SEJAK kecil, Nur Intan Badriah Md Ghazali, 26, sangat fobia tatkala melihat badut. Baginya, tiada istilah comel atau kelakar pada ‘makhluk’ itu.

Ketakutannya agak luar biasa. Walaupun badut hanya muncul di kaca televisyen, gadis tersebut tidak mampu menahan rasa gentar sehingga terpaksa menukar siaran lain.
Adakalanya, jika gagal mengawal diri, beliau secara automatik akan lari bersembunyi, lalu menangis dalam tempoh yang agak lama.

“Sebenarnya, bukan saya seorang sahaja yang fobia melihat badut dalam keluarga, kakak dan anak saudara juga mengalami kemelut yang sama,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Ditanya mengapa beliau begitu takut dengan karakter sebegitu? Jawabnya, badut ialah individu yang berperwatakan palsu dan mempunyai senyuman yang menjengkelkan.

 

Baca juga: Fobia, cemas, takut melihat badut adalah satu penyakit mental. Atasinya dengan cara ini…

 

“Badut juga kelihatan sangat menakutkan dengan mekap yang keterlaluan. Apabila melihat mereka, ia bagaikan satu ancaman kerana saya ingin lari sejauh mungkin untuk menyelamatkan diri daripada ‘cengkaman’ mereka.

“Saya juga selalu membayangkan badut ini seolah-olah mahu mencederakan saya. Saya akan jadi panik, kaki saya kaku dan badan akan berpeluh-peluh,“ akuinya berterus terang.
Ujar gadis itu lagi, meskipun usianya semakin menginjak dewasa, kegerunannya masih lagi menebal.

“Ini cerita lima tahun lalu yang mana ketika itu saya mengunjungi sebuah pusat beli-belah. Tanpa saya sedari, saya melalui satu laluan dan sudut yang dipenuhi dengan badut-badut yang dipanggil untuk meraikan sebuah majlis keramaian.

Iklan

“Saya secara spontan menangis ketakutan apabila salah seorang badut menghampiri kononnya mahu bermesra dengan saya. Nasib baik kawan saya datang membantu dengan menegur badut berkenaan,“ katanya yang berdepan dengan situasi itu ketika berusia 21 tahun.

Seperkara lagi ujar Nurul Intan, skala kengeriannya terhadap badut juga bergantung kepada kostum dan solekan yang dikenakan.

TAHAP ketakutan seseorang terhadap badut bergantung kepada kostum dan solekan.

“Sebagai contoh, jika poster filem IT tidak mendatangkan apa-apa impak kepada mereka, namun tidak pada saya.

Iklan

“Saya rasa gambar badut itu begitu menyeramkan, membuatkan saya jadi tak keruan dan susah nak tidur malam, meskipun bayangan badut dalam filem itu hanya muncul dalam fikiran saya saja,“ maklumnya.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram