OSTEOPOROSIS iaitu tulang poros atau kelampungan tulang boleh dijelaskan sebagai satu keadaan kehilangan kepadatan tulang, mengakibatkannya menjadi rapuh dan mudah patah.

Ia sering kali dikaitkan dengan warga emas dengan kebanyakannya ialah wanita. Namun, kanak-kanak juga sebenarnya berisiko tinggi berhadapan masalah tersebut.

Mengulas lanjut mengenainya, Konsultan Pakar Ortopedik MSU Medical Centre, Dr Ruzaimi Md Yusoff berkata, antara faktor isu berkenaan kerap menimpa kaum Hawa adalah disebabkan penurunan hormon estrogen selepas menopaus yang mengakibatkan kepadatan tulang turut menyusut dengan cepat.

 

“Selain itu, faktor kurang aktif, saiz tubuh yang biasanya lebih kecil berbanding kaum lelaki dan faktor pemakanan terutama diet yang terlalu ketat dalam kalangan kaum wanita juga menyumbang kepada masalah ini.

Pada masa sama, mereka juga kurang terdedah kepada cahaya matahari kerana jarang melakukan aktiviti di luar rumah. Hal ini akan mengurangkan paras vitamin D dalam tubuh dan seterusnya boleh mengurangkan penyerapan kalsium,“ katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ramai tak sedar
Ujar Dr Ruzaimi, osteoporosis kebiasaannya tidak mempunyai sebarang tanda khusus. Segelintir penghidapnya mungkin mengalami sakit atau sengal terutama pada bahagian belakang atau pinggang.

Namun begitu, penyakit tersebut sering kali dikesan setelah penghidapnya mengalami komplikasi patah tulang.

Berdasarkan statistik dunia, satu daripada tiga perempuan dan satu daripada lima lelaki berumur melebihi 50 tahun akan mengalami patah tulang akibat kerapuhan. Kajian juga mendapati, kira-kira 8.9 juta penduduk di seluruh benua berdepan masalah sama setiap tahun.

Mengenai osteoporosis dalam kalangan kanak-kanak, pakar tersebut berkata, ia terbahagi kepada dua kategori.

BACA JUGA 95 peratus rakyat Malaysia pertengahan usia bimbang tentang kesihatan tulang mereka. Ini apa yang perlu dilakukan

Pertama, idiopathic juvenile yang melibatkan peringkat umur bawah 16 tahun dan tidak mempunyai faktor penyebab atau sebarang penyakit lain.

Sementara kategori kedua pula disebabkan oleh penyakit yang dihidapi ataupun akibat pengambilan ubat-ubatan tertentu.

“Antara penyakit dalam kalangan kanak-kanak yang boleh menyebabkan osteoporosis ialah keradangan kronik seperti penyakit keradangan sendi (artritis) atau penyakit radang usus jangka panjang yang juga dikenali sebagai Crohn dan anoreksia nervosa iaitu penyakit berkaitan masalah pemakanan.

“Selain itu, rawatan ubat-ubatan steroid untuk jangka masa panjang termasuk penyakit osteogenesis imperfecta turut menyumbang kepada osteoporosis,“ katanya.

Osteogenesis imperfecta ialah penyakit genetik yang memberi kesan kepada kolagen iaitu satu unsur penting pada tulang termasuk keadaan yang mengakibatkan kanak-kanak terlantar di katil seperti kecederaan saraf tunjang atau cerebral palsy.

Mengulas lanjut, Dr Ruzaimi berkata, dalam keadaan biasa, terdapat dua proses yang berlaku pada tulang iaitu resorpsi tulang (proses pelepasan sel tulang yang diserap ke dalam darah) dan pembentukan sel tulang baharu bagi menggantikan sel yang ‘hilang‘ itu.

Jelas beliau, osteoporosis berlaku apabila kadar resorpsi tulang lebih tinggi berbanding kadar pembentukan sel baharu.

“Keadaan ini boleh berlaku pada semua tulang dalam tubuh, namun kebiasaannya melibatkan bahagian sendi pinggul, pergelangan tangan dan tulang belakang,” katanya.

Terang pakar itu lagi, tahap osteoporosis boleh diukur melalui ujian kepadatan tulang. Antaranya menggunakan kaedah dual-energy X-ray absorptiometry (DEXA Scan) bagi mendapatkan nilai ketumpatan mineral tulang (BMD).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, BMD normal bagi belia dewasa adalah melebihi nilai 1SD (standard deviation) atau T-score >1SD

.Seseorang dikategorikan menghidap osteopenia atau kepadatan tulang yang rendah jika nilai BMD mereka antara T-score-2.5SD.

Dr Ruzaimi yang berpandangan masalah osteoporosis di Malaysia masih kurang diberi perhatian berkata, ramai di antara kita tidak menyedari diri mereka sedang mengalami penyakit berkenaan.

“Disebabkan itu juga, tidak banyak data lengkap mengenai prevalens osteoporosis di Malaysia diperoleh.

“Dianggarkan kira-kira 77 peratus wanita Malaysia yang sudah putus haid mengalami osteoporosis, tetapi tidak mendapatkan sebarang rawatan.

Ini mungkin disebabkan tahap kesedaran akan penyakit itu dan komplikasi yang berkaitan dengannya masih lagi rendah dalam kalangan masyarakat. Kebanyakan mereka hanya datang mendapatkan rawatan setelah mengalami komplikasi patah tulang,“ ungkapnya.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

Sakit ‘orang muda‘
Pakar itu memberitahu, sewaktu kecil, badan dan tulang kita mengalami pertumbuhan dan perkembangan dengan pantas.

Iklan

“Inilah sebenarnya masa terbaik untuk membina dan mencapai paras tertinggi jisim tulang bagi menghalang berlakunya osteoporosis apabila usia meningkat.
“Kajian menunjukkan bahawa dengan meningkatkan paras jisim tulang sebanyak 10 peratus (pada usia muda) mampu mengurangkan risiko seseorang mengalami keretakan tulang yang disebabkan oleh osteoporosis,“ katanya.

BACA JUGA Selain susu, ini makanan untuk osteoporosis

Berkongsi hasil kajian beliau bertajuk Factors Associated With Bone Health Status of Malaysian Pre-adolescent Children in the PREBONEkids Study yang dijalankan bersama sekumpulan penyelidik pada tahun 2017, hampir 33 peratus daripada responden mengalami masalah berat badan berlebihan dan obes.
Penyelidikan tersebut melibatkan 243 kanak-kanak praremaja berusia sembilan hingga 11 tahun.

Justeru, ujar beliau, kanak-kanak lelaki mahupun perempuan, perlu kekal aktif untuk membina otot dan jisim badan tanpa lemak yang merupakan penyumbang kepada kandungan mineral dan ketumpatan bagi tulang seluruh tubuh serta bahagian lumbar pada tulang belakang.

“Jisim badan tanpa lemak memberi daya tegangan yang lebih tinggi pada tulang dan ini akan merangsang sel-sel tulang,“ katanya.

Dalam satu kajian lain yang dijalankan di India dan Iran termasuk ke atas kanak-kanak Kaukasia turut mendapati, mereka yang mempunyai jisim badan tanpa lemak menunjukkan ketumpatan tulang yang lebih baik.

“Di Malaysia, perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita sedang bergelut dengan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan negara berada di tangga kedua tertinggi di ASEAN dengan 12.7 peratus bagi kelompok umur lima hingga 19 tahun yang obes,“ ujarnya.

 

Iklan

Kepentingan kalsium, vitamin D
Hasil kajian pakar itu juga menemui masalah pengambilan kalsium yang rendah dalam kalangan kanak-kanak kerana secara puratanya, responden hanya mendapat 25 peratus daripada 1,300 miligram (mg) kalsium yang disarankan.

Dr Ruzaimi berkata, pengambilan kalsium yang rendah oleh kanak-kanak boleh menjejaskan ketumpatan mineral tulang dan turut memberikan kesan negatif kepada pertumbuhan dan ketinggian.

Pada masa sama, pengambilan kalsium perlu seiring dengan vitamin D yang mencukupi. Vitamin D memudahkan penyerapan kalsium dan memainkan peranan penting dalam homeostasis kalsium dan perkembangan tulang rangka,“ katanya.

Antara output lain dalam penyelidikan pakar itu adalah kira-kira 40 peratus kanak-kanak perempuan mempunyai paras vitamin D yang tidak mencukupi.
Antara sebabnya ialah golongan itu tidak seaktif kanak-kanak lelaki yang lebih terdedah kepada cahaya matahari.

Persoalannya kini, adakah osteoporosis merupakan satu penyakit yang boleh dirawat? Jawapannya, ya.

Seseorang boleh mendapatkan rawatan awal bagi mengelak komplikasi lebih serius, ujar Dr Ruzaimi.

Terdapat pelbagai kaedah seperti terapi hormon estrogen atau ubat-ubatan yang bukan hormon seperti bisphosphonate, alendronate dan risedronate, raloxifene, selective oestrogen receptor modulator (SERM), hormon paratiroid dan calcitonin.

“Pengambilan susu atau sebarang produk tenusu yang lain juga dapat meningkatkan paras kalsium dalam badan.

Mereka yang berumur 18 hingga 50 tahun memerlukan 1,000mg kalsium setiap hari. Keperluan harian kalsium ini meningkat kepada 1,200mg bagi wanita berusia 50 tahun ke atas dan lelaki berusia 70 tahun dan ke atas. Perkara paling utama bagi mencegah osteoporosis bermula ketika masih muda dan kita perlu mengambil kalsium yang mencukupi agar mencapai kepadatan tulang yang tinggi dan optimum,“ katanya.

Ujar Dr Ruzaimi lagi, faktor seperti genetik dan berkulit putih serta orang Asia yang membawa kepada risiko osteoporosis mungkin tidak boleh diubah, namun ada faktor lain yang amat bergantung pada gaya hidup seseorang individu.

Jangan lupa follow kami di Instagram!