SEBAIK berita penyanyi popular Zamani Slam menderita penyakit skoliosis, ramai yang ingin tahu mengenainya.

Secara ringkas, menurut MyHealth, skoliosis merupakan satu kondisi perubatan yang menyaksikan tulang belakang seseorang akan bengkok ke kiri atau ke kanan. Ia juga bukan satu penyakit.

Seperti beberapa video yang tular di media sosial, keadaan penyanyi Gerimis Mengundang itu menunjukkan keadaan yang sama. Akibatnya, beliau dilihat terpaksa memperbetulkan posisi berdirinya, sebelum mula berjalan.

Melihat situasi yang tidak selesa itu, ramai bertanyakan adakah Zamani berpeluang untuk sembuh? Adakah tulang belakangnya akan terus membengkok? Tidak kurang juga yang risau selebriti itu terpaksa duduk di kerusi roda dan akan merana seumur hidup apabila usianya semakin menua.

Baca juga: Tubuh Zamani semakin bongkok, berikut 9 fakta mengenai penyakit yang dialami

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Clear Scoliosis Institute(CSI), Amerika Syarikat (AS), pada tahun 2011, seramai 229,000 orang dewasa dimasukkan ke hospital akibat skoliosis dengan kos perubatan keseluruhan berjumlah RM67.8 juta. Secara puratanya, dianggarkan lebih 4 juta kes dilaporkan di negara itu setiap tahun.

Sementara itu, menurut CSI, kecacatan tulang belakang adalah perkara paling biasa dalam kalangan kanak-kanak bersekolah di AS dengan 29,000 jumlah pembedahan dilakukan.

Di Malaysia, tiada data yang khusus. Namun, kajian yang dilaksanakan oleh Malaysian Orthopaedic Journal (2017) ke atas remaja berusia 13 hingga 15 tahun melibatkan seramai 8,966 orang pelajar mendapati, 2.55 peratus daripada mereka berada pada tahap kelengkungan tulang belakang melebihi 10 darjah.

Sementara, sebanyak 0.59 peratus melebihi 20 darjah dan 0.12 peratus melebihi 40 darjah.

Bagi mengulas lanjut mengenai topik skoliosis, SinarPlus mewawancara Pakar Perunding Ortopedik Spinal, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Datuk Dr Azmi Baharuddin.

Terlebih dulu, kata Dr Azmi, salah satu kategori skoliosis adalah Idiopathic Scoliosis (IS). Untuk menentukan seseorang itu menghidap IS, ia bergantung kepada umur mula dikesan. Jika pada usia setahun, ia dikenali sebagai Infantile Idiopathic Scoliosis.

Dari umur dua hingga 10 tahun pula, ia digelar sebagai Juvenile Idiopathic Scoliosis, manakala 10 hingga 18 tahun dikenali sebagai Adolescent Idiopathic Scoliosis (AIS).

Pakar perubatan itu memberitahu, kebanyakan pesakit skoliosis tergolong dalam kategori AIS. Berdasarkan fakta, remaja perempuan lebih ramai menghidap AIS berbanding lelaki! Bagi kategori lain pula, statistik sesama jantina adalah sama rata.

Baca juga: Lebih ramai lelaki berbanding wanita berhadapan radang tulang belakang

Meskipun, skoliosis bersifat idiopathic (tanpa diketahui penyebabnya), menurut Cleveland Clinic, AS, terdapat beberapa kondisi yang dapat memicu terjadinya krisis kesihatan berkenaan. Antaranya:

  • Sendi tulang belakang mulai haus akibat peningkatan usia.
  • Gangguan pada saraf dan otot. Sebagai contoh, pesakit yang menghidap Cerebral palsy.
  • Berlaku kecacatan, kecederaan atau infeksi pada tulang belakang.
  • Congenital skoliosis atau bawaan semasa lahir lagi.

Bukan pengakhiran hidup

Perbincangan diteruskan dengan persoalan mengapa sesetengah pesakit tulang belakang berbentuk C, manakala ada pula yang berbentuk S?

Menjawab persoalan yang dilontarkan itu, tiada lagi kajian terperinci mengenainya, ujar Dr Azmi.

“Namun, bentuk tersebut tidak mengubah apa-apa profil pesakit, malahan ia membantu kami untuk menentukan pada bahagian tulang yang manakah perlu diletakkan skru,“ katanya.

SinarPlus turut bertanyakan bagaimana kanak-kanak yang berdepan dengan skoliosis boleh bergerak aktif? Ujar Dr Azmi, golongan itu tidak mempunyai sebarang had untuk melakukan aktiviti termasuk bersukan sekali pun.

Baca juga: Bukan warga emas saja berdepan masalah tulang mudah rapuh, wanita dan kanak-kanak juga berisiko tinggi

“Namun, sekiranya baru menjalani pembedahan, mereka perlu berehat. Selepas sembuh, barulah boleh melakukan aktiviti harian seperti sediakala,“ terangnya sambil menambah ibu bapa yang mempunyai anak-anak sebegitu tidak perlu khuatir kerana mereka boleh sembuh dan menjadi seorang yang berjaya.

Buktinya, ramai yang mendapatkan rawatan dengan pakar tersebut sudah berkahwin dan mempunyai anak.

Kebenaran itu juga dapat ditonjolkan dengan kejayaan seorang atlet terkemuka dunia, Usain Bolt yang mempunyai keupayaan untuk berlari dengan pantas walaupun menghidap skoliosis.

Memetik laporan ESPN, Bolt berkata, ketika masih kecil, masalah itu terlalu mengganggu tubuhnya sehinggalah beliau membesar.

“Tulang belakang saya membengkok dengan sangat teruk sehingga berbentuk S. Namun begitu, saya berusaha menguatkan otot belakang, jadi saya beransur baik. Saya juga tak perlu terlalu risau selagi saya berusaha keras,“ kata manusia terpantas di muka bumi ini apabila masih kekal mencatatkan rekod dunia 100 meter dengan catatan 9.58 saat.

Kepada SinarPlus, Dr Azmi berkata, beliau ingin memperbetulkan tanggapan klise yang kononnya membawa beg berat adalah pencetus skoliosis.

“Alasan itu tak logik, kalau perkara itu menyebabkan masalah tulang belakang, kenapa kebanyakan terjadi kepada wanita? Adakah wanita sahaja yang membawa beban berat?,“ soalnya.

Tidak hanya Dr Azmi, CSI turut menjelaskan beberapa mitos yang perlu diketahui dan diperbetulkan masyarakat dunia. Antaranya:

a) Skoliosis tidak mendatangkan kesakitan

  • Mereka yang menghidapi skoliosis sebenarnya berasakan kesakitan.
    ‘Keperitannya’ bukanlah tertumpu pada bahagian tulang belakang sahaja, tetapi menyebabkan kesakitan pada bahagian lain seperti kepala (migrain) dan sakit otot.
  • 20 peratus remaja yang menghidapi skoliosis mengalami kesakitan otot dalam pelbagai tahap.

b) Tidak menjejaskan tidur

  • Tidak benar kerana ia sememangnya menjejaskan waktu tidur seseorang lantaran kesakitan dan ketidakselesaan yang dihadapi pesakit.
  • Lengkungan dan putaran yang berlaku pada tulang belakang menyebabkan berlakunya tekanan kepada paru-paru dan mungkin menyebabkan kesukaran untuk bernafas.

c) Pesakit tidak boleh bersukan

  • Mereka yang mempunyai masalah tulang bengkok sebenarnya digalakkan untuk bersukan.
  • Berenang, mendaki dan menari merupakan antara aktiviti yang bagus untuk penghidap skoliosis lakukan.

Elak pembedahan

Bagi memperhalusi kaedah rawatan yang selalu digunakan, kami mendapatkan Pakar Perunding Ortopedik, Hospital Columbia Asia Tebrau, Johor, Dr Hazli Sufian Sulaiman.

Ujar Dr Hazli Sufian, ia bergantung kepada tahap darjah tulang belakang itu membengkok.

“Lazimnya, kaedah pertama yang dilakukan adalah melalui pemerhatian. Sebagai contoh, pemeriksaan X-ray akan dijalankan sekiranya ibu bapa kepada pesakit lingkungan umur 11 tahun mengadu tulang belakang anaknya bengkok.

“Setelah melakukan X-ray, saya akan mengira sudut tulang yang membengkok. Jika kurang daripada 20 darjah maka, kami hanya akan menggunakan kaedah pemerhatian sahaja,“ ujar beliau.

Iklan

Pesakit akan diberi satu tarikh pemeriksaan baharu iaitu enam bulan selepas itu.
Kemudian, sekali lagi imbasan akan dilakukan untuk mengukur sekali lagi darjah kelengkungan, sama ada ia semakin membaik atau sebaliknya.

