MASYARAKAT Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai petua dan herba tradisional yang menjadi amalan sejak turun-temurun.

Sejak dulu lagi, mana-mana ibu yang berpantang akan dilengkapi dengan pelbagai ramuan herba semula jadi untuk diambil bagi mengembalikan kesegaran tubuh mereka selepas melahirkan bayi.

Antara herba utama yang menjadi amalan dalam kalangan ibu terutama dalam kalangan masyarakat Melayu termasuklah manjakani, ketam uri, ubat periuk dan kacip Fatimah.

Namun sejauh manakah ia selamat untuk diambil?

Penyelidik Universiti UCSI, Penolong Prof Dr Eugenie Tan Sin Sing dan Penolong Prof Dr Normina Ahmad Bustami baru-baru ini menjalankan penyelidikan bertajuk Pengambilan Manjakani Semasa Hamil Dan Berpantang Oleh Para Ibu Di Malaysia bagi merungkai persoalan tersebut.

Menurut Dr Eugenie, penyelidikan tersebut telah dijalankan ke atas wanita Melayu yang mengamalkan pengambilan manjakani ketika hamil dan berpantang di Kuala Lumpur selama 100 hari.

“Kebanyakan rakyat Malaysia mengamalkan herba, tetapi pada masa sama angka yang tidak mengamalkan herba ini juga meningkat.

Hasil penyelidikan kami, 60 peratus ibu mengandung dan berpantang di Kuala Lumpur yang kami temui mengamalkan herba tradisional. Penyelidikan kami khusus untuk manjakani dan daripada angka itu, 26.6 peratus daripadanya mengamalkan manjakani. Ada juga ibu yang mengambil lebih daripada satu jenis herba,” katanya yang menjalankan penyelidikan di makmal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) UNIPEQ.

Menurutnya, herba yang berasal daripada akar-akar pokok atau dahan-dahan pokok yang secara semula jadi memang mengandungi logam berat, namun kandungannya amat rendah.

“Kami dapati risiko adalah rendah dalam kalangan pengamal manjakani ketika berpantang dan mengandung, mungkin disebabkan tempoh pengambilan yang sekejap iaitu beberapa bulan menyebabkan risiko kesihatan itu kami anggarkan berada pada tahap rendah.

“Bagaimanapun, semua ibu hamil perlu lebih berhati-hati dengan pemakanan ketika hamil dan berpantang serta perlu mendapatkan nasihat pakar sebelum mengambil apa-apa suplemen atau herba,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya herba-herba itu diamalkan untuk tempoh yang lebih panjang termasuk selepas tempoh berpantang tamat, pihaknya masih belum pasti tahap risiko terhadap tubuh manusia.

Iklan

(Baca juga: Manjakani bukan sejenis buah, tapi keradangan atau bengkak disebabkan telur yang disuntik serangga)

“Selepas berpantang nak teruskan pengambilan, itu kita kena buat kajian lain. Tempoh pengambilan itu sangat penting, sudah tentu jika pengambilannya untuk jangka masa yang panjang, risiko itu akan meningkat tapi penyelidikan ini kami hanya buat untuk manjakani.

“Sekiranya seorang ibu itu mengambil beberapa jenis herba, risiko itu akan meningkat juga kerana logam berat ini datang daripada herba diambil seperti manjakani, kacip fatimah dan sebagainya, jadi ia akan bertambah. Kalau hanya makan satu jenis dan dalam masa yang pendek, setakat ini kami masih boleh kata risiko kesihatan adalah rendah.

“Risiko akan meningkat tapi tahap risiko itu perlu dinilai kembali berdasarkan berapa banyak jenis pengambilannya, berapa kuantiti diambil dan berapa lama tempoh pengambilan. Setakat ini kami tidak menemui risiko tinggi dengan pengambilan manjakani, mungkin disebabkan tempoh pengambilan yang singkat ketika mengandung atau berpantang,” katanya.

Iklan

Ujar Dr Eugenie lagi, berdasarkan penyelidikan itu, pihaknya juga mendapati pengambilan herba tradisional dilihat tidak mempunyai kaitan dengan masalah jaundis atau kuning pada bayi. Ini memang banyak orang bimbang.

Setakat ini, melalui penyelidikan kami pengambilan herba manjakani didapati tiada kaitan dengan masalah bayi kuning. Apabila kami buat perbandingan antara ibu yang ambil herba manjakani dan yang tidak mengambil manjakani, kami dapati kes kekuningan pada bayi itu tidak begitu berbeza.

“Kami juga mendapati tiada laporan mengenai isu kesihatan bayi seperti badan lebih kecil, kepala lebih kecil dan sebagainya yang dikaitkan dengan pengambilan manjakani dalam kalangan ibu-ibu yang menyertai penyelidikan kami,” katanya.

Beliau menasihatkan mana-mana ibu yang mahu mengambil mana-mana herba mahupun ubat, perlu memastikan ia berdaftar dengan Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan bagi memastikan ia selamat diambil atau merujuk doktor masing-masing.

Selamatkah amal manjakani ketika hamil dan berpantang...
MANA-MANA ibu mengandung yang mahu mengambil herba perlu merujuk kepada doktor terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang risiko pada bayi dan ibu sendiri.

Sumber foto: Unsplash