Sepuh pelengkap ikan bakar, nasi putih di majlis keramaian

A
A
A

Foto KOLEKSI FARIDAH JAAFAR

SAMBAL belacan, sambal gesek atau sambal penyet sememangnya menjadi pelengkap kepada menu makan tengah hari atau makan malam kebanyakan orang.

Ikan goreng yang hanya dinikmati dengan bahan pencicah itu sahaja sudah cukup menambat selera dan mungkin berkali-kali tambah.

Jika masyarakat sudah terbiasa dengan semua itu, menerusi segmen Resipi Orang Kita pada minggu ini, SinarPlus ingin memperkenalkan satu lagi sajian tradisional yang juga bahan pencicah yang dipanggil sepuh.

Menurut Faridah Jaafar atau mesra disapa Mak Teh yang handal membuat sepuh, sajian itu amat mudah dibuat dan menjadi menu kegemaran ahli keluarganya sejak dulu lagi.

Faridah Jaafar.

Lazimnya, ujar wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu, sepuh akan dihidangkan bersama nasi putih dan ikan bakar sahaja pada majlis keramaian atau kenduri di kampung-kampung pedalaman.

Menariknya, perkataan sepuh bukan merujuk kepada bahan makanan tetapi kepada cara pembuatan kulinari berkenaan.

"Orang zaman dulu, mereka lebih gemar duduk bersimpuh di atas lantai ketika menyediakan makanan itu. Oleh sebab itulah, ia dipanggil sepuh," katanya sambil tertawa kecil.

Berkongsi resipi, Mak Teh berkata, bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat sepuh amat mudah dicari. Antaranya santan, cili api, bawang, kerisik, serai, asam jawa, daun kesum dan belacan.

"Untuk membuat sepuh tahan lebih lama, pastikan santan direneh seketika di atas api yang sederhana. Panaskan sekejap sahaja, jangan sampai pecah minyak pula," pesannya.

Selain itu, pastikan kerisik dan daun kesum yang digunakan masih segar.

"Menu ini sebenarnya bergantung kepada kuantiti daun kesum yang digunakan, lagi banyak lagi sedap,” katanya lagi.

Penulis turut berkesempatan menjamah menu berkenaan bersama nasi putih dan ikan bakar. Benar, kombinasinya memang lengkap, apatah lagi dimakan bersama nasi putih yang masih panas.

RESIPI SEPUH

Bahan-bahan

  • 1 cawan santan pekat
  • 6 biji bawang kecil
  • 9 biji cili api
  • 2 sudu kerisik
  • 2 batang serai
  • Sedikit air asam jawa
  • Sedikit belacan
  • Secubit garam
  • Daun kesum

Cara penyediaannya:

  1. Cili api ditumbuk bersama belacan, serai dan bawang kecil sehingga separa lumat.
  2. Kemudian, masukkan santan sedikit demi sedikit sehingga adunan menjadi sedikit cair (berkuah).
  3. Masukkan secubit garam dan air asam jawa.
  4. Akhir sekali, tabur daun kesum yang telah dipotong halus. Gaul sehingga semuanya menjadi sebati.
  5. Sepuh sedia untuk dihidangkan.

Sumber: Faridah Jaafar

RESIPI SAMBAL TOTOK

Bahan-bahan

  • 300 gram ikan bilis
  • Segenggam cili api
  • 2 biji bawang besar
  • 2 ulas bawang putih
  • Sedikit belacan
  • Sedikit gula
  • Secubit garam
  • Jus limau nipis (secukupnya)

Cara penyediannya:

  1. Ikan bilis digoreng dan diasingkan.
  2. Cili api, bawang besar, bawang putih dan belacan digoreng sehingga layu. Kemudian, ketepikan.
  3. Seterusnya, tumbuk bahan-bahan tadi sehingga separa lumat bersama ikan bilis yang telah digoreng.
  4. Tambah garam dan gula sesedap rasa dan masukkan perahan limau.
  5. Sambal totok siap untuk dimakan bersama nasi putih.

Sumber: Facebook Jamil Rozali

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca