NASI tumpang atau mesra disebut nasi tupe dalam longhat Kelantan banyak dijual di Kota Bharu, Kelantan terutama di Pasar Kubang Pasu.

Baru-baru ini, SinarPlus berjaya menjejaki salah seorang pengusaha nasi tumpang di negeri itu, Siti Syazwana Abdullah atau lebih mesra disapa Mami.

Mami berkata, pada zaman dahulu, nasi tumpang adalah makanan tradisional asli Melayu Kelantan yang dijadikan makanan ruji petani dan pengembara di negeri itu.

“Dulu, mungkin nenek moyang kita tiada bekas untuk simpan makanan, jadi mereka satukan dan tumpangkan makanan dalam satu bungkusan, maka wujudlah perkataan nasi tumpang,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ujar wanita itu, nasi tumpang lazimnya dibungkus dengan kelongsong daun pisang (seperti dalam gambar) dan dibentuk menjadi kon.

“Apabila bahagian atas nasi tumpang dibuka, kita akan ‘temui’ nasi bersama serunding ikan, diikuti dengan nasi, telur dadar, nasi dan kemudian gulai kuning ikan tongkol atau udang.

GULAI kuning udang galah.

Ada juga yang menggantikannya dengan daging masak merah,” katanya yang mulakan bisnes menjual nasi tumpang pada awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac lalu pada harga bermula RM6 di Puchong.

Sejauh mana ketahanan nasi tumpang? Adakah ia cepat basi? Menjawab pertanyaan itu, Mami berkata, menu itu boleh bertahan selama lebih kurang 12 hingga 13 jam.

Menariknya nasi tumpang air tangan wanita itu, beliau menyediakan menu istimewa iaitu gulai kuning udang galah.

Sementara itu, pesan Mami, kepada yang ingin mencuba memasak gulai kuning ikan tongkol, ikan itu disaran agar direbus semalaman.

“Ikan akan jadi lebih lembut dan mempunyai tiga kombinasi rasa iaitu manis, masam dan masin setelah direbus bersama gula melaka, asam keping dan sedikit garam,” katanya.

PROFIL

  • Nama penuh: Siti Syazwana Abdullah
  • Umur: 31 tahun
  • Asal: Kelantan
  • Menetap: Puchong, Selangor
  • Facebook: Nasi Tupe Soho
  • Instagram: @nasitupe_soho

Bahan-bahan nasi

  • 500 gram beras
  • 1000 mililiter air
  • Daun pisang
  • Lidi

Cara penyediaan nasi:

1. Cuci beras dengan bersih dan masak bersama air sehingga nasi tersebut menjadi lembut (seperti nasi himpit). Ketepikan dan biarkan seketika.

Iklan

Bahan-bahan gulai kuning ikan tongkol

  • Ikan tongkol (direbus terlebih dahulu bersama asam keping, garam dan gula melaka)
  • 2 inci kunyit hidup (dikisar halus)
  • 2 inci lengkuas (dikisar halus)
  • 6 ulas bawang merah (dikisar halus)
  • 500 mililiter santan

Cara penyediaan gulai kuning ikan tongkol:

  1. Tumis bahan yang telah dikisar sehingga naik bau.
  2. Masukkan santan dan masak sehingga mendidih.
  3. Kemudian, masukkan ikan tongkol dan biarkan ikan masak.
  4. Masukkan sedikit garam dan gula (perasakan secukupnya).
  5. Kacau sehingga rata dan kuah bertukar menjadi pekat.

Cara membungkus nasi tumpang:

  1. Kelongsongkan daun pisang dan masukkan nasi kira-kira 1/3 kelongsong lalu ditekan sehingga padat.
  2. Masukkan sedikit serunding ikan.
  3. Masukkan lapisan kedua (nasi), tekan sehingga padat dan masukkan telur dadar.
  4. Kemudian, masukkan lauk gulai ikan tongkol.
  5. Akhir sekali, masukkan nasi (lapisan paling bawah) dan bungkuskan lalu diselitkan lidi.
  6. Nasi tumpang sedia untuk dihidangkan.

ANEKDOT

Iklan

RESIPI NASI LINOPOT

Bahan-bahan

  • 1 mangkuk nasi panas
  • 1 mangkuk ubi keledek (kuning dan ungu)
  • 1 mangkuk air
  • Daun tarap (boleh juga guna daun pisang)
  • Secubit garam

Cara penyediaan:

  1. Nasi ditanak seperti biasa.
  2. Rebus ubi keledek dengan semangkuk air dan secubit garam.
  3. Apabila ubi keledek sudah empuk, kulitnya dibuang dan dipotong kecil.
  4. Lenyek nasi panas bersama-sama ubi keledek.
  5. Bungkus nasi menggunakan daun tarap dan diikat kemas dengan tali.
  6. Nasi linopot siap untuk dihidangkan bersama lauk-pauk (sesuai untuk semua jenis masakan).

Sumber: Facebook Faez Ahmad