BIASA tak lihat roti yang sudah berkulat tapi rasa sayang nak dibuang hingga tetap dimakan terutama jika ada bahagian lain belum terjejas?

Ada yang makan begitu sahaja dan tidak kurang juga yang ‘mengitar semula’ roti bahagian tidak berkulat itu dengan pelbagai cara.

Namun demikian, ketahuilah bahawa makan roti seperti itu biarpun pada bahagian yang kelihatan tidak berspora sangat berisiko.

Itu jelas Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari.

Berkongsi pengalaman tentang perkara itu, beliau bersyukur mujurlah tak jadi apa-apa pada anaknya.

Budak kecil dua orang kat rumah ni memang jenis suka sangat bila dapat makan roti.

Lagi-lagi kalau kami sapukan coklat kat atas lapisan roti tu. Sekejap je boleh licin pinggan dibuatnya.

Pernahlah sekali dulu, si adik tu nak sangat makan roti tapi bila saya tengok tanda dekat plastik bungkusan roti tu rupa-rupanya hari tu lah tarikh expired.

Cuma rasa sayang pulak nak buang jadi saya pun cek lah dulu kepingan roti tu.

Nampak adalah sikit tanda kulat nak mula tumbuh kat bucu kepingan tu tapi bahagian lain masih nampak putih ‘bersih’ je lagi.

Saya pun apa lagi, dengan selambanya koyak buangkan bahagian yang berkulat tu kemudian hulur roti yang nampak ‘bersih’ tadi tu ke tangan anak saya.

Padahal apa yang saya buat tu sebenarnya salah dan rupanya boleh buatkan anak saya jatuh sakit!

Bila saya belajar balik pasal kulat dekat roti ni, barulah saya tahu sebenarnya tak pernah wujud pun istilah ‘bahagian bersih’ pada roti yang dah berkulat,” kongsi beliau di posting Facebook nya.

Menurut beliau, kulat pada roti ni dalam keluarga fungus, sama macam cendawan. Bila kulat membiak pada roti, ‘topi’ nya kita nampak jelas tapi akarnya tersembunyi kat sebelah dalam.

Mata kasar kita hanya tafsir yang ‘bahagian bersih’ tu elok lagi padahal kat dalam roti tu, rangkaian akar kulat yang dikenali sebagai ‘hyphae’ tu dah menjalar merata lalu buatkan roti dah tak selamat lagi untuk dimakan, katanya.

Iklan

“Sebab tu penting sangat untuk kita cek dulu tarikh luput roti sebelum beli dan periksa betul-betul dulu kondisi roti tu sebelum nak suap masuk ke mulut anak kita tu.

Tolong saya sebarkan info penting ni pada kawan-kawan kita yang lain ye. Harapnya tak ada yang buat silap macam ni lagi.

Badan kita ni mungkin boleh lawan jangkitan kulat tu kalau tak sengaja termakan.

Namun si kecil kita tu berisiko benar untuk terkena food poisoning sampaikan demam panas, muntah-muntah dan cirit-birit jika kita terlalai berikan mereka makan roti yang berkulat,” kata Dr Ahmad Luqman lagi.

Iklan

Dalam pada itu Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan turut berkongsi agar jangan sesekali makan bahagian ‘bersih’ pada roti berkulat.

“Sebenarnya tidak pernah wujud bahagian ‘bersih’ pada roti yang berkulat. Ini adalah kerana kulat adalah sejenis fungus seperti cendawan.

Seperti cendawan , kulat juga mempunyai ‘topi’ yang mudah dikesan dengan mata kasar, namun akarnya yang tersembunyi dikenali ‘hyphae’ adalah berbahaya buat manusia. Hyphae ini membentuk rangkaian akar di dalam roti, maka bahagian ‘bersih’ dalam roti pastinya tidak selamat !

“Anda boleh mengalami keracunan makanan kerana memakan roti yang telah berkulat. Pastikan cek tarikh luput roti sebelum membeli dan walaupun belum tarikh luput, pastikan roti anda tidak berkulat,” kongsi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan di medsos.

Moga bermanfaat!