Foto IHSAN NURAZLINDA SHAFI          

TIDAK sepopular kuih akok, kuih belebat ubi stelo juga antara kuih tradisional kegemaran penduduk negeri Kelantan.

Benar, kuih berkenaan sangat sukar dicari di kedai-kedai yang menjual kuih-muih terutamanya di negeri-negeri lain.

Pun demikian, kata seorang penggemar kuih itu, Nurazlinda Shafi atau lebih mesra disapa Linda, jika pembaca SinarPlus berhasrat untuk membuat sendiri kuih belebat ubi stelo, cara pembuatannya tidak sesukar mana.

Nurazlinda Shafi.

Sebelum mengulas lanjut, penulis bertanyakan terlebih dahulu asal usul sajian berkenaan.

Bagaimanapun, kata Linda, beliau kurang arif mengenainya dan cuma berkongsi pengetahuan tentang makna stelo.

“Stelo itu sebenarnya merujuk kepada ubi keledek yang mana merupakan bahan utama untuk menghasilkan juadah kuih ini,” kata anak kelahiran Bachok, Kelantan.

Bercerita tentang pembikinan kuih belebat ubi stelo, Linda berkata, menu berkenaan menggunakan teknik kukusan dan proses keseluruhan untuk menyiapkannya hanya memakan masa lebih kurang 30 minit sahaja.

“Ya, ia agak mudah. Sebelum ini, saya pernah menjual kuih belebat ubi stelo secara sambilan. Saya belajar daripada ibu saya dan pada masa sama membuat rujukan sendiri menerusi internet terutama bagaimana kaedah membungkus adunan kuih agar tidak terburai,” kata ibu kepada empat orang anak itu.

Berkongsi mengenai tip menghasilkan kuih belebat ubi stelo yang mempunyai rasa tersendiri, Linda memberitahu, pembikin kuih perlu menggunakan santan segar dan mencukupi dengan kuantiti ubi keledek yang digunakan.

“Ini kerana kuih ini sangat signifikan dengan rasa lemak dan manis daripada santan dan gula,” katanya.

Selain itu, katanya, proses membalut dan mengukus juga perlu dilakukan dengan teliti.

Sebelum semua itu dilakukan, daun pisang perlu dilayur atau dikukus seketika bagi menjadikannya lembut dan senang dibentuk.

“Cara membungkus kuih belebat ubi stelo ini sama seperti membungkus nasi lemak cuma ia perlu sedikit terbuka (bahagian atas) bagi memudahkan adunan kuih masak dengan cepat,” ungkapnya.

Bagi menghasilkan ‘rupa paras kuih yang elok’, teknik mengawal api juga perlu diberi perhatian.

“Api mestilah tak terlalu besar dan tak terlalu perlahan. Adunan kuih juga perlu sentiasa dikacau dengan sekata bagi mengelak ia menjadi berketul-ketul,” katanya.

Ujar Linda, kuih belebat ubi stelo lazimnya disajikan ketika sarapan pagi atau minum petang. Mahu menjamu jiran pada lebaran pun menarik. Kesedapan kuih itu akan lebih terserlah jika diminum bersama kopi O panas.

Iklan

PROFIL

  • Nama: Nurazlinda Shafi
  • Umur: 32 tahun
  • Asal: Bachok, Kelantan
  • Menetap: Balik Pulau, Pulau Pinang.

RESIPI KUIH BELEBAT UBI STELO

Bahan-bahan

  • 1 cawan ubi keledek (ungu)
  • 1 cawan ubi keledek (oren)
  • 1 cawan santan
  • 500 mililiter air
  • 1 cawan tepung beras
  • 1 sudu besar tepung gandum
  • 6 sudu besar gula pasir
  • Daun pisang

Cara penyediaan:

  1. Rebus dan potong terlebih dahulu ubi.
  2. Satukan kesemua bahan ke dalam periuk dan masakkan di atas api yang kecil.
  3. Kacau dengan menggunakan alat pemukul sehingga adunan kuih menjadi likat.
  4. Seusai itu, masukkan ubi yang telah direbus tadi.
  5. Gaul sehingga adunan kuih menjadi sebati.
  6. Biarkan adunan kuih menjadi suam seketika.
  7. Kemudian, bungkus kuih dengan menggunakan daun pisang (bungkus seperti balutan nasi lemak).
  8. Seterusnya, kukus kuih selama 10 minit dengan menggunakan api sederhana.
  9. Kuih belebat ubi stelo siap untuk dihidangkan.

Sumber: Nurazlinda Shafi

ANEKDOT

Iklan

RESIPI KUIH BUNGA PUDAK

Bahan-bahan inti

  • 1 biji kelapa parut putih
  • 240 gram gula
  • Garam secukup rasa
  • Perasa ros secukupnya
  • Pewarna merah secukupnya
  • Pewarna hijau secukupnya

Bahan-bahan kulit

  • 240 gram tepung pulut
  • 250 mililiter air
  • 1 sudu teh garam halus

Cara penyediaan:

  1. Pertama sekali, untuk membuat bahan inti, bahagikan adunan kepada dua warna. Satukan bahan mengikut warna tersebut dan gaul sebati.
  2. Sangai adunan di atas api sederhana. Kacau sehingga kering lalu ketepikan.
  3. Kemudian, untuk bahan kulit pula, gaulkan kesemua bahan di dalam mangkuk, adunan dibiarkan selama 30 minit.
  4. Setelah itu, panaskan kuali leper dengan api sederhana.
  5. Masukkan satu sudu makan adunan tepung ke dalam penapis dan ayak adunan tersebut sehingga menjadi bentuk bulat.
  6. Seterusnya, ambil satu sudu inti lalu diletakkan tengah dan lipat menjadi bentuk empat segi. Biarkan seketika dan kuih boleh diangkat.
  7. Akhir sekali, ulangi proses berkenaan sehingga adunan kuih habis.

Sumber: kompilasiresepi.blogspot.com