Siap sedia, impak buruk El Nino di beberapa buah negara dikhuatiri berulang. Ada yang tak disangka-sangka
CUACA panas kini betul-betul menggugat keselamatan kita pada hari ini.
Ibu bapa yang mempunyai anak kecil terutamanya masing-masing meluahkan kerisauan.
Bukan apa, kadangkala kanak-kanak tak pandai nak meluahkan perasaan. Ada juga yang takut nak meminta apa-apa walau segelas air pun.
Bukan sahaja manusia terjejas, malah binatang ternakan sudah menunjukkan 'emosi kemarahan'.
Masakan tidak, bila tempat berkubang kering-kontang, haiwan akan cepat 'naik minyak'.
Sebenarnya, bukan sahaja di Malaysia, masalah gelombang haba turut melanda di sekitar negara Asia.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), akibat suhu yang sangat panas, sudah ada orang dah boleh menggoreng telur di bawah panas matahari. Macam pelik, tapi itulah hakikatnya.
“Jika kita rasakan suhu 37 darjah Celcius sudah panas, bayangkan suhu di negara India, Nepal, Thailand & Myanmar. Ia mempu mencecah 45 darjah Celsius,” ujar PHM.
Kongsi laman itu lagi, di Bangladesh, Laos, Vietnam, Nepal dan China pula pernah merekodkan 42 hingga 43 darjah Celsius.
Catatan berkenaan disifatkan melampau dan tidak pernah dialami dalam tempoh dekad.
Tatkala kecoh tentang musim panas membahang dan strok haba, Malaysia dijangka bakal dilanda El Nino pula.
Sebenarnya, El Nino masih dikaitkan dengan cuaca terik keterlaluan.
Secara teknikalnya, El Nino berlaku apabila suhu permukaan laut meningkat di bahagian timur Lautan Pasifik iaitu di perairan Columbia, Ecuador dan Peru disebabkan kemasukan arus panas dari bahagian tengah dan barat Lautan Pasifik.
KEMATIAN BAYI PRAMATANG
SinarPlus mahu menarik perhatian anda dengan laporan South China Morning Post (SCMP) baru-baru ini.
Menurut SCMP, suhu melampau telah mengakibatkan kanak-kanak mati akibat dehidrasi.
Selain itu, haba panas juga telah mengancam sektor pertanian dan barangkali berlakunya kekurangan air di Filipina.
"Negara Indonesia pula menyatakan kebimbangan berulangnya jerebu teruk yang pernah melanda negara seberang itu pada tahun 2015,” kata sumber itu.
Dalam kejadian jerebu yang serius akibat kebakaran hutan besar tersebut, lebih 100,000 kematian bayi pramatang dilaporkan di seluruh Indonesia, Malaysia dan Singapura, lapor SCMP.
Republik itu juga pernah menderita kemarau berpanjangan.
12 KALI DILANDA EL NINO
Sementara itu, portal National Geographic melaporkan para saintis sudah menjangkakan corak cuaca El Nino kini sudah mula berlaku.
Ujar penulisan berkenaan, El Nino akan menyebabkan keadaan menjadi lebih panas daripada biasa dan perubahan cuaca yang luar biasa serta drastik.
Bagaimana pula di Malaysia? Seperti yang ramai maklum, fenomena menakutkan berkenaan dijangka bermula Jun apabila keadaan cuaca berubah disebabkan kehadiran monsun barat daya yang cuacanya dicirikan dengan keadaan kering dan panas.
Di Malaysia, El Nino pernah berlaku sebanyak 12 kali sejak tahun 1950-an lagi.
Insiden paling teruk adalah pada tahun 1998 dengan suhu tertinggi 40.1 darjah Celsius yang direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998.
Dari segi kesihatan awam global, El Nino berpotensi meningkatkan kematian dan kemasukan ke hospital akibat strok haba dan dehidrasi.
PEKA CUACA SEMASA
Dalam pada itu, laman web Centers for Disease Control and Prevention (CDC) berkata, setiap orang perlu mengambil pendekatan berjaga-jaga bagi mengelak diri daripada jatuh sakit.
Berikut antara langkah yang dikongsikan CDC bagi mencegah penyakit berkait dengan haba, kecederaan dan kematian semasa cuaca panas:
1) Sentiasa berada di dalam bangunan berhawa dingin.
2) Minum banyak cecair walaupun tidak haus.
3) Jadualkan aktiviti luar.
4) Pakai pakaian yang longgar, ringan, berwarna cerah dan pelindung matahari.
5) Mandi untuk menyejukkan badan.
6) Periksa rakan atau jiran dan minta mereka melakukan perkara yang sama.
8) Jangan tinggalkan kanak-kanak atau haiwan peliharaan di dalam kereta.
9) Semak berita tempatan untuk laporan kesihatan dan keselamatan terkini.
Baca juga: Strok haba: Ibu bapa jangan abai tanda anak sakit ketika cuaca panas elak hilang nyawa
Baca juga: Mula simpan air, El Nino kuat dijangka Mei hingga Julai ini. 7 perkara wajib semua ambil tahu
Ingat, kita sedang berada dalam tempoh mencabar sekarang.
Dulu, kita dibelenggu dengan wabak Covid-19 yang melibatkan virus yang tidak boleh dilihat.
Walau El Nino tidak sama dengan penularan SARS‑CoV‑2, bahayanya sedikit lebih kurang sama.
Kita tidak mahu bencana yang pernah berlaku di beberapa negara yang dinyatakan tadi berulang sekali lagi.
Pesanan daripada kami, pantau diri sendiri dan kepada yang mempunyai anak kecil, sentiasa ingatkan mereka untuk minum sekurang-kurangnya 1.5 liter air sehari. Bukan air manis ya, tapi air putih.
Sama-sama jaga diri!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang