APABILA seorang wanita kematian suami, mereka perlu menjalani tempoh idah selama empat bulan 10 hari.

Sepatutnya, sepanjang tempoh itu, wanita tadi tak boleh keluar rumah langsung melainkan ada keperluan mendesak seperti membeli barang keperluan makanan dan rumah.

Kalau diikutkan, begitulah yang digariskan dalam Islam. Namun begitu, kita memang tak boleh menidakkan kesedihan yang tak tertanggung dilalui wanita itu bila ditinggalkan oleh orang tersayang yang selama ini melayari hidup bersamanya.

Apatah lagi sekarang pula tengah berhari raya. Ingatannya mesti tertumpu kepada arwah si suami yang telah pergi meninggalkan dirinya buat selama-lamanya.

Walaupun tak terlintas langsung dia nak sambut raya, tapi kalau ditinggalkan sorang-sorang, lain pula jadinya nanti. Tapi kalau dibawa beraya juga macam mana, boleh ke walaupun hanya ke rumah anaknya?

Menurut pendakwah dan penulis, Ustaz Syed Shahridzan Syed Mohamed, wanita dalam idah wajib menetap di rumah yang diduduki sepanjang tempoh berkenaan.

USTAZ SYED SHAHRIDZAN

“Tidak dibenarkan keluar dari rumah tersebut melainkan ada keperluan mendesak seperti membeli makanan dan barang keperluan rumah.

“Selain itu, menurut fatwa para ulama kontemporari, wanita dalam idah dibenarkan keluar rumah untuk mencari rezeki jika dia tiada siapa yang menanggung keperluan hidup dan anaknya,” jelas beliau dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Semua itu merupakan perintah ALLAH SWT sebagaimana dicatitkan dalam firman-NYA: “Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya) dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata dan itulah aturan-aturan hukum ALLAH (maka janganlah kamu melanggarnya) dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum ALLAH maka sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepada dirinya.” (Surah al-Talaq, ayat 1)

Ustaz Syed Shahridzan turut mengemukakan pandangan al-‘Allamah Qalyubi dalam Hasyiah yang menukilkan: “Maka jika dia (wanita beridah) mempunyai hajat (keperluan penting) pada waktu malam, maka dia dibenarkan (keluar) sepertimana (dibenarkan keluar) pada waktu siang, itu yang dinyatakan oleh guru kami. Jika dia tidak mempunyai hajat, maka ia tidak dibenarkan keluar sama sekali, walaupun menziarahi orang sakit, menziarahi (keluarga, kawan dan sebagainya), berniaga atau melaburkan harta”.

Andai kata wanita tadi dirundung kesedihan, Ustaz Syed Shahridzan memetik pandangan al-‘Allamah al-Ghamrawi RA dalam kitabnya al-Siraj al-Wahhaj ‘ala Matn al-Minhaj.

Kata ulama itu: “Baginya (wanita dalam idah) untuk keluar pada siang hari untuk membeli makanan, membeli barang keperluan rumah dan seumpamanya. Begitu juga dia boleh keluar pada waktu malam ke rumah jirannya untuk tujuan berbicara untuk menenangkan hati, berborak dan seumpamanya. Tetapi dengan syarat dia mesti pulang ke rumah mengikut adat kebiasaan dan bermalam di rumahnya.

“Wanita yang beridah boleh berpindah dari tempat tinggal di mana dia berpisah (dengan suaminya) kerana takutkan kemusnahan atau tenggelam hartanya dan anaknya, atau takutkan perkara bahaya dan buruk berlaku ke atas dirinya, atau terganggu oleh jiran, atau jiran berasa terganggu dengan kewujudannya iaitu dengan gangguan yang teramat,” jelas al-‘Allamah al-Ghamrawi.

Iklan

Berdasarkan nas, dalil dan fatwa ulama, Ustaz Syed Shahridzan berkata, maka jelaslah wanita dalam keadaan idah tidak dibenarkan oleh syariat untuk keluar berhari raya meskipun hanya menziarahi sanak saudara.

“Ini kerana ziarah hari raya bukanlah urusan darurat dan keperluan mendesak,” katanya.

Bukan itu sahaja, agamawan itu turut mengingatkan wanita beridah juga tak boleh keluar untuk menziarahi anaknya.

“Jika hatinya terlalu sedih atau sedih disebabkan kehilangan suami dan perlukan teman berbual dalam kalangan anaknya sendiri, maka dia boleh ke rumah anaknya yang berdekatan dengan rumahnya seperti satu kampung atau taman yang sama. Tapi tak boleh bermalam di situ,” jelas beliau.

Begitupun, jelas Ustaz Syed Shahridzan, jika katakan wanita dalam idah itu khuatir akan keselamatan diri, anak atau hartanya, dia boleh berpindah ke rumah anaknya.

“Begitu juga atas faktor kesihatan yang mana jika terus tinggal sendirian, akan membahayakan dirinya sendiri.

“Namun begitu, setibanya di rumah anaknya, dia tetap tak dibenarkan keluar tanpa keperluan mendesak seperti berhari raya, menziarahi keluarga atau orang sakit sehinggalah tamat tempoh idahnya,” terangnya mengakhiri jawapannya.

Iklan

Kepada mereka yang baru kehilangan bapa, tolonglah jangan bawa ibu masing-masing keluar beraya. Kalau takut ibu sedih tinggal sendiri, apa kata kita sendiri temankan mereka di rumah. Kan lebih elok macam tu.

Sudahlah sebelum ni si ibu terpaksa bersendirian kerana terpaksa ‘berkurung’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Pergi ke kubur pun tak boleh. Jangan ditambah lagi kesedihan mereka.

Sumber: Facebook Syed Shahridzan Ben-Agil