Foto: Ihsan instagram @lisasurihani, kevinzahri.com, UNSPLASH dan SUMBER INTERNET

APABILA pelakon Lisa Surihani mendedahkan bahawa dirinya mengamalkan diet Intermittent Fasting (IF) atau puasa berkala yang menjadi faktor dirinya tampil langsing selepas melahirkan anak kedua, ramai yang begitu teruja dan ingin tahu.

Masakan tidak, berat badan Lisa turun sebanyak 11 kilogram dalam tempoh empat bulan selepas mempraktikkan teknik itu.

Sebenarnya, IF telah mula dimulakan terlebih dahulu oleh selebriti antarabangsa. Antara yang mengaku melaksanakan diet itu ialah Jennifer Aniston, Jennifer Lopez, Halle Berry, Hugh Jackman, Khloe Kardashian, Molly Sims, Chriss Pat, Jimmy Kemmel dan Beyonce.

Seperti kata bintang Friends, Jennifer kepada US Magazine: “Saya melakukan diet IF, jadi tiada makanan pada waktu pagi, saya melihat perubahan besar pada diri apabila berpuasa selama 16 jam.”

Rata-ratanya mengakui bahawa dengan IF, mereka boleh mengawal berat badan dan dapat mengelak daripada terkena penyakit berisiko seperti kanser dan jantung.

Ledakan IF juga berlaku di Indonesia. Ia bermula apabila ahli silap mata tersohor di Indonesia, Master Deddy Corbuzier mempopularkannya dengan nama lain Obsessive Corbuzier Diet.

DIET IF merujuk kepada cara pemakanan yang melarang pengambilan makanan pada waktu-waktu tertentu.

Satu penyelidikan yang dikeluarkan oleh Cell Metabolism mendokong kenyataan terbabit. Kajian itu antara lain telah merekrut 19 orang dewasa yang memiliki berat badan berlebihan, kadar gula darah, kadar kolesterol dan tekanan yang darah tinggi dengan meminta mereka mempraktikkan konsep diet IF selama tiga bulan.

Kesannya sungguh menakjubkan apabila responden bukan sahaja menunjukkan penurunan berat badan malah tahap kolesterol dan tekanan darah berada pada paras yang baik.

Apa itu IF? Menjawab pertanyaan itu, Pakar Kecergasan, Kevin Zahri berkata, diet itu merujuk kepada cara pemakanan yang melarang pengambilan makanan pada waktu-waktu tertentu.

Iklan

“Namun, ia berbeza dengan amalan puasa Ramadan, diet IF benarkan seseorang minum air kosong atau sumber yang tidak berkalori seperti kopi,” katanya dipetik melalui laman webnya, www.kevinzahri.com.

Dalam pada itu, Pengamal Perubatan Integratif merangkap Pakar Rujuk Nutrisi Perubatan dan Keseimbangan Hormon, Klinik Syifa Batu Pahat, Dr Siti Aniza Basir menyenaraikan kaedah terbaik diet puasa berkala. Di bawah diperincikan kaedah-kaedah itu:

DR Siti Aniza Basir
  1. Kaedah 5:2
  • Memerlukan lima hari makan dan dua hari berpuasa. Kaedah yang dikongsi berkenaan sesuai digunakan kepada mereka yang mahu berjinak-jinak dengan diet IF.
  1. Kaedah 12:12
  • Melibatkan 12 jam fasa berpuasa dan 12 jam fasa makan. Ia membantu individu baharu yang berhajat untuk memulakan IF dengan mudah dan tanpa gagal.
  1. Kaedah 14:10
  • Bagi pendekatan berkenaan pula, 14 jam fasa puasa dan 10 jam fasa makan diperlukan. Ia lebih kepada fasa advance bagi kumpulan 12:12.
  • Ia amat mudah diamalkan kerana seseorang hanya perlu lanjutkan sarapan selama dua jam.
  • Konsep berkenaan amat popular dalam kalangan mereka yang mengalami masalah gastrik seperti kembung, angin dan sebu.
  1. Kaedah 16:8
  • Memerlukan ‘tahap keimanan’ yang tinggi kerana 16  jam untuk fasa berpuasa dan lapan jam fasa untuk makan.

Kata Dr Siti Aniza, lagi banyak makanan diambil dan lebih lama waktu makan, maka lebih banyak insulin akan dirembes.

Iklan

“Insulin yang terlalu banyak sebenarnya tidak elok untuk tubuh kerana ia akan merangsang penyimpanan lemak berlebihan. Lemak berlebihan yang dimaksudkan ialah lemak organ atau visceral fat,” katanya.

Keadaan berkenaan akan berlaku jika IF 16:8 dilaksanakan. Dengan mengurangkan fasa makan, kadar insulin dan lemak jahat berkurang.

  1. Kaedah One Meal A Day (OMAD)
  • OMAD melibatkan makan malam sebagai fasa makan dan selebihnya adalah fasa untuk berpuasa. Cara berkenaan biasanya sesuai kepada yang sudah lama mengamalkan IF.

Namun demikian, IF tidak digalakkan untuk wanita berpenyakit kronik seperti kanser, ibu mengandung, ibu menyusu dan ibu yang bersalin.