JENAMA Tom Abang Saufi bukan nama asing kepada pencinta fesyen tanah air. Masakan tidak, perekanya sendiri, Datuk Tom Abang Saufi sudah hampir empat dekad berada dalam industri.

Boleh dikatakan pakaian rekaannya mampu dipakai oleh tiga generasi. Ujar beliau ketika ditemui: “Ada yang mengatakan bahawa mereka boleh berkongsi pakaian dengan nenek, ibu dan anak. Perkara itu amat menggembirakan dan saya anggap sebagai sumber semangat untuk terus berkarya.”

Baca ni Jenama POKOKS tampil pakaian untuk kanak-kanak, ibu dan bapa. Kalau nak cari baju raya awal, dah boleh beli dah

Bukan itu sahaja, identiti yang diinspirasikan Tom diambil daripada budaya dan tradisi bercirikan negeri Sarawak masih ‘bernyawa’ dan malar segar sehingga ke hari ini.
Lihat sahaja hasil tangan beliau menerusi beberapa koleksi terdahulu. Unsur batik dan floral yang digabungkan serta diterjemahkan dalam bentuk abstrak, berjaya menghidupkan gaya klasik yang mempesona.

Tidak hanya rekaan baju kurung, baju kurung Kedah, kebaya pendek, malah kaftan turut diberi sentuhan moden sememangnya memenuhi cita rasa masa kini.

Seleksi warna yang bervariasi iaitu bermula dengan rona pastel dan terang-benderang cukup menarik perhatian.

Setelah hampir tiga tahun tidak muncul di mana-mana majlis yang dihadiri media, penulis baru-baru ini berpeluang mewawancaranya. Kami bercerita tentang pelbagai hal dan tentunya memfokuskan kepada dunia fesyen tanah air kini. Ikuti temu bual yang dijalankan.

SINARPLUS (SP): Bagaimanakah cara untuk mengekalkan elemen dan memenuhi selera atau kehendak orang zaman sekarang?

Baca lagi Melinda Looi pilih anak sendiri untuk berkolaboratif dalam koleksi terbaharu yang berjiwa muda

TOM ABANG SAUFI (TAS): Rekaan saya memang mengikut desain semasa. Ia memiliki siluet dan mudah dipakai. Bahagian dada tidak terlalu labuh dan memberikan keselesaan kepada wanita bertudung. Sebahagiannya disertakan dengan zip agar tidak mudah terbuka terutama baju kebaya labuh.

Sebolehnya saya ingin kurangkan penggunaan zip dan butang agar lebih menjimatkan masa ketika bersiap.

Pelanggan saya juga kebanyakannya sudah berusia, berkeluarga dan bekerjaya. Jadi, pakaian mereka perlu mengikut spesifikasi seperti mudah menyusukan anak dan bergerak.

SP: Apakah ‘resipi’ bagi mengekalkan rekaan sekitar tahun 1980-an sehingga sekarang?
TAS: Awalnya saya membuat rekaan gaun pengantin. Kemudian saya perlahan-lahan membina ‘jati diri’ sendiri dan mengetengahkan batik dalam rekaan seperti sarong skirt. Saya harap generasi sekarang tidak lupa kepada tradisi dan budaya seperti batik dan songket.

Saya juga gembira apabila melihat sebilangan pereka muda memilih untuk menjadikan elemen tradisional dalam rekaan mereka. Saya turut menggunakan khazanah muzium sebagai rujukan dan membawakannya ke pentas peragaan.

Iklan

Sekiranya kita melupakan semua itu, maka anak muda masa kini tidak akan mengenal budaya asal usul mereka. Saya juga selalu menasihatkan anak dan cucu agar mengenakan batik dan songket ketika menghadiri mana-mana majlis.

SP: Boleh kongsikan pandangan anda terhadap pereka fesyen baharu yang sedang meningkat naik?

TAS: Kita tidak boleh menilai seseorang berdasarkan rekaan tertentu seperti koleksi pada Hari Raya. Ia berbeza dengan koleksi fesyen tahunan bagi tempoh satu atau dua tahun.
Bagi saya, setiap pereka perlu memiliki identiti sendiri dari segi motif, warna, inspirasi dan identiti. Syukur identiti saya sudah dikenali daripada pelbagai peringkat usia.
Setiap pereka juga perlu mempunyai olahan baharu setiap dua, tiga tahun dan seterusnya. Bagaimanapun, nilai jati diri itu tetap ada. Setiap apa yang kita lakukan itu perlu wujud semangat dan harus berfikiran kreatif.

Baca ni ‘Baju ‘letup’, pemandangan cantik. Memang ‘queen’ betul.’ Perkongsian Che Ta bercuti di Bali raih perhatian

SP: Menurut penelitian, siapakah pereka fesyen sekarang yang telah menarik perhatian anda?

Iklan

TAS: Sukar untuk buat keputusan, tetapi saya suka rekaan dan stail Nurita Harith. Melihat kepada koleksi beliau (koleksi Zalora Raya 2022), hasil kerjanya sungguh teliti dan halus.
Perkara itu boleh dilihat dalam setiap baju yang dihasilkan. Itulah yang dimaksudkan dengan semangat. Setiap apa yang kita ingin buat perlu mempunyai semangat. Apabila ada elemen itu, segalanya akan memberikan hasil positif.

Oleh NURUL FADILA AWALUDIN

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.