Sakit kepala boleh jadi serius, ini 6 tanda yang perlu pemeriksaan lanjut
PADA Mac 2015, pelakon tanah air, Nazim Othman, 36, pernah mengejutkan ramai apabila mendedahkan dirinya mengalami ketumbuhan otak.
Semuanya bermula apabila kepalanya berasa sakit yang bukan kepalang. Ujar Nazim, ketumbuhan pada otaknya terletak di antara bahagian mata kanan dan di atas hidung kanannya.
Bagaimanapun, beliau menafikan dirinya menghidap kanser.
Apa yang dimaksudkan dengan pernyataan bekas pramugara itu? Untuk mendapatkan pencerahan, SinarPlus mewawancara Perunding Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hafizah Zaharah Ahmad.
Jelas Dr Hafizah, ketumbuhan otak atau tumor otak berlaku apabila sel-sel yang tidak normal tumbuh di luar kawalan di dalam struktur otak.
"Ia boleh bermula daripada sel otak itu sendiri (dikenali sebagai ketumbuhan otak primer) atau sel kanser daripada bahagian tubuh lain, contohnya kanser payudara atau kanser paru-paru yang merebak ke bahagian otak (ketumbuhan sekunder)," ujarnya.
Kongsi pakar berkenaan, jenis ketumbuhan otak primer dibahagikan kepada dua jenis iaitu:
i) Benign: Proses pertumbuhan yang perlahan dan tidak merebak ke anggota badan lain.
ii) Malignan: Proses pertumbuhan pantas dan boleh menyerang tisu berhampiran.
"Sebenarnya, kemungkinan ketumbuhan benign berulang selepas pembedahan pembuangannya amat rendah. Namun, ketumbuhan malignan pula mempunyai risiko untuk berulang kembali setelah menjalani pembedahan,” beritahu beliau.
Ujar Dr Hafizah, gejala yang dialami oleh pesakit yang mengalami ketumbuhan otak lazimnya berlaku akibat tekanan di dalam otak yang meningkat kerana sel otak yang rosak.
"Kadangkala boleh juga berlaku disebabkan oleh sel otak yang mati yang berpunca daripada ketumbuhan otak tersebut," jelasnya sambil memberitahu antara gejala yang kerap dialami pesakit kepada penyakit menakutkan itu adalah sakit kepala dan sawan.
Selain itu, terdapat beberapa simptom lain yang boleh dikaitkan.
Antaranya seseorang akan loya, muntah, cepat letih, perubahan pada personaliti atau ingatan, lemah, kebas separuh badan, gangguan penglihatan atau pendengaran.
Selain itu, pesakit juga boleh mengalami gangguan keseimbangan semasa berdiri mahupun untuk berjalan dan ketidakupayaan melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Pun demikian, jenis sakit kepala mempunyai beberapa keadaan yang perlu diberi perhatian, kata Dr Hafizah. Situasi itu merangkumi:
- Sakit kepala yang berlaku pada setiap pagi dan beransur-ansur kurang.
- Sakit kepala yang baru dialami oleh pesakit pada pertengahan usia atau pada usia yang sudah lanjut.
- Perubahan pada corak atau keterukan sakit kepala kronik (contohnya, sakit kepala yang semakin kerap atau kronik)
- Sakit kepala yang semakin teruk apabila batuk, bersin atau berlaku pergerakan kepala.
- Sakit kepala yang diiringi dengan gejala lain seperti kebas atau lemah separuh badan.
- Sakit kepala secara tiba-tiba diikuti dengan muntah.
Memperincikan lebih lanjut mengenai masalah kesihatan itu, kata Dr Hafizah, terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan lagi risiko seseorang mendapat ketumbuhan otak.
Alasan paling ketara adalah pendedahan kepada radiasi dan sistem ketahanan badan seseorang yang rendah.
"Namun, pada kebanyakan waktu, punca ketumbuhan otak adalah tidak diketahui," katanya.
Berikut adalah spesifikasi lain yang mungkin mempengaruhi kondisi penyakit berkenaan:
- Usia: Kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak atau orang dewasa yang tua, tetapi hakikatnya ketumbuhan otak boleh juga berlaku kepada sesiapa tanpa mengira usia.
- Jantina: Secara umumnya, lebih ramai golongan lelaki menghidapnya. Namun, untuk jenis ketumbuhan otak yang spesifik seperti meningioma, golongan wanita lebih kerap mengalaminya.
- Pekerjaan: Terdedah kepada bahan kimia atau racun serangga.