“Jika ia (darjah kelengkungan) semakin bertambah di antara 20 hingga 40 darjah, kaedah orthosis akan diguna pakai. Pesakit akan diberikan peralatan untuk menyokong tulang belakang seperti bengkung. Untuk mendapatkan keberkesanannya, mereka perlu memakai alatan itu selama 18 hingga 23 jam sehari,“ jelasnya.

Beritahu Dr Hazli Sufian, kaedah pembedahan yang akan dipilih jika tulang belakang seseorang membengkok dengan begitu ketara.

“Namun harus diingatkan bahawa pembedahan sangat berisiko tinggi dan sekiranya berlaku komplikasi sewaktu pembedahan ia boleh menyebabkan lumpuh, jangkitan kuman serta pendarahan,“ katanya.

Mengulas hal yang sama, Cleveland Clinic berpendapat, sebaiknya prosedur pembedahan perlu dielakkan berdasarkan implikasi yang dinyatakan oleh Dr Hazli Sufian.

Mengekalkan berat badan yang ideal dan konsisten dengan senaman adalah cara terbaik untuk meminimumkan gejala yang berkaitan dengan skoliosis dalam kalangan orang dewasa, kata Cleveland Clinic.

Baca juga: Epidural punca utama kaum ibu alami sakit belakang? Ini penjelasan pakar fisioterapi mengenai keadaan itu

Fatin jalani rawatan fisioterapi elak keadaan menjadi lebih teruk

SEPERTI kata pakar, kebanyakan pesakit skoliosis jenis Ideopathic Scoliosis sering dihadapi oleh golongan kanak-kanak dan remaja terutamanya perempuan.

Salah seorang pesakit yang berjaya SinarPlus temu bual ialah pelajar universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Fatin, 25.

Cerita Fatin, pada tiga tahun lalu, beliau mula berasakan ada sesuatu yang tidak kena pada tulang belakangnya

Iklan

“Saya sering rasa sakit pada belakang badan saya. Jadi, saya putuskan untuk ke klinik kerajaan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan. Apabila doktor menyentuh bahagian tulang belakang saya, beliau dapat menelah sesuatu yang tidak okey,“ katanya.

Enggan terus berteka-teki dan mahu mendapatkan jawapan yang lebih jelas, imbasan X-ray dilakukan. Akhirnya, dengan rasa berat hati, doktor memaklumkan pelajar jurusan kesenian di sebuah kampus di Lembah Klang itu menghidap masalah tulang belakang bengkok (skoliosis) pada tahap sederhana.

Apabila ditanya sama ada aktiviti seharian terjejas ataupun tidak sebaik didiagnos dengan masalah itu, Fatin memberitahu, segalanya tidak berubah dan beliau masih mampu menjalankan rutin seperti biasa.

“Namun, saya tak boleh duduk terlalu lama dan kalau nak angkat barang berat pun, ada teknik atau cara yang disyorkan. Tidak boleh sembarangan,“ jelasnya.

Menderita skoliosis turut menuntut Fatin berulang-alik ke klinik untuk menjalani rawatan fisioterapi bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk.

“Juruterapi turut menyarankan saya untuk sentiasa membuat aktiviti senaman regangan di rumah sebagai satu amalan yang perlu dilakukan hari-hari, walaupun saya secara teknikalnya sudah menjalani rawatan fisioterapi di klinik.

“Mereka juga ada memberikan tip tentang penggunaan kasut yang bersesuaian dengan aktiviti yang dilakukan termasuk penggunaan kasut tertentu yang mempunyai tapak yang lembut dan sesuai dengan pesakit skoliosis seperti saya,“ katanya.

Demi kebaikan tulang belakangnya, remaja tersebut juga terpaksa mengetepikan keinginan untuk memakai kasut bertumit tinggi. Ini kerana pemakaian kasut jenis itu akan menyebabkan rasa sakit pada tulang belakang termasuk tumit kakinya.

Disoal pula sama ada beliau mempunyai alternatif merawat penyakit berkenaan, Fatin berkata, dirinya hanya menggunakan alat sokongan tulang belakang untuk keselesaan tubuh apabila melakukan aktiviti berat.

Baca juga: Kevin alami tulang bengkok sejak lahir, dijangka berkerusi roda umur 40 tahun

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI