NAMA daerah Slim River mungkin tidak sepopular lokasi lain. Namun begitu ada keunikan dan tarikan padanya yang masih ramai belum menerokanya.

Menelusuri bebenang pengguna Twitter bernama @ErenaTakeuchi baru-baru ini yang juga seorang peminat sejarah, masakan, anime dan muzik serta konservatif dan cintakan budaya, sebenarnya ada gamitan istimewa di Slim River.

Pekan Slim River terletak kira-kira 100km dari pusat bandaraya KL. Pekan ini terletak dalam daerah Muallim, dan pekan kedua terbesar selepas Tanjung Malim.

Kongsi @ErenaTakeuchi, ada pelbagai teori yang berpunca dengan nama Slim River ini. Berikut antara sorotannya:

Orang yang asal buka pekan ini dikatakan berasal dari orang di Kampung Balun, yang berhampiran dengan pekan itu.

Tapi apabila Perak menerima Residen British sejak menandatangani Perjanjian Pangkor, kawasan ini sangat strategik bagi British untuk tujuan pertanian dan pertahanan, memandangkan ia di tebing sungai.

Ada dua cerita tentang nama pekan ni. Pertama, orang British menamakan Slim River kerana sungainya yang sempit dan sukar mengendalikan bot ke situ.

Tapi cerita kedua, kawasan itu ditadbir oleh seorang kapten British yang bernama Kapten Slim. Tak tahu pula nama penuhnya.

Slim River menyimpan sejarah penting dalam negara ini dalam Perang Dunia Kedua, apabila pertempuran hebat antara Askar Melayu dan British, menentang kemaraan tentera Jepun dalam Perang Slim River pada 6-8 Januari, 1942.

Pertempuran ini dari Divisyen 11 Skuad dari India dan Askar Melayu yang bertindak sebagai tentera gerila, yang diketuai oleh Brigadier Archibald Paris.

Sementara itu tentera Jepun diketuai oleh Hajime Shimada.

Divisyen 11 dari India sebenarnya sudah kepenatan terutamanya sudah tewas di Gurun dan Kampar, dan mereka terpaksa berkubu di Slim River, berdepan dengan kemaraan tentera Jepun.

Mereka dibantu dengan unit ke-9 askar Gurkha yang baru datang dari pelabuhan Singapura, turun di Teluk Intan.

Hajime Shimada merupakan pegawai kepada Matsui Takurō, yang merupakan timbalan kepada Jeneral Besar Tomoyuki Yamashita.

Pertempuran ini memakan masa selama dua hari, dengan pertempuran sengit antara dua pihak ini. Bagaimanapun dengan lemahnya struktur serta kelemahan koordinasi, menyebabkan British tewas dan terpaksa menerima hakikat yang mereka akan kehilangan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Leftenan Jeneral Arthur Percival yang memecat Mejar Jeneral David Murray-Lyon, dan menggantikan dengan Archibald Paris, melemahkan moral pasukan tentera.

Beberapa hari kemudian, Tentera Berikat terlepas Kuala Lumpur dan semua tentera British berkubu di Singapura.

Kegiatan ekonomi

Ekonomi di Slim River selalunya berkenaan dengan pertanian ladang seperti getah dan kelapa sawit, sejak dari zaman British lagi.

Namun, sejak pembinaan Proton City di Tanjung Malim, industri pembuatan dan jual beli alat ganti Proton bercambah di sekitar pekan ini.

Antara tumpuan untuk ke pekan Slim River ini adalah Kilang Roti Mokhtar yang terletak di Kampung Masjid Lama, Slim River.

Kilang ini menjual roti yang baru keluar dari ketuhar dan masih segar apabila dimakan.

TR Tomyam House pula menjual shellout serta makanan tomyam juga agak popular dalam pekan Slim River ini.

Iklan

Selain ikan, mereka juga menjual ketam dan udang galah yang dimasak dan harganya ikut harga timbangan.

Sotong butter, masak cili kering ketam dan siakap stim dia sedap.

Jika anda peminat nasi padang, boleh cuba Andri Nasi Padang yang terletak di Jalan Slim, yang menuju ke Tanjung Malim.

Waktu bukanya dari 1:30 tengah hari hingga 4:30 petang. Biasa lauk cepat habis. Dikatakan selalu pukul 3 dah tak ada lauk dah.

Jika anda meminati aktiviti memanjat gunung, boleh ke Gunung Liang yang terletak berhampiran dengan Slim River.

Iklan

Air Terjun Serata (atau Srata) juga terletak berhampiran dengan Slim River. Cantik tempatnya, cuma kalau dah beritahu ni, janganlah kotorkannya ya? Ini punca air orang asli yang tinggal berhampiran dengan air terjun ni.

Untuk penginapan dengan chalet yang dikelilingi kawasan hutan, boleh cuba di D’Pulau Tibang Eco Resort di Ulu Slim.

Nota: campak tepi telefon bimbit anda. Tak ada line yang kuat di sini. Nikmatilah alam.

Jika anda menggunakan lebuhraya, boleh gunakan exit Slim River, atau naik keretapi ETS, tapi seeloknya ada pengangkutan sendiri.

Boleh tenangkan fikiran dan berbelanja menaikkan ekonomi pekan kecil.

Menarik bukan? Jika menarik buat korang, selamat menerokai Slim River ya! -AG #janganputusasamalaysia