- Diet: Sebatian N-nitroso boleh dijumpai di dalam daging yang telah diproses. Pengambilan kerap daging yang diproses, ditambah kurangnya pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh meningkatkan faktor risiko ketumbuhan otak glioma
- Genetik: Antara 1 hingga 5 peratus ketumbuhan otak adalah berkaitan dengan sindrom genetik seperti neurofibromatosis type 1, neurofibromatosis type 2, von Hippel-Lindau syndrome, Li-Fraumeni syndrome, familial adenomatous polyposis dan basal cell nevus syndrome.
Kesan serius
Sementara itu, Pakar Onkologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Marfu’ah Nik Eezamuddeen turut menjawab beberapa persoalan yang berkaitan.
Jelas beliau, sakit kepala yang disebabkan tumor akan semakin menjadi-jadi apabila ia semakin membesar. "Ini berlaku kerana terdapat peningkatan tekanan dalam otak.
Oleh yang demikian, saya sarankan, jika sakit kepala pesakit bertambah teruk dan berlanjutan, perlu segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut," beritahunya.
Kepada SinarPlus, pakar berkenaan memaklumkan, kekerapan tumor otak primer adalah rendah dalam kalangan dewasa.
"Tumor ini lebih kerap dilihat pada peringkat umur 0 hingga 14 tahun. Ia dibuktikan dengan jelas dalam Laporan Pendaftaran Barah Nasional Malaysia 2012 hingga 2016,” ujarnya.
Pada peringkat antarabangsa pula, kejadian tumor otak primer juga memaparkan graf yang rendah.
Mengambil kira kes di Amerika Syarikat, masalah kesihatan itu dinisbahkan sebanyak 46 daripada 100,000 penduduk setiap tahun.
Namun, hanya 15 bagi 100,000 orang sahaja daripada mereka mengalami ketumbuhan otak primer. Sementara di United Kingdom pula, statistik tahunan untuk kes ketumbuhan otak adalah pada kadar tujuh bagi 100,000 penduduk.
Sementara, nisbah kebarangkalian untuk mendapat ketumbuhan otak dalam golongan lelaki adalah lebih berbanding wanita.
Rawatan
Mengulas lanjut, kata Dr Marfu’ah, tumor otak sekiranya tidak dirawat segera boleh membawa kepada komplikasi yang serius.
"Semakin besar tumor, semakin tinggi tekanan di dalam otak. Kesannya, pesakit boleh mendapat lebih banyak gejala serius termasuklah sawan dan koma," jelasnya.
Mengupas lebih mendalam mengenai rawatan kepada penyakit berbahaya itu pula, pakar itu berkata, terdapat banyak cabangnya.
“Antara modaliti rawatan tumor otak adalah melalui pembedahan (termasuk radiosurgeri), radioterapi dan kimoterapi.
“Modaliti rawatan ini boleh digunakan secara kombinasi atau secara sendiri. Ini bergantung kepada jenis tumor itu sama ada primer atau sekunder dan benigna atau malignan,” tambah beliau.
Dalam kebanyakan kes, kongsi Dr Marfu’ah, tumor otak primer menjalani rawatan pembedahan sebagai rawatan utama sekiranya ketumbuhan itu dapat dikeluarkan sepenuhnya tanpa mengakibatkan kemudaratan pada kawasan otak yang berhampiran.
"Sekiranya tumor tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya, rawatan radioterapi diberikan untuk meningkatkan keberkesanan pembedahan dan mengurangkan risiko tumor berulang.
"Terkini, rawatan radiosurgeri yang dikenali dengan pisau gamma juga telah diperkenalkan. Jadi, pesakit tidak perlu khuatir mengenai komplikasi pembedahan terbuka," jelasnya.
Bagi tumor otak sekunder pula, matlamat rawatan adalah untuk memberi keselesaan kepada pesakit dengan mengurangkan gejala dan memberi kehidupan yang berkualiti.
"Ia akan dirawat dengan steroid, radioterapi atau adakalanya radiosurgeri atau pembedahan. Oleh itu, bagi memastikan kesihatan sentiasa terjamin dan mencegah sel kanser menjadi aktif, amalkan pengambilan diet seimbang serta gaya hidup sihat.
Pada masa sama, pesan pakar itu, jangan lupa bersenam, kurangkan atau urus tekanan dengan bijak selain tidak merokok.
"Ingat, pengesanan awal kanser dan pelan rawatan yang efektif dengan rawatan susulan membantu merawat barah dengan lebih berkesan," ungkapnya.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang