WALAUPUN Tahun Baharu Cina sudah diraikan dan hanya menanti sambutan Chap Goh Mei tidak lama lagi, penjualan buah Mandarin masih lagi meluas.

Sana sini orang masih menikmatinya. Pun demikian, terdapat satu persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat itu sama ada buah berkenaan mempunyai bahan pengawet atau sebaliknya.

Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim tampil di laman Facebook rasminya memberi pencerahan.

Baca juga Derita sakit usus dan SLE, hidup remaja ini berubah 360 darjah. Bantuan RM30,000 diperlukan untuk kos perubatan

“Benar, kulit limau Mandarin mengandungi bahan kimia sulfur dioksida (SO2). Bahan kimia SO2 ini digunakan sebagai pengawet (dalam bentuk gas atau garam terbitan) pada buah limau Mandarin bertujuan mengekalkan kesegaran dengan mengelakkan kulitnya berubah keperangan juga menghalang pertumbuhan kulat,” katanya.

Namun, ujar beliau, jumlah SO2 yang digunakan adalah sedikit iaitu tidak melebihi dari dos yang dibenarkan (30 mg/kg) oleh badan bertanggungjawab antarabangsa.

“SO2 dalam kuantiti yang sedikit ini pada kulit limau tidak akan mendatangkan bahaya kerana badan kita mampu untuk detoks secara semula jadi. Ia selamat, sebab itu dibenarkan sebagai pengawet pada makanan,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Fatimah berkata, disebabkan buah berkenaan dijual murah pada musim perayaan, limau dimakan juga mungkin berlebihan.

Justeru, tidak hairanlah jika ada individu yang berasa sakit tekak, batuk, sakit dada atau mengalami kesukaran untuk bernafas.

TEKNIK RENDAMAN

Sebenarnya, selain bahan kimia pengawet SO2 digunakan pada buah limau Mandarin, ia juga digunakan dalam buah kering seperti kismis, prune, juga dalam minuman berkarbonat dan beralkohol.

Apa-apa produk makanan yang mengandungi bahan kimia SO2 wajib meletakkannya pada label sebagai panduan untuk individu yang sensitif.

Ini kerana mereka (individu yang sangat sensitif) kepada SO2 terutamanya yang mempunyai penyakit asma berpotensi berhadapan dengan masalah pernafasan kronik.

Cuma biasanya pada kotak limau Mandarin, tiada dilabel penggunaan bahan kimia SO2 ini.

Maka, cara mudah untuk membuangnya adalah mencuci terlebih dahulu buah limau Mandarin dengan air sebelum dimakan.

Iklan

Ini kerana bahan kimia SO2 mudah larut air (H2O) membentuk bahan kimia asid sulfurus, sejenis asid lemah (SO2(g) + H2O(l) –> H2SO3(aq)), jelas pakar berkenaan.

Merendam seketika iaitu selama 10 minit dengan air garam atau baking soda diikuti dengan bilasan air bukan saja boleh membuang pengawet, malah saki baki racun perosak (pesticide) yang terdapat pada sayur atau buah lain juga dapat disingkirkan.

“Untuk individu yang kuat sistem daya tahan badannya, tiada masalah untuk kopek dan makan terus saja limau Mandarin ini. Di sinilah perlunya kita memerhati dan ambil tahu tindak balas badan sendiri terhadap apa juga jenis makanan yang dimakan.

“Ingat, tidak semestinya jika anda terkesan dengan SO2, orang lain juga akan mengalami kesan yang sama. Juga tidak semestinya anda yang tidak terkesan, menidakkan kesannya kepada individu sensitif lain. Usah pukul rata ya.

“Musim perayaan ini, berpada-padalah ya. Jika badan sudah mula memberikan maklumbalas, maka sedarlah. Ingat, apa-apa yang berlebihan boleh membawa mudarat!,” katanya.

Iklan

Serentak dengan itu, Dr Fatimah berkongsi beberapa fakta menarik mengenai bahan kimia semula jadi yang terdapat dalam buah limau Mandarin:

i) Rasa manis isi limau disumbangkan oleh gula ringkas semula jadi seperti fruktosa, glukosa dan sukrosa. Rasa masam pula disumbangkan oleh bahan kimia bersifat asid terutamanya asid sitrik. Rasa manis dan masam ini perlu seimbang untuk memberikan rasa limau yang sedap dinikmati.

ii) Isi limau Mandarin kaya dengan serat, protein dan pelbagai jenis vitamin (A, B, C, E) serta mineral (kalsium, magnesium, phosporus, potassium). Ia juga kaya dengan fitokimia bersifat antioksida seperti flavonoids dan phenolic acids.

iii) Warna oren kekuningan limau Mandarin adalah disumbangkan oleh bahan kimia pigmen beta-cryptoxanthin.

iv) Bau limau Mandarin adalah disebabkan oleh bahan kimia meruap seperti thymol, dimethylanthranilate, gamma-terpinene dan beta-pinene yang terbebas semasa kulitnya dikupas.