‘Tangan penuh besi, tulang leher retak.’ Erika, mangsa nahas bas UPSI masih trauma & menangis ketakutan

No Image Caption
A
A
A

LUKA fizikal boleh sembuh tetapi trauma yang tinggal dalam fikiran itu ambil masa yang lebih lama untuk hilang.

Nur Erika Alisya Mohd Zaidi, 21, antara mangsa yang terselamat dalam nahas bas di Gerik pada 9 Jun lepas.

Selepas lebih dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak, beliau telah selamat dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu dengan menggunakan helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabtu lalu.

Walaupun keadaannya stabil dan positif tetapi kesakitan yang ditanggung tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Kedua-dua tangannya dimasukkan besi dan perlu menggunakan alat penyokong leher kerana tulang leher retak.

No Image Caption

Menurut laporan Sinar Harian, ibu mangsa, Noorzailizan Zakaria@Ariffin, 41, berkata, anak sulung dari tiga beradik itu masih trauma dan sering teringatkan kejadian ngeri yang meragut nyawa 15 rakan kampusnya itu.

"Contohnya ketika menaiki ambulans dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus ke HSNZ pada Sabtu lepas, dia menangis ketakutan sepanjang jalan. Dia juga tidak boleh melihat kipas siling berpusing dengan kuat kerana akan terbayang kejadian itu,” ujarnya.

Erika antara mangsa yang cedera parah dalam tragedi tersebut. Lebih pilu, kemalangan itu turut mengorbankan dua teman rapatnya, Sufea Adela Maslihaizan dan Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, masing-masing berusia 21 tahun.

Ketiga-tiga mereka berkawan rapat sejak di bangku sekolah menengah agama. Rezeki untuk mereka bertiga apabila ditawarkan melanjutkan pengajian di UPSI, malah menjadi rakan sebilik di kampus.

Tak dapat dibayangkan betapa besarnya tekanan dan emosi yang ditanggung. Kehilangan kawan, kesakitan fizikal dan ketakutan yang mengambil masa untuk hilang.

Ibu bapa mana yang tidak sedih melihat keadaan anaknya sebegitu.

Noorzailizan yang merupakan suri rumah, tinggal di Kampung Alor Keladi di Hulu Besut bersama suami Mohd Zaidi Mohd Yunan, 45, yang bekerja sebagai pembantu tukang rumah bergilir menjaga Erika.

Syukur Alhamdulillah, kerajaan negeri Terengganu menanggung sepenuhnya kos rawatan Erika berjumlah RM18,588 di Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum ini.

Takdir telah menentukan segalanya. Kalau kita tidak dapat membantu dari segi wang ringgit atau pun sokongan, cukup sekadar memberikan doa kepada mereka yang terselamat. Doakan mereka segera sembuh, cepat hilang trauma dan kembali melanjutkan pengajian untuk mengejar cita-cita.

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang