SEBUAH buku yang bertajuk Dream hasil nukilan Timothy Findley merupakan satu bacaan yang perlu dibaca oleh penderita somnifobia. Ia antara lain mengisahkan tentang ketakutan dua pakar psikiatri yang gentar untuk tidur dan bermimpi.

Mereka yang juga pasangan suami isteri dikenali sebagai Everett dan Mimi Memlo berdepan dengan situasi sukar apabila kedua-duanya terlalu taasub memikirkan tentang keadaan pesakit yang sedang dirawat. Emosi Everett lebih parah berbanding Mimi.

Everett dikatakan terlalu khuatir memikirkan dirinya akan mati kalau tidur! Masakan tidak, salah seorang pesakitnya, Kenneth yang berdepan dengan skizofrenia paranoid pernah beberapa kali cuba untuk membunuh diri.

Badan mangsa ditemui berlumuran darah, namun peliknya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan pada tubuh badan. Hal itu telah menimbulkan 1,001 persoalan terutama kepada Everette.

Pakar psikiatri itu menjadi lebih tidak keruan apabila dia disahkan oleh pakar mengalami masalah somnifobia gara-gara tindak balas dirinya terhadap kejadian pesakitnya itu.

Beliau dikatakan terlalu takut untuk melelapkan mata kerana begitu risau dirinya akan dicederakan lalu mati di tangan pesakitnya itu dalam mimpinya.

Mengulas mengenai sindrom berkenaan, Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail berkata, somnifobia berasal daripada perkataan latin, somnus yang bermaksud tidur dan phobos yang bermaksud takut.

DR Nurul Nadia.

Fobia jenis itu turut dikenali dengan nama lain iaitu hipnofobia, klinofobia, sleep anxiety (kegelisahan tidur) dan sleep dread (ketakutan tidur).

“Individu somnifobia lazimnya akan sengaja elak untuk tidur malam kerana terlalu gelisah walaupun pada peringkat awal, mereka sangat penat sebelum tidur. Walaupun, kemudiannya mereka mungkin akan tertidur, penghidap somnifobia akan kerap terjaga dan pola itu akan berulang-ulang pada keesokan harinya,” katanya.

Implikasi buruk

Mengikut perkiraan, ujar beliau, semua golongan tidak mengira umur, bangsa atau keturunan berisiko mendapat masalah itu.

”Ini kerana ia bergantung kepada faktor persekitaran, sokongan sosial ataupun situasi yang pernah berlaku dalam kehidupan mereka,” ujarnya.

Bagaimana untuk mengetahui seseorang atau diri sendiri berdepan kemelut berkenaan?

Kata pakar terbabit, ia akan bermula dengan perasaan berdebar-debar, takut, gelisah dan resah tatkala sudah tiba waktu mereka perlu tidur pada malam.

”Itu antara tanda-tanda awal somnifobia. Namun begitu, terdapat alasan-alasan lain seperti kerap mengalami mimpi buruk dan sering terjaga pada waktu malam gara-gara terlalu takut sehingga mengalami simptom panik yang mengakibatkan penghidap diserang sakit dada, sesak nafas, berpeluh-peluh dan sakit jantung.

”Jika simptom itu berterusan dan berlarutan dalam tempoh masa yang lama, itu bermakna mereka mengalami masalah somnifobia,” jelasnya.

Somnifobia sememangnya memberi implikasi yang negatif, kata Dr Nurul Nadia. Selain menyebabkan seseorang tidak mempunyai tidur yang cukup dan berkualiti, ia memberi impak fizikal yang mana golongan itu akan mudah letih, tidak bermaya, tidak bertenaga untuk memulakan pekerjaan dan hilang selera makan.

Tidak terhenti setakat di situ, emosi seseorang juga akan berbolak-balik. Naluri cepat marah dan depresi akan menyelubungi diri. Hal-hal itu boleh mendorong kepada keretakan rumah tangga dan pekerjaan.

”Keadaan akan lebih parah jika somnifobia terjadi kepada penghidap darah tinggi dan kencing manis,” katanya.

Kepada peminat cerita seram, perlu berhati-hati. Ketaasuban menonton babak mengerikan hingga terbawa-bawa dalam mimpi juga petanda somnifobia.

Di samping itu, masalah berjalan dalam tidur kadang-kadang menjadi beban kepada seseorang.

”Mereka juga biasanya akan berasa takut untuk tidur kerana bimbang akan melakukan sesuatu yang tidak diingini dan akan menyebabkan kesusahan kepada ahli keluarga yang lain. Begitu juga mereka yang trauma dengan sesuatu seperti pernah melalui peristiwa rumah dirompak atau menjadi mangsa penderaan sosial,” kata Dr Nurul Nadia.

Boleh dielak

Dalam pada itu, sebuah portal kesihatan, www.sleepadvisor.com menyebut, somnifobia dan imsomnia saling mempunyai perkaitan.

”Seseorang yang mengalami insomnia mungkin tidak mengalami fobia tidur namun, seseorang yang mengalaminya (somnifobia) hampir pasti menderita insomnia kerana mereka takut tertidur,” kata mereka.Laman web itu turut menyebut, somnifobia jarang berlaku pada orang dewasa, walaupun ia mempengaruhi lebih banyak wanita daripada lelaki.

”Kecendurangan itu (somnifobia) lebih terarah kepada kanak-kanak, bagaimanapun, golongan itu akan membesar dengan baik hasil bantuan ibu bapa atau pakar tingkah laku,” kata laman web itu lagi.

Pandangan portal berkenaan seiring dengan dapatan kajian yang dilakukan oleh Pakar Paru-Paru dan Tidur, Hospital East, Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat, Kenneth Anderson.

Kenneth mendapati, somnifobia lebih kerap melanda kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Pada ketika ramai pakar menidakkan faktor pemakanan tidak mempengaruhi ketakutan tidur, seorang penyelidik dari Hospital Sacred Heart, Universiti Montreal, Kanada membuktikan sebaliknya.

Kajian penyelidik itu mendapati, 17.8 peratus daripada 400 responden mengaku sukar tidur dek kerana sumber makanan yang diambil.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar berkata, somnifobia sebenarnya boleh dirawat.

Iklan
DR Muhammad Afiq.

”Antaranya, elak minuman berkafein, bikarbonat pada waktu petang atau malam dan amalkan senaman ringan sebelum tidur. Cara lain, berhentilah menggunakan gajet satu jam sebelum masa tidur,” katanya.

Dr Muhammad Afiq turut mencadangkan agar pesakit yang berhadapan masalah somnifobia agar tidur secara berteman (pada peringkat awal) dan pastikan persekitaran bilik yang tenang seperti meletakkan lampu tidur atau memasang bunyi-bunyian seperti alunan ayat al-Quran untuk menenangkan jiwa.

“Paling penting, latihlah diri untuk tidur dengan cukup iaitu antara enam ke lapan jam sehari,” ujar beliau kepada SinarPlus ketika dihubungi baru-baru ini.

ANEKDOT

Walaupun tidak ada ubat  khusus untuk menangani masalah keresahan tidur,  ubat-ubatan tertentu dapat mengurangkan gejala ketakutan dan kegelisahan. Ia mungkin bermanfaat untuk digunakan bersama dengan proses terapi.

Berikut adalah antara ubat yang boleh digunakan secara jangka pendek atau sekali-sekala sahaja:

  • Penyekat beta: Membantu mengurangkan gejala kegelisahan fizikal. Sebagai contoh, ia dapat membantu menstabilkan degupan jantung dan mengawal tekanan darah supaya tidak meningkat.
  • Benzodiazepin: Sejenis ubat penenang yang dapat mengatasi gejala kegelisahan tetapi boleh menyebabkan ketagihan. Bantuan tidur jangka pendek untuk membantu mendapatkan tidur yang lebih baik semasa proses terapi juga boleh digunakan.

Sumber: Pegawai Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Muhammad Afiq Ahmad Anuar          

Empat tahun Norhadiani menderita susah tidur

“Hampir empat tahun lamanya saya takut untuk pejamkan mata.”

Demikian pengakuan seorang penulis portal, Norhadiani Baharom yang berdepan masalah somnifobia.Kepada SinarPlus, Norhadiani berkata, ia berlaku disebabkan rasa fobianya untuk tidur gara-gara takut ‘ditindih‘ makhluk halus selain gaya hidupnya yang suka tidur lewat sejak remaja.

Keadaan itu bertambah teruk selepas dirinya melahirkan cahaya mata. Kata wanita itu, beliau terjaga gara-gara bayinya kerap haus setiap masa.

”Ia semakin menjadi-jadi apabila anak saya dipercayai diganggu makhluk halus. Dia akan menangis antara jam 10 malam hingga 3 pagi, setiap hari selama hampir setahun lamanya.

Iklan

”Ia kedengaran mistik. Kalau saya cerita mesti orang tak percaya, namun itulah yang terjadi. Corak tidur saya selalu terganggu,” cerita ibu kepada seorang cahaya mata itu baru-baru ini.

Pada masa sama, ujar Norhadiani, meskipun bertubuh gempal, beliau  mampu makan sedikit sahaja.

”Barangkali ia ada kaitan dengan pola tidur saya yang bercelaru itu,” dakwanya.

Melihat situasi itu, Norhadiani berkata, beliau lantas berjumpa pakar untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

”Ya, benar, masalah saya ada kaitan dengan somnifobia. Pun begitu, pakar maklumkan kemelut yang saya dihadapi boleh dikawal kerana saya masih dapat lelapkan mata walaupun sekejap,” katanya.

Apakah terapi atau rawatan yang disarankan oleh pakar? Jawab penulis itu, beliau digalakkan membaca buku atau novel sebelum tidur.

”Selepas seminggu amalkan terapi membaca, ia mula berkesan sedikit demi sedikit. Mungkin sebab rasa penat selepas membaca membuatkan saya rasa nak tidur,” katanya yang turut mendengar bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

Justeru, Norhadiani menasihatkan individu yang berdepan dengan situasi sama dengannya agar segera berjumpa pakar untuk mendapatkan nasihat.

”Cepat bertindak sebelum terlambat. Satu lagi, janganlah terlalu banyak berfikir terutama hal-hal yang negatif,” katanya.