RINGKAS DAN KEMAS. Itu rumusan penulis sebaik melihat kediaman milik Mariatul Kaftiah Mohamadiah yang terletak di Bandar Kulai, Johor.

Beliau yang memuat naik dekorasi rumah teres dua tingkatnya di laman Instagram @ROOMAH165 turut membuatkan lebih 10,000 pengikutnya kagum.

Ujar kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia itu, disebabkan kerap berpindah-randah, hal tersebut telah mencetuskan idea kepadanya untuk mewujudkan ruang yang bukan sahaja menjemput keselesaan, malah sedap mata memandang.

“Sebelum ini saya pernah menduduki rumah sewa, kuarters dan kini alhamdulillah, sudah memiliki rumah sendiri. Jadi, pelbagai pengalaman dikutip dari aspek dekorasi. Selain itu, media sosial dan Pinterest juga antara platform saya memperoleh inspirasi,” kata ibu

kepada dua cahaya mata yang masing-masing berumur lima dan dua tahun.

Kepada SinarPlus, Mariatul Kaftiah berkata, perkara paling signifikan yang menjadi penilaian awalnya pastilah pemilihan warna dan sumber pencahayaan agar dapat menonjolkan karakteristik ruangan tertentu.

“Saya memilih warna cat yang setara di antara bahagian ruang tamu, meja makan dan dapur. Tidak terlalu kontra, tetapi seimbang dan tidak juga kelihatan terlalu bercampur-campur,” terangnya.

Justeru, rona yang menjadi seleksinya ialah hitam, putih, coklat dan keemasan. Ia menepati konsep scandinavian, desa dan sedikit sentuhan ala industri yang diidamkannya.

Pun demikian, wanita tersebut memilih warna terang dan ceria untuk bilik anaknya dan tetamu agar tidak terlalu kosong. Berbeza dengan bilik utama yang menggunakan tona lembut.

Bagi wanita berusia 31 tahun itu, ruang makan menjadi keutamaan mereka sekeluarga. Meskipun keluasan agak terhad, beliau bijak membahagikan ruang dengan mewujudkan dapur basah dan dapur kering.

Di ruangan dapur pertama, Mariatul Kaftiah meletakkan sebuah meja yang berfungsi sebagai pulau dan boleh memuatkan tiga buah kerusi bar.

“Disebabkan saiz dapur yang memanjang dan kecil, suami mendapat idea untuk membuat meja pulau yang kecil dan praktikal kerana kelebarannya boleh diubah suai mengikut kesesuaian. Ia juga memiliki beberapa bahagian untuk dijadikan sebagai tempat penyimpan barangan.

“Pada bahagian bawah permukaan meja pulau pula, terdapat ruang tambahan yang boleh ditarik keluar dan disimpan semula jika tidak digunakan. Kerusi juga boleh dilipat dan digantung di dinding,” ujarnya.

Tangga unik

Iklan

Menzahirkan segala impian secara nyata bukan satu perkara mudah, sementelah Mariatul Kaftiah sendiri bukanlah seorang pereka hiasan dalaman profesional. Namun, kesungguhannya menyaksikan beliau berjaya membina hiasan dinding berbentuk accent wall yang memiliki penataan yang memukau.

Beritahu anak kelahiran Mersing, Johor itu, cat asal tangga yang berwarna kelabu telah membuatkan kediamannya kelihatan suram. Disebabkan itulah, beliau dan suami mengambil pendekatan untuk membina accent wall yang dihasilkan sendiri menggunakan kayu.

“Untuk itu, kami menggunakan warna keemasan dan melakukan kekemasan cat dengan teliti agar tidak comot. Maklum sajalah kami ini masih amatur.

“Memang agak memenatkan, tetapi apabila melihat hasilnya, saya rasa berbaloi lebih-lebih lagi apabila memiliki tangga yang unik dan berbeza daripada kediaman orang lain,” jelasnya.

Iklan

Sementara itu, bagi mengatasi bahagian ruangan yang terhad, Mariatul Kaftiah memilih untuk tidak meletakkan terlalu banyak perabot atau perhiasan yang mampu membuatkan persekitaran kelihatan sempit dan serabut.

“Perabot multifungsi menjadi pilihan bagi setiap ruangan di rumah saya, selain susun atur yang memainkan peranan kerana jika tidak, ia akan nampak sangat sesak,” terangnya.

 

Jangan lupa follow kami di Instagram dan lawati portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI