SEKIRANYA tinjauan rawak dibuat di stesen-stesen minyak, jangan terkejut kerana kita pasti menemui sejumlah pelanggan yang melanggar peraturan secara terang-terangan tanpa sekelumit rasa bersalah.

Paling ketara adalah ketika proses mengisi petrol kenderaan. Pemandangan pengguna bercakap menggunakan telefon bimbit semasa memegang picu pam minyak masih berlaku.

Ia satu perlakuan yang sangat berbahaya kerana bahan bakar itu begitu sensitif terhadap percikan api.

Kes yang berlaku di Setapak, Kuala Lumpur pada Jun 2016 seharusnya dijadikan iktibar.

Dalam kejadian itu, seorang wanita terpaksa menanggung derita apabila 60 peratus badannya terbakar akibat  letupan di stesen minyak.

Hasil siasatan mendapati mangsa sedang berbual-bual menggunakan telefon bimbitnya sambil mengisi minyak sejurus sebelum letupan berlaku.

Sebenarnya, banyak ‘pantang larang’ jika kita mengunjungi premis seperti itu.

Memberi panduan keselamatan ketika di stesen minyak, mekanik di Bengkel Bergerak yang beroperasi di Ipoh, Perak, Amir Rizal Rahmat memberikan butiran lanjut.

AMIR Rizal Rahmat.

Berikut inti pati yang disenaraikan beliau untuk panduan orang ramai.

1. Jangan guna telefon bimbit

Jelas terpampang pada poster keselamatan di stesen minyak yang melarang penggunaan peranti elektronik ketika mengisi minyak.

Namun, sikap acuh tak acuh dan sering memandang remeh peraturan itu menyebabkan masih ramai pengguna yang tidak kisah  melanggar peraturan.

HASIL penyelidikan  mendapati sedikit percikan api akan terhasil ketika seseorang menggunakan telefon bimbit.

Ia sudah cukup untuk menyebabkan sesebuah premis terbakar. Keadaan akan lebih parah jika pada masa itu terdapat ramai pelanggan yang sedang berurusan. Bayangkan malapetaka yang bakal tercetus!

2. Elak duduk di atas motosikal

Perlakuan duduk di atas motosikal sambil mengisi minyak masih berleluasa.

Pendekatan itu memang tidak digalakkan kerana penunggang boleh hilang imbangan badan dan  menyebabkan motosikal terjatuh sekali gus berlaku tumpahan minyak.

3. Usah isi petrol dalam bekas plastik

Iklan

Amalan mengisi minyak di dalam bekas plastik seperti botol air mineral lazimnya dilakukan oleh penunggang untuk perjalanan jauh.

Apa pun alasannya, tindakan itu mampu mengundang bahaya kerana sifat petrol yang mudah menghakis boleh menyebabkan bekas plastik bocor dan minyak meruap.

Apabila reaksi itu berlaku, kebakaran boleh terjadi.

Gantikan botol plastik dengan bekas besi atau plastik tebal seperti botol minyak hitam atau belilah bekas khas yang dikenali sebagai jerry can menerusi laman beli-belah dalam talian.

4. Dilarang merokok

Meskipun perbuatan menghisap rokok ketika mengisi minyak hampir tidak kelihatan di bandar-bandar besar, namun di kawasan luar bandar, situasi tersebut masih berlaku.

Iklan
PERILAKU itu amat berbahaya kerana punca api daripada rokok dengan mudah boleh mengakibatkan letupan dan kebakaran.

Mungkin selepas ini pengusaha stesen minyak perlu menampal poster bersaiz besar atau menghebahkan melalui media sosial tentang Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda  RM10,000 atau penjara dua tahun jika didapati bersalah merokok di stesen minyak.

5. Matikan enjin kenderaan

Setiap kenderaan yang menggunakan bateri berisiko tinggi untuk menghasilkan percikan api lebih-lebih lagi jika enjin tidak dimatikan ketika mengisi bahan api.

Apalah salahnya mematikan seketika enjin demi keselamatan diri, kenderaan dan pelanggan lain.