravena iaitu melalui saluran darah.

“Ada beberapa jenis ubat darah tinggi yang digunakan untuk ‘krisis’ itu antaranya, hydralazine dan labetolol. Biasanya rawatan intravena memerlukan pemantauan yang rapi daripada pihak petugas kesihatan. Perkara berkenaan sangat penting untuk menjaga nyawa ibu dan kandungan,” tuturnya.

Apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko komplikasi? Menurut sebuah lagi laman perubatan antarabangsa, https://www.mayoclinic.org/, menjaga diri sendiri adalah cara pendekatan paling efisien.

“Ibu hamil perlu patuh dengan semua temujanji yang telah ditetapkan dan jika berlaku apa-apa masalah, ibu hamil perlu kerap tampil berjumpa doktor,” katanya.

Antara panduan lain yang digariskan adalah seperti berikut:

i) Ambil ubat tekanan darah seperti yang ditetapkan.

ii) Kekal aktif. Dapatkan nasihat doktor tentang aktiviti fizikal yang sesuai untuk wanita mengandung.

iii) Makan makanan yang sihat dan berbincang dengan pakar pemakanan sekiranya anda memerlukan bantuan tambahan.

iv) Ketahui apa yang dilarang. Elakkan merokok, minum minuman beralkohol dan dadah terlarang. Sekiranya bercadang mengambil apa-apa ubat, dapatkan pandangan doktor terlebih dahulu.

Iklan

Dalam pada itu, ujar laman web berkenaan, para penyelidik dunia terus mengkaji cara untuk mencegah preeclampsia, tetapi setakat ini, belum ada strategi yang jelas.

“Sekiranya ibu mengandung mengalami praeklampsia dengan ciri-ciri yang teruk, mereka mungkin diberi ubat semasa bersalin untuk membantu mencegah kejang,” katanya.

Adakah mereka boleh menyusukan bayi saya? Menyusu bayi digalakkan untuk kebanyakan wanita yang mempunyai tekanan darah tinggi.

“Bagaimanapun, bincang penyesuaian ubat berkenaan dengan pakar sebelum bayi anda dilahirkan, kadang-kadang ubat tekanan darah alternatif disyorkan,” kata laman web perubatan itu.

Darah tinggi boleh berakhir dengan kematian ibu, bayi 

PEGAWAI Perubatan Klinik Kesihatan Kodiang, Kedah, Dr Mohamad Suaidi Mohamad Sazali pula menyifatkan darah tinggi yang tidak dirawat atau dikawal dengan baik boleh memberi pelbagai impak dan komplikasi kepada kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan.

Dr Mohamad Suaidi.

Katanya, adalah penting untuk ibu yang mengandung peka dengan tanda-tanda awal praeklamspsia seperti loya, muntah, sakit kepala, sakit perut (pedih ulu hati), kenaikan tekanan darah tinggi yang melampau.

“Ibu-ibu perlu memaklumkan kepada doktor kerana praeklampsia yang tidak dijaga atau dikawal dengan baik boleh menyebabkan eklampsia. Bukan itu sahaja, darah tinggi yang tidak terkawal boleh menyebabkan uri lekang secara pramatang (abruption placentae) yang boleh meyebabkan kematian kepada ibu dan juga bayi disebabkan oleh pendarahan,” maklum beliau kepada SinarPlus.

Lebih membimbangkan, hipertensi dalam kalangan wanita hamil juga akan menyebabkan kelahiran pramatang selain boleh menyebabkan proses kelahiran berakhir dengan pembedahan caesar. Kelahiran biasa akan memberi risiko kepada kesihatan ibu dan bayi, katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Suaidi berkata, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal semasa hamil boleh menyebabkan wanita hamil mengalami kerosakan pada organ penting iaitu otak, jantung, paru-paru, ginjal dan hati.

Darah tinggi ketika mengandung juga boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kepada janin atau bayi dalam kandungan. Antaranya, tumbesaran bayi terbantut dalam kandungan (intrauterine growth retardiation)

“Perkara itu berlaku kerana tekanan darah tinggi akan menyebabkan kurangnya oksigen sampai ke bayi kerana berlaku komplikasi pada pembuluh darah uri. Ia juga boleh menjadi punca kematian bayi dalam kandungan,” jelas Dr Suaidi.

Oleh sebab itu, wanita hamil perlu melakukan pemeriksaan kehamilan secara berkala bersama pakar.

ANEKDOT

HASIL kajian yang dijalankan, praeklampsia boleh berlaku kepada golongan berisiko tinggi dan berisiko sederhana.

Berikut adalah rumusan kumpulan berisiko yang digariskan oleh National Institute for Health and Care Excellence (NICE) yang berpusat di United Kingdom.

Iklan

Berisiko tinggi:

i) Sejarah hipertensi semasa mengandung ketika kandungan terdahulu.

ii) Penyakit buah pinggang kronik.

iii) Penyakit autoimun lupus eritematosus sistemik atau sindrom antiphospholipid

iv) Kencing manis jenis 1 dan 2.

v) Pengidap penyakit hipertensi kronik sebelum mengandung.

Berisiko sederhana:

i) Kehamilan pertama.

ii) Indeks jisim tubuh melebihi 35 kilogram per meter persegi.

iii) Kehamilan kembar.

iv) Umur ibu melebihi 40 tahun.

v) Mempunyai sejarah keluarga praeklampsia.

vi) Jarak kehamilan melebihi 10 tahun.