MASIH jelas dalam ingatan, pada zaman kanak-kanak penulis, setiap kali berlaku kematian di Melaka, sanak saudara dan tetamu akan bertungkus-lumus membuat kuih serabai untuk sajian semasa kenduri tahlil.

Mereka akan menyiapkan dalam kuantiti yang cukup besar, di samping hidangan berat yang lain.

Baru-baru ini, SinarPlus berkesempatan mewawancara seorang pembikin yang mahir membuat kuih tradisi berkenaan, Ahmad Azri Ismail.

Selaku anak jati Melaka, Ahmad Azri juga mempunyai cerita yang sama dengan penulis.

“Mengikut kisah orang tua dulu, kuih serabai hanya akan dihidangkan ketika kenduri arwah. Satu lagi, ada juga yang panggil kuih ini dengan nama kuih mayat,” katanya.

kuih serabai

Kudapan berkenaan tidak dilenyapkan begitu sahaja. Sebaliknya, lelaki itu menggunakan bakat beliau membuat kuih tersebut dengan membuka sebuah gerai dikenali sebagai Kuih Serabai Tradisional Melaka di Kampung Air Limau, Melaka.

“Hampir setiap hari orang ramai boleh membeli kuih ini, bukan hanya pada musim perayaan sahaja,” kata beliau yang biasanya menjual hampir 200 keping kuih itu pada setiap hari.

Mengulas lanjut, Ahmad Azri berkata, walaupun dinamakan sebagai kuih serabai, tetapi bentuknya tidaklah seperti yang digambarkan.

kuih serabai

“Ia umpama lempeng, (bentuk) bulat dan gebu. Ia sedap dicecah bersama kuah gula melaka, kuah durian serta santan yang akan memberikan rasa lemak manis,” ujarnya.

Ketika ditanya apakah keistimewaan kuih serabai sentuhannya, pengusaha berusia 33 tahun itu berkata, beliau menggunakan santan segar yang diperah daripada kelapa muda seperti yang diajar oleh arwah neneknya.

Baca juga Apam lenggang ‘terlajak ranggup’ peram adunan lama rahsia juadah padu

Ungkap Ahmad Azri lagi, antara perkara paling penting dalam pembuatan hidangan tersebut adalah adunan tepungnya mestilah diperap selama dua hingga empat jam.

kuih serabai

“Walaupun bahan-bahan dan proses penyediaan nampak mudah, tetapi ia memakan masa yang lama untuk menyiapkannya,” katanya.

Kadangkala, jika tidak bernasib baik, tepung yang dibancuh tidak menjadi, meskipun telah mengikut sukatan yang betul dan terpaksa dibuang begitu sahaja, tutur lelaki itu.

Baca juga Ada ‘syarat’ khusus buat kuih lempiang, kena buat ni

Dari segi penggunaan acuan kuih serabai, beliau masih menggunakan kuali tradisional, namun membakarnya di atas dapur gas.

kuih serabai

Iklan

Untuk dua keping kuih tersebut, ia dijual pada harga RM2.50. Nilai itu tidak berubah sejak tahun 2017 lagi.

“Bagi saya yang paling penting, kepuasan pelanggan dalam merasai kuih ini. Kalau nak tahu, penghasilan dan kualiti kuih saya tetap sama walaupun telah bertahun-tahun menjalankan perniagaan ini.

“Saya juga bersyukur kerana permintaan amat memberangsangkan bukan sahaja daripada pelanggan setempat, tetapi turut menerima tempahan dari negeri lain untuk majlis-majlis seperti kenduri arwah, kenduri perkahwinan dan lain-lain,” katanya.

kuih serabai

RESIPI KUIH SERABAI

1 paket tepung beras [BELI DI SINI]
1 biji kelapa parut (kelapa kulit hijau)

kuih serabai1,200 mililiter air
1 sudu kecil garam

Iklan

BAHAN-BAHAN KUAH

2 cawan santan pekat [BELI DI SINI]
1/2 cawan air
1 sudu besar tepung jagung [BELI DI SINI]

kuih serabai2 helai daun pandan [BELI DI SINI]
1 biji telur
Sedikit garam
3 sudu besar gula
2 keping gula melaka [BELI DI SINI]

Cara penyediaan:

  • Sediakan satu bekas dan kuali.
  • Masukkan 400 gram tepung beras ke dalam bekas dan 100 gram lagi ke dalam kuali.
  • Kemudian, masukkan garam dan 600 mililiter air ke dalam bekas tadi.
  • Kacau adunan di dalam bekas sehingga sebati.
  • Masukkan pula 600 mililiter air ke dalam kuali. Kacau sehingga adunan menjadi pekat dan mendidih.
  • Selepas itu, satukan kedua-dua adunan dan kacau sehingga sebati.
  • Perapkan tepung adunan selama dua hingga empat jam.
  • Selepas itu, masukkan santan ke dalam adunan tepung tadi.
  • Sediakan acuan dan masukkan satu senduk adunan ke dalamnya. Tutup kuih selama 10 minit. Ulang proses sehingga adunan habis.
  • Untuk bahan kuah pula, satukan tepung jagung dan air. Kacau rata.
  • Kisar telur dan santan sehingga sebati.
  • Kemudian, masukkan semua bahan ke dalam periuk bersama tepung jagung tadi.
  • Selepas itu, masak sehingga gula melaka larut menggunakan api perlahan sehingga kuah pekat. Siap!

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